



Bersatu, STAR, PBS, SAPP, BN serta KDM adalah kompenan yang mengisi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ia ditubuhkan sekitar September 2020, ketika itu KDM belum wujud.
KUDAT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bakal didaftarkan dalam memastikan kerjasama di antara parti parti yang mendokong kerajaan negeri terus dapat dimantapkan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, perkara itu juga merupakan kemahuan di antara parti parti gabungan berkenaan di negeri ini.
“Insya Allah GRS akan kita daftarkan, kerana inilah kemahuan parti parti gabungan ini.
“Kita mesti ada satu gabungan parti yang rasmi, jadi dengan gabungan ini maka akan bertambah mantaplah kerjasama di antara parti parti yang mendokong kerajaan negeri sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni dan menyerahkan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa kebakaran Kampung Landung Ayang di Dewan Tun Mustapha, hari ini
Sementara itu, mengulas mengenai hasrat Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang dipimpin Datuk Peter Anthony untuk menyertai atau menyokong GRS, Hajiji amat mengalu alukan perkara tersebut.
Bagaimanapun jelasnya, sebarang keputusan mestilah mendapat sokongan dan dokongan daripada parti parti pemerintah yang sedia ada terlebih dahulu.
“Jadi mengenai hasrat parti yang dipimpin oleh Datuk Peter Anthony untuk menyertai atau menyokong GRS, kita amat mengalu alukan.
“Inilah tujuan kita untuk satu kestabilan politik di negeri Sabah supaya kita dapat fokus untuk membangunkan negeri Sabah.
“Kita baru sahaja diberi mandat untuk memerintah negeri Sabah dan kita lebih kurang empat tahun lagi jadi usaha kita patut ditumpukan kepada pembangunan, ekonomi dan rakyat kita.
“Jadi, kita mengalu alukan, tetapi apa pun kita mempunyai gabungan parti parti lain di mana apa pun kita lakukan atau putuskan, mestilah mendapat sokongan dan dokongan daripada semua rakan rakan,” katanya lagi.
“SABAH MAJU JAYA”
Pejabat Media dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri, Aras 31, Blok A, Menara Kinabalu, Jalan UMS, Teluk Likas, 88400 Kota Kinabalu, Sabah.
Tinggalkan Jawapan