Memacu Sabah Kembali ke Landasan Betul

Gabungan 33 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili semua parti politik dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15, teguh dengan pendirian untuk mengembalikan kebenaran dan keadilan.

Dengan hati yang ikhlas, kami berharap Mahkamah akan membenarkan semakan kehakiman terhadap keputusan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah, kerana kami berpendapat beliau menerima nasihat yang salah.

Adalah penting untuk kita semua kekal bersatu dan kekal dengan perjuangan untuk membawa Sabah kembali ke jalan yang benar.

Laporan terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia yang yang diterbitkan pada Ogos 2020 menyatakan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah berada pada paras paling rendah iaitu 0.5% pada 2019, sekali gus membuktikan parti serpihan Warisan pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal gagal dalam membangunkan negeri dan menjaga kebajikan rakyat Sabah.

Kadar pengangguran berada pada paras 5.8% (terburuk dalam tempoh 20 tahun), bermakna lebih daripada 117,000 rakyat Sabah tidak mempunyai pekerjaan dan dibelenggu kebimbangan ketika menyambut kedatangan 2020 awal tahun ini.

Ringkasnya, angka besar itu bermakna ramai rakyat Sabah kehilangan pekerjaan, tidak mempunyai pendapatan dan berdepan pelbagai kesukaran bersama keluarga untuk menyara kehidupan. Keadaan ini tidak boleh diterima sama sekali.

Ini ditambah dengan penguncupan KDNK Sabah selama dua tahun berturut-turut (1.5% pada 2018 dan 0.5% pada 2019), sekali gus memberi gambaran trend berbahaya yang menanti.

Amat memalukan sekali apabila Sabah menjadi negeri yang mempunyai KDNK paling rendah di seluruh Malaysia selama dua tahun berturut-turut. Malah, ia lebih rendah berbanding dengan negeri termiskin di negara ini.

Lebih lama Datuk Seri Shafie Apdal memegang tampuk kuasa, Sabah akan terus ketinggalan dari segi pembangunan ekonomi, berikutan aktiviti perniagaan dan pelaburan langsung asing yang semakin berkurangan.

Mengenai penyertaan Parti Cinta Sabah dalam senario politik tempatan di Sabah, kami mengalu-alukan kedatangan mereka.

Kesemua kami termasuk pelbagai parti yang ada, mungkin mempunyai perbezaan pandangan tetapi kami sepakat dalam satu tujuan iaitu menyelamatkan Sabah daripada pentadbiran yang tidak cekap dan melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Sabah.

Kita berhak mendapat yang lebih baik. Sabah berhak menikmati suasana yang jauh lebih baik.

Dalam menguruskan politik dan pentadbiran kerajaan, adalah penting bagi kita membawa masuk tenaga baharu bersama. Suntikan idea baharu itu pula mesti diimbangi dengan mereka yang sudah sedia kaya dengan pengalaman dan mempunyai rekod pencapaian membanggakan.

Ini akan memastikan pemimpin muda berupaya belajar dan mengaut pengalaman berharga daripada golongan yang lebih awal bertapak.

Berpengalaman mengemudi empat pilihan raya umum dan menjadi Ketua Menteri Sabah selama 15 tahun, pentadbiran saya berupaya menstabilkan dan memacu ekonomi setempat ke tahap membanggakan. Sebagai satu pasukan, kami melonjakkan maruah anak Sabah di mata negara, dan tidak ketinggalan ke persada antarabangsa. Saya akan biarkan fakta sedia ada menjadi bukti terhadap semua itu.

Matlamat kami ialah untuk menyelamatkan negeri indah ini sebelum kita terjerumus ke kancah gelap yang menjejaskan ekonomi, keselamatan dan kesejahteraan semua.

Dalam apa keadaan sekalipun, kita mesti memelihara cara hidup rakyat Sabah, menyelamatkan Perlembagaan yang amat dekat di jiwa kita dan mengekalkan keamanan, dengan matlamat mengembalikan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa supaya kita mempunyai peluang untuk menyelesaikan kemelut ekonomi yang ditinggalkan oleh pentadbiran Warisan.

Ini bukan kisah perjalanan seorang individu. Ini bukan mengenai saya. Ini adalah bagi mereka yang waras berfikir, rakyat yang bekerja keras dan menghormati undang-undang negeri indah dan permai ini. Ini semua untuk anda.

Saya tahu, jauh di sudut hati, anda bukan menyokong perjuangan ini semata-mata kerana saya atau 32 ADUN lain.

Anda menyokong kami kerana anda sedar di lubuk hati masing-masing, bahawa kami tidak boleh membiarkan pentadbiran sedia ada meneruskan apa yang telah mereka lakukan sepanjang 22 bulan yang lalu. Mereka meruntuhkan ekonomi, memungkiri pelbagai janji dan memusnahkan kehidupan.

Kita bertanggungjawab ke atas diri sendiri, anak-anak kita, anak-anak mereka dalam memberi kehidupan serta masa depan yang lebih sempurna. Kita bertanggungjawab terhadap generasi akan datang, maka kita perlu menyatakan pendirian sekarang. Ini adalah detik penentuannya.

Untuk berbuat demikian, saya bersama 32 ADUN lain, sedia memikul tanggungjawab besar dan berat ini, dalam usaha mengembalikan keadaan ke landasan yang benar dan mengetepikan apa juga kepentingan peribadi yang ada.

Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak supaya berpadu tenaga dan bersatu hati dalam memperjuangkan matkamat sama dan berkongsi wawasan untuk membawa Sabah keluar daripada penindasan ekonomi.

Kita perlu membawa Sabah kembali mengecapi kemakmuran dan harga diri yang selayaknya.

Tan Sri Musa Haji Aman.
Kota Kinabalu,
11 Ogos, 2020.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.