Projek Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa 2 Secara Rasmi Bermula – Solusi Jangka Panjang


LRA Kogopon, Papar berkapisiti memproses 40 juta liter air sehari. Sejak 2013 kajian telah dilaksanakan bahawa unjuran keperluan air di Papar dan kawasan sekitar memerlukan agar LRA ini dinaik taraf.

Tahun 2019, melalui RP4, RMKe-11 telah diluluskan pelaksanaan Projek Penambahan Kapisiti LRA ini dari kapasiti 40 juta liter kepada 80 juta liter dengan kos melebihi RM 300 juta dengan nama Projek LRA Kogopon Fasa 2.

Projek sepatutnya bermula 2019, dan siap 2022. Malangnya, projek tidak berjalan termasuk proses perolehan tidak dibuat. Saya tidak tahu apa punca dan masalah kerana saya bukan sebahagian daripada Kerajaan pada masa itu. Yang pasti, kesannya tahun 2023 sepatutnya tidak ada masalah gangguan bekalan air di Papar, tapi apa yang berlaku sebaliknya.

Sebaik diberi amanah oleh warga Papar untuk mewakili mereka, inilah antara keutamaan saya, mencari jalan supaya projek ini boleh bermula segera. Bila projek tertangguh untuk suatu tempoh, maka kos juga semakin meningkat maka timbullah isu birokrasi untuk mendapat kelulusan tambahan peruntukan, apatah lagi projek ini dibiayai melalui pinjaman mudah persekutuan.

Banyak pejabat saya panjat, termasuk beberapa kali membawa pegawai-pegawai persekutuan ke lokasi LRA ini.

Projek ini juga menjadi antara agenda utama Mesyuarat Khas Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berkaitan penyelesaian isu air di Sabah pada 1 Jun 2023 lalu yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.

Sebaik balik ke Sabah, Kerajaan Negeri pimpinan YAB DSP Haji Hajiji Haji Noor memutuskan supaya proses perolehan dilaksanakan serta merta dan sebulan lalu kontraktor telahpun dilantik.

Saya rayu YAB Ketua Menteri dan YB Menteri Kerja Raya Sabah yang juga Timbalan Ketua Menteri untuk turun meninjau tapak projek.

Alhamdulillah, hari ini kedua-dua mereka hadir dan melihat kerja-kerja awal telah bermula. Hasrat saya adalah supaya kontraktor yang dilantik dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat mendengar sendiri ketegasan YAB Ketua Menteri dalam soal pelaksanaan projek.

Kerajaan telah sediakan peruntukan, dan tiba tanggungjawab kontraktor dan agensi menyelia untuk laksanakan amanah mereka. Pesan saya kepada kontraktor dan agensi pemantau, projek ini bukan projek jalan raya biasa, lambat siap kita boleh guna jalan alternatif lain. Tapi ini projek merawat air untuk kegunaan rakyat yang sudah memang terkesan dengan gangguan bekalan air sekian lama, dan Papar kini tidak memiliki sebarang rizab margin air! Maksudnya sumber air yang terawat sedia ada sudah tidak dapat menampung keperluan sebenar!

Hari ini sebahagian wakil media yang sebelum ini dibawa oleh pihak-pihak tertentu ke beberapa kawasan terkesan saya lihat hadir sama. Saya harap mereka dapat secukup maklumat apa punca masalah air di kawasan tertentu di Papar sekarang, dan memahami ini adalah isu diwarisi yang tidak diselesaikan oleh mereka yang bertanggungjawab, sungguhpun solusi sudah ada di depan mata dahulu.

Projek ini akan siap dalam tempoh 3 tahun. Ia akan memanfaatkan bukan hanya Parlimen Papar, malah selatan Parlimen Putatan dan sehingga sebahagian Parlimen Kimanis termasuk kawasan SOGT. Penyelesaian jangka panjang sudah di depan mata, yang penting memantau kontraktor untuk siap megikut jadual.

Kini fokus adalah melaksana solusi jangka pendek untuk kawasan-kawasan yang sering terkesan terutama di Mukim Kinarut khususnya, apatah lagi kawasan-kawasan perumahan tinggi bertingkat. Bukan mudah, namun Insya Allah diusahakan sebaik mungkin bersama Jabatan Air Negeri Sabah.

One thought on “Projek Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa 2 Secara Rasmi Bermula – Solusi Jangka Panjang

Add yours

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

Discover more from JALINLUIN.COM

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading