
Tidak berniat mencampuri dalaman parti UMNO tapi jika kenyataan itu berupa manipulasi maka sebagai rakyat biasa ia mesti diluruskan sebelum ada yang tertipu untuk kesenian kalinya.
Bukan apa, sudah banyak kenyataan pemimpin UMNO yang terbukti temberang atau bohong, walhal kenyataan mereka waktu itu disertai sumpah mubahalah. Pun begitu walau sudah kantoi boleh lagi tampil seolah olah tidak apa yang berlaku.
Rakyat Sabah tahu UMNO yang menyebabkan Sabah ketinggalan berbanding negeri negeri lain.
Tengok saja Sarawak agak maju berbanding Sabah hanya kerana UMNO tidak ada disana.
Sebab itulah hari ini rata rata orang Sabah tidak lagi berminat dengan UMNO. Justeru meninggalkan UMNO adalah tindakan yang bijaksana dan menjadi satu kebanggaan pada mereka. Seperti mana pemimpin atau ahli meninggalkan parti Warisan.
Sebab itulah agak menggeramkan bila Ketua UMNO Sabah, Bung Mokhtar menyarankan agar jangan tinggalkan parti sebab UMNO berbeza dengan parti lain. Parti lain kononnya dibuat di tepi jalan atau kerana melompat parti berbeza dengan UMNO ditubuhkan untuk menuntut kemerdekaan.
Di Sabah yang menuntut kemerdekaan bukannya UMNO tetapi antaranya adalah USNO sebagai parti tempatan, seperti hari ini Gagasan Rakyat, Parti Bersatu Sabah, STAR, SAPP, KDM dan parti tempatan lain.
Takkan Ketua UMNO Sabah tidak tahu sejarah kemerdekaan Sabah.
Bung juga mendakwa selepas pilihan raya umum ke-14 UMNO telah mengalami kebangkitan kebangkitan yang amat dahsyat. Sebab itu jangan tinggalkan UMNO. Amboi siang siang pun berani membohong.
Jangan membohong Bung Pilihan Raya ke-12 UMNO hilang 60 kerusi kemudian PRU ke-13 hanya 132 kerusi. Pada PRU ke-14 UMNO hanya mendapat 79 kerusi dan terakhir pada PRU ke-15 UMNO kecundang hanya mendapat 30 kerusi. Semua kekalahan yang dialami berlaku semasa UMNO menjadi kerajaan.
Jadi di mana kewajaran saranan Bung Mokhtar agar masyarakat atau ahli UMNO jangan meninggalkan UMNO? Tidak perlu ahli UMNO susah susah meninggalkan UMNO, nanti rakyat juga yang akan menguburkan UMNO.