Sabah Tak Mampu Lagi ‘Tampung’ Perpecahan Politik, Kata Hajiji

PETALING JAYA: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor berkata, negeri itu tidak mampu lagi ‘menampung’ perpecahan politik sekiranya mahu mencapai cita-cita serta mempertahankan haknya.

Sehubungan itu, katanya, GRS mahu mencipta sejarah membentuk jajaran politik baharu yang mampu menyatupadukan semua rakyat di Sabah.

Dengan mengambil ramai pemimpin berpengalaman dalam gabungan berkenaan, beliau berkata, semua pengalaman itu hanya akan jadi sia-sia jika negeri terbabit tidak bersatu.

“Jika kita ingin berjaya dan mencapai matlamat untuk mempertahankan hak Sabah di Malaysia, kita mesti bersatu, sebab itulah kita ada GRS dan kalau boleh, kami mahu menghimpunkan semua parti politik Sabah di bawah GRS.

“Kita tidak mampu lagi menampung perpecahan politik untuk mencapai visi kita untuk rakyat Sabah, ini satu-satunya cara (semua parti politik Sabah bersatu), tiada cara lain,” katanya pada majlis jelajah GRS, di Kudat.

Hajiji yang juga ketua menteri Sabah, berkata negeri berkenaan tidak harus ‘terikut-ikut’ dengan keadaan politik di Semenanjung, sebaliknya rakyat Sabah perlu belajar dari sejarah lampau yang telah mengakibatkan ketidakstabilan.

Beliau juga berharap GRS dan Barisan Nasional (BN) yang kini mentadbir kerajaan negeri akan terus bekerjasama walaupun pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Saya yakin BN Sabah mempunyai pendirian tersendiri dalam menentukan masa depan rakyat Sabah dan negeri ini, tidak perlulah terpengaruh dengan keadaan di Semenanjung…cukuplah.

“Saya percaya rakyat Sabah sekarang sudah berpengalaman dan mempunyai kebijaksanaan, mereka lebih bijak dalam hal politik,” katanya yang juga ketua Bersatu Sabah.

Sementara itu, Hajiji turut memberi jaminan beliau akan melakukan yang terbaik dengan bantuan rakan gabungannya untuk menjadikan masa depan Sabah lebih baik.

“Parti saya tidak boleh melakukannya sendiri, kita telah berpecah terlalu lama dan kami berharap GRS adalah penyelesaian kepada kemelut politik yang dihadapi sebelum ini,” katanya.

Sumber MSN

Tinggalkan komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: