
KOTA KINABALU: Pas sedia berhadapan sebarang kemungkinan termasuk bertembung dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sekiranya BN memutuskan untuk bergerak solo maka, Pas sedia berhadapan dengan mereka di bawah payung Perikatan Nasional (PN).
“Saya tengok BN yang banyak putuskan untuk bergerak solo jadi, kalau BN buat keputusan begitu, kita sedia hadapi semua kemungkinan.
“Kalau muafakat, kita boleh pakat tapi, kalau mahu lawan pun, kita boleh lawan,” katanya selepas melawat beberapa kawasan sering dilanda banjir di Papar hari ini.
Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, Pas sedia untuk bertembung namun, ia bergantung kepada keputusan pimpinan parti. Sebarang keputusan di peringkat parti akan dibawa ke majlis pimpinan PN kerana Pas akan bergerak di bawah PN.
“Apa-apa pun yang paling penting adalah manfaat kepada rakyat yang mahukan kerajaan yang stabil dan adil, itu menjadi fokus kepada rakyat.
“Maka, kita tidak mahu kerajaan yang tidak stabil sebab ekonomi kita masih belum pulih sepenuhnya dan sekarang kita mahu fokus membantu rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan Pas bergerak solo menjelang PRU-15.
Mengenai kemungkinan kerjasama bersama Gerakan Tanah Air (GTA), Tuan Ibrahim berkata, setakat ini Pas belum ada perbincangan dengan gabungan diketuai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, Pas tidak mempunyai sebarang masalah dengan Tun Mahathir namun, belum ada sebarang perbincangan dibuat pada masa ini kerana mereka ingin memperkukuhkan PN dalam membuat persiapan menghadapi PRU-15.
Mengulas lanjuat katanya, perbincangan mengenai kerusi masih belum dilakukan di peringkat parti dan juga jawatankuasa perundingan kerusi bersama rakan-rakan dalam PN. Belum ada perundingan secara rasmi dilakukan.
Jelas beliau, ada beberapa kawasan yang telah dikenal pasti namun, mereka masih menunggu Pas negeri menghantar senarai calon sebelum kepimpinan parti membuat keputusan.
Di peringkat negeri Sabah, Pas sebahagian daripada kerajaan negeri dan mempunyai kerjasama yang baik buat masa ini tapi, untuk PRU akan datang masih belum dapat dipastikan kerana ia bergantung kepada keadaan pada masa itu.
Tuan Ibrahim berkata, pada PRU-15, sudah ada beberapa kerusi yang akan ditandingi oleh Pas di Sabah tapi, tunggu senarai calon rasmi yang akan dikemukakan.
“Kita sedia berbincang dengan mana-mana parti yang sedia bekerjasama dengan PN. Malah, semasa kita menghadapi pilihan raya negeri secara bersama, kita saksikan kemenangan dan ia baik untuk rakyat Sabah,” katanya.-UTUSAN
Tinggalkan Jawapan