Saksi utama Kes Rasuah Bung Moktar, Zizie Akui Beri Keterangan Bercanggah

Kuala Lumpur: Saksi utama dalam kes rasuah dihadapi Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya mengakui memberikan keterangan bercanggah di mahkamah, berbanding kenyataannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan.

Perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, bagaimanapun menafikan dia berbohong dan mereka-reka cerita serta menafikan tindakannya itu untuk menyelamatkan Bung Moktar dan isterinya yang juga pelakon, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad.

Percanggahan itu membabitkan keterangan Norhaili di mahkamah bahawa Bung Moktar tidak pernah meminta rasuah RM3.5 juta pada 4 Mei 2015 di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur sedangkan beliau memberitahu SPRM bahawa tertuduh meminta rasuah.

Saksi pendakwaan ke-25 itu ketika perbicaraan memberitahu mahkamah bahawa wang RM2.8 juta yang diberikan kepada Zizie Izette adalah wang pengenalan, sebaliknya beliau memberitahu SPRM di pejabat agensi itu ketika siasatan bahawa wang itu adalah rasuah.

Berikutan percanggahan material itu, pendakwaan yang menganggap bahawa saksi itu belot, mengemukakan permohonan pada 14 Februari lalu mengikut Seksyen 154, Akta Keterangan 1950 untuk menyoal balas Norhaili dan Hakim Rozina Ayob membenarkan permohonan itu, hari ini.

Norhaili dalam prosiding hari ini ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How bersetuju dengan pendakwaan bahawa keterangannya di mahkamah sebelum ini adalah Bung Moktar tidak pernah meminta rasuah RM3.5 juta.

Norhaili turut bersetuju dengan cadangan Law bahawa beliau memberitahu mahkamah pada 27 Januari lalu, wang RM2.8 juta diterima Zizie Izette adalah wang pengenalan yang layak diterimanya kerana pelakon itu memperkenalkan suaminya untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Ketika dicadangkan oleh Law bahawa keterangannya itu membabitkan percanggahan serius dan material kepada kes terbabit, saksi itu menjawab: “Setuju.”

Law kemudian mencadangkan Norhaili memberikan keterangan tidak memihak kepada pendakwaan, yang dijawab oleh saksi: “Saya tidak pasti, tetapi saya hanya bercakap benar.”

Sementara itu, Norhaili bersetuju dengan cadangan Law bahawa hanya dia yang tahu versi mana betul dan apabila ditanya versi mana betul, saksi menjawab, “versi yang betul apabila saya tidak berada dalam keadaan tertekan.

“Ketika siasatan, saya berada dalam keadaan tertekan dan takut kerana ini adalah pengalaman kali pertama sepanjang 19 tahun dalam bidang unit amanah. saya beri keterangan kepada SPRM.

“Saya merasa sedih dan mengalami kemurungan seolah-olah saya bersalah, sedangkan saya sudah buat perkara betul,” katanya.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau turut mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama.

Prosiding soal balas terhadap Norhaili bersambung 18 Mac ini.

Harian Metro

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: