3 Kenyataan Gempar Leissner Pada Perbicaraan Kes 1MDB Di New York

Skandal 1MDB tidak pernah menjemukan pembaca. Selain membawa keruntuhan kerajaan Barisan Nasional ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, ia juga turut membawa aib kepada ramai orang yang terpalit dengan rompakan wang rakyat Malaysia terbesar di dunia dianggarkan AS$6.5 bilion (lebih RM26 bilion).

Ceritanya (plot utama) ialah mengenai tiga lelaki berkelulusan tinggi, memegang jawatan menjadi idaman ribuan orang, bersekongkol dengan beberapa pemimpin politik dan pentadbir awam dan swasta merompak wang pelaburan rakyat Malaysia.

Oleh kerana mereka tidak bermoral dan percaya wang menguasai semua, cerita-cerita sampingan (sub-plot) di mana personaliti berkait dengan watak-watak utama turut menggemparkan cerita berepisod ini.

Itulah yang berlaku sekarang.

Jalan ceritanya ialah bagaimana seorang pemimpin negara bersekongkol dengan tiga lelaki merompak berbilion wang rakyat Malaysia.

Plot utamanya ialah bagi pemimpin negara itu, wang diperlukan untuk menjamin kesinambungan kuasanya.

Sementara tiga lelaki berkenaan, wang untuk merasai segala yang diidamkan: rumah mewah, pesta hangat bersama arak, wanita dengan artis-artis Hollywood terkemuka, dan hubungan sulit dengan wanita-wanita ternama.

Di antara tiga lelaki itu, dua adalah rakyat Malaysia – Roger Ng (bekas ketua pelaburan perbankan Goldman Sachs Malaysia), Low Taek Jho atau Jho Low (dalang yang rapat dengan pemimpin negara) – dan seorang warga Jerman Timothy Leissner (pengerusi Goldman di Asia Tenggara).

Turut menghiasi plot sampingannya ialah bagaimana watak-watak di ibu pejabat bank pelaburan berprestij itu, penasihat serta pengurusan kanan 1MDB diarah oleh pemimpin negara dan tiga lelaki mempengaruhi mereka agar memilih bank pelaburan tersebut bagi mengatur penjualan bon (sekuriti pelaburan di mana seseorang pelabur meminjamkan wang kepada 1MDB bagi tempoh tertentu untuk mendapatkan bayaran faedah tetap. Apabila matang, 1MDB akan pulangkan kesemua wang pinjaman kepada pelabur).

Latar belakang drama yang menggemparkan dunia ini mengelilingi dunia: Kuala Lumpur, Singapura, London, Las Vegas, New York dan Festival Filem Cannes, Perancis.

Semuanya adalah kota raya terkemuka dunia di mana wang adalah raja.

Cerita bermula di mahkamah persekutuan Amerika di New York di mana Ng dituduh melanggar Akta Amalan Rasuah Asing (FCPA) yang melarang syarikat dan rakyatnya, serta bukan negarawan melakukan rasuah dan pengubahan wang haram melalui sistem kewangannya.

Ng, yang diekstradisi ke Amerika (tindakan Malaysia membenarkan dia menjalani perbicaraan di sana atas dakwaan telah melakukan jenayah mengikut perjanjian penguatkuasaan undang-undang bersama), didakwa memberi rasuah pegawai-pegawai di luar negara, memintas kawalan perakaunan, dan pengubahan wang haram, di samping menyelewengkan AS$35 juta (hampir RM146 juta) wang rakyat Malaysia daripada jualan bon 1MDB.

Jho Low, yang turut didakwa bersama Ng sejak 2018 masih belum ditangkap oleh pihak berkuasa Amerika dan Malaysia. Pihak Malaysia berkata dia dilihat di China, tetapi Beijing menafikannya.

Dari perbicaraan itu, pembaca digemparkan oleh Leissner bahawa dia telah melakukan hubungan sulit dengan beberapa wanita ketika bertugas di Goldman Sachs. Lebih dari tiga wanita Malaysia dikatakan ada hubungan sulit dengannya. Setakat ini, hanya Datuk Rohana Rozhan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat media Astro Malaysia Holdings Bhd telah disebut dalam perbicaraan.

Bagaimanapun, Leissner kemudian berkahwin dengan bekas supermodel dan personaliti TV Amerika Kimora Lee Simmons.

Perkahwinan ini juga menggemparkan. Dia mengaku telah dua kali berkahwin dengan dua wanita serentak atau dalam masa yang sama. Ini dilakukan apabila dia memalsukan surat cerai bagi memudahkan dia berkahwin dengan Kimora pada 2014.

Ketika itu dia adalah suami sah Judy Chan.

“Saya palsukan surat cerai itu menggunakan photoshop,” katanya.

Dia juga memberitahu juri dokumen cerai itu dipalsukan ketika berkahwin dengan Judy Chan di Hong Kong pada 2000.

Kenyataan kedua yang menggemparkan ialah dakwaan Leissner bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) meluluskan pemindahan AS$1 bilion (kira-kira RM4 bilion) wang pertukaran asing dalam sehari daripada akaun 1MDB ke PetroSaudi International setelah suami gabenor bank pusat itu Zeti Akhtar Aziz menerima rasuah.

“Anda perlu tahu pada 2009 Malaysia masih ada kawalan kewangan yang memerlukan pelaburan sebesar itu meninggalkan negara wajib diluluskan oleh Bank Negara.

“Satu bilion dolar telah diluluskan dalam sehari dari Malaysia ke syarikat usahasama itu dan ia berlaku kerana suami gabenor Bank Negara telah menerima rasuah. Jadi, dalam sehari sahaja wang tersebut dipindahkan, dan ia tidak pernah dilakukan pada masa itu,” dakwanya.

Bagaimanapun, November lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan kira-kira RM65 juta daripada dana-berkaitan 1MDB yang dipegang oleh syarikat milik Tawfiq Ayman, suami Zeti, telah dipulangkan.

Kenyataan ketiga sama hebat ialah dakwaan Leissner bahawa dia dan Ng berjaya menarik pelaburan AS$3 bilion (lebih RM12 bilion) untuk 1MDB dari penjualan bon ketiga – dirujuk sebagai Projek Catalyze. Jho Low memberitahunya bahawa wang itu akan digunakan untuk membiayai PRU 2013.

Dakwaan tersebut telah mendesak setiausaha agung DAP Lim Guan Eng di Dewan Rakyat supaya SPRM menyiasat bekas perdana menteri Najib Razak mengenainya.

Leissner memberitahu mahkamah AS bahawa dia secara peribadi menemui Najib dan berurusan dengan setiausaha-setiausaha peribadinya.

Leissner adalah bekas majikan Ng yang menjadi saksi pendakwaan setelah mengaku salah pada 2018 di mahkamah atas tuduhan konspirasi pengubahan wang haram dan melanggar FCPA.

Beliau turut mengaku memberi rasuah kepada pegawai-pegawai Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu untuk melicinkan urusan penjualan bon oleh Goldman Sachs.

Mahkamah AS telah mengarahkan Leissner membayar denda hampir AS$44 juta (kira-kira RM180 juta) serta jaminan akan dipertimbangkan hukuman ringan.

Inilah tragedi apabila syarikat pembangunan strategik kerajaan 1MDB disalahguna oleh pemimpin Barisan Nasional dan pengurusan yang dipilih untuk memperkayakan diri sendiri dan parti yang amalkan rasuah.

Tragedinya, 1MDB yang merupakan dana untuk memperbaiki kehidupan rakyat kini menjadi beban hutang melebihi RM42 bilion yang perlu ditanggung oleh rakyat dan anak cucu mereka.

Bahkan, pada waktu itu, ada juga mangsa akibat skandal terbesar pemimpin Barisan Nasional itu – bekas ketua peguam negara Abdul Gani Patail diberhentikan dengan cara yang amat kasar sekali.

Begitu juga bekas ketua pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull yang diancam dibuang kerja, bersara awal, dipindah ke jabatan latihan, dan peluru dihantar ke rumahnya ketika dia menyiasat kes 1MDB.

Inilah balasan dosa Barisan Nasional, terutamanya pemimpin Umno.

Menjelang PRN Johor ini, ambillah iktibar kerana pemimpin-pemimpin kluster mahkamah yang terlibat dengan 1MDB ingin kembali semula. Jangan pengundi tertipu lagi.

Kebenaran betapa buruknya rasuah 1MDB adalah benar, beban berbilion ringgit ditanggung rakyat juga benar.

Perbicaraan di mahkamah AS adalah perlu bagi membuktikan kebenaran ini.

Khairuddin Othman adalah bekas wartawan Berita Harian

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Tinggalkan komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: