Pendakwa Mohon Hakim Dengar Kes Rosmah Kekal

Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi pendengaran tiga permohonan dalam kes pengubahan wang haram dan mengelak membayar cukai. - NSTP/ASWADI ALIAS.© Provided by Berita Harian Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi pendengaran tiga permohonan dalam kes pengubahan wang haram dan mengelak membayar cukai. – NSTP/ASWADI ALIAS.

KUALA LUMPUR: Pendakwaan memohon supaya Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, tidak menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes pengubahan wang haram dan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor.

Isteri bekas perdana menteri itu membuat permohonan Mohamed Zaini menarik diri atas alasan keterangan dan eksibit dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan kes rasuah berkaitan projek tenaga solar dihadapinya boleh secara langsung atau tidak langsung mempengaruhi Mohamed Zaini yang mendengar perbicaraan kes pengubahan wang haram.

Mohamed Zaini turut mendengar perbicaraan kes projek tenaga solar yang kini memasuki peringkat hujahan di akhir kes pembelaan, manakala perbicaraan kes pengubahan wang haram belum bermula.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam hujahannya berkata, Mohamed Zaini sudah membuat keputusan berhubung perkara itu ketika menolak permohonan pertama Rosmah pada 14 Disember 2021 supaya beliau (hakim) menarik diri, selepas mendengar hujahan terperinci kedua-dua belah pihak.

“Kami mohon Yang Arif tidak menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes ini kerana Yang Arif tidak pernah mendengar sebarang keterangan berkaitan kes pengubahan wang haram dihadapi tertuduh.

“Yang Arif juga memutuskan kedua-dua kes (projek tenaga solar dan pengubahan wang haram) adalah unik dan berbeza serta tiada kaitan antara satu sama lain.

“Kami menyatakan permohonan kali kedua tertuduh supaya Yang Arif menarik diri daripada mendengar kes ini (pengubahan wang haram) ditolak oleh mahkamah ini,” katanya.

Dalam keputusannya pada Disember tahun lalu, Mohamed Zaini antara lain berkata, beliau akan memastikan Rosmah tidak akan diprejudis dalam kes pengubahan wang haram apabila rujukan dibuat kepada kenyataan dalam kes rasuah projek solar.

Ia berikutan hakim dikehendaki mempertimbangkan secara berasingan dan secara bebas keterangan terhadap tertuduh.

Katanya, sebarang dapatan yang dibuat dalam kes solar kekal di sana dan menjadi tanggungjawabnya atau mana-mana hakim, untuk memastikan tertuduh atau mana-mana tertuduh dibicarakan secara adil seperti termaktub mengikut Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Rosmah, membalas hujahan pendakwaan dengan menegaskan permohonan kedua anak guamnya tidak boleh dikatakan menyalahgunakan proses mahkamah kerana bersandarkan alasan berbeza.

Beliau berkata, wujud risiko yang mana kes mahkamah lain membabitkan pelucutan hak harta Rosmah dan keluarganya berkaitan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan mempengaruhi Mohamed Zaini apabila hakim itu mendengar perbicaraan kesalahan pengubahan wang haram dan kesalahan berhubung cukai anak guamnya.

Selain kes lucut hak harta itu, Firoz Hussein berkata, Mohamed Zaini turut mendengar kes laporan audit terhadap suami tertuduh, Datuk Seri Najib Razak.

Peguam itu berkata, ia ditambah dengan keputusan Mohamed Zaini mengarahkan anak guamnya membela diri dalam kes projek tenaga solar tahun lalu.

“Ini adalah situasi unik yang mana kami bukan mempersoalkan integriti Yang Arif tetapi ini adalah soal kelemahan manusia, kerana Yang Arif sudah mendengar keterangan saksi dan bukti terhadap tertuduh dan keluarganya.

“Ia akan menjejaskan cara Yang Arif melihat kredibiliti tertuduh dan perkembangan perbicaraan ini (kes pengubahan wang haram dan mengelak cukai),” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Mohamed Zaini kemudian menetapkan pada 21 Mac ini bagi keputusan.

Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Berita Harian

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: