
TAWAU: Sebanyak 22 buah sekolah menengah di daerah ini menerima komputer riba menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), di sini semalam.
Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif berkata bantuan itu adalah inisiatif daripada kerajaan Sabah bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan.
“Sebanyak 10,000 buah komputer riba diagihkan di seluruh negeri Sabah dalam fasa pertama membabitkan pelajar sekolah menengah yang akan mengambil peperiksaan besar tahun ini.
“Setakat ini, sebanyak 3,000 buah komputer sudah diagihkan di beberapa buah daerah di negeri ini,” katanya semasa ditemui dalam majlis ‘Walkabout Menteri Tugas-Tugas Khas’, di sini semalam.
Katanya, komputer tersebut akan segera disampaikan melalui pemimpin di kawasan masing-masing sekiranya bekalan itu sudah diterima.
“Program BAIK ini akan diteruskan ke fasa berikutnya bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan agar tidak tercicir dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
“Inisiatif yang dibuat oleh kerajaan negeri itu sangat bertepatan memandangkan komputer sangat diperlukan oleh pelajar ketika ini,” katanya.
Menurutnya, pihak kerajaan sangat berterima kasih kepada semua wakil rakyat di daerah ini yang mewakili sekolah menengah di kawasan masing-masing untuk menerima bantuan komputer tersebut.
“Selain itu Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) juga banyak membantu dari segi penyelarasan senarai pelajar yang layak menerima peranti tersebut.
“Saya berharap, dengan bantuan tersebut dapat membantu pelajar terutamanya golongan yang kurang berkemampuan mengikuti PdPR akan datang,” katanya.
Sementara itu, majlis tersebut juga turut menyampaikan simbolik bantuan asnaf fakir miskin kepada hampir 1,000 penerima bulanan di daerah ini.
Mohd Ariffin berkata, Pusat Zakat Sabah (PZS) menyampaikan bantuan asnaf tersebut setiap bulan kepada penerima yang layak di seluruh negeri ini.
“Selain itu, sejak berlakunya pandemik COVID-19, PZS juga sudah menyalurkan dua kali bantuan khas secara ‘One Off’ sebanyak RM150 untuk meringan bebanan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, katanya program ‘Walkabout Menteri Tugas-Tugas Khas’ ini akan diadakan di seluruh negeri Sabah.
“Dalam program tersebut juga PZS, Perbadanan Baitulmal dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menyalurkan pelbagai jenis bantuan.
“Bantuan tersebut turut diberikan kepada Pusat Tahfiz, Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar,” katanya.
Tinggalkan Jawapan