
KENYATAAN MEDIA YAB PERDANA MENTERI
Saya merakamkan setinggi tinggi penghargaan kepada YAB Dato’ Seri Ismail Sabri bin Yaakob, Timbalan Perdana Menteri, dan semua Ahli Parlimen BN yang bersama beliau menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan saya.
Saya juga mengucapkan terima kasih di atas pendirian mereka yang bersetuju bahawa keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen pada bulan September dalam usul undi percaya dan bukan melalui kaedah lain.
Ini adalah selaras dengan titah perkenan KOYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang disampaikan kepada saya semasa sesi menghadap di Istana Negara pada hari Rabu.
Saya berharap agar pendirian Ahli Ahli Parlimen BN ini akan menghentikan polemik politik yang sedang berlaku pada masa ini dan memberi ruang kepada Kerajaan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha menangani COVID 19, mempercepatkan proses vaksinasi dan memulihkan ekonomi negara. Kepentingan rakyat dan negara perlu diutamakan dalam kita berhadapan dengan pandemik ini.
TAN SRI DATO HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN PERDANA MENTERI 6 0GOS 2021