
FMT Reporters
June 6, 2021 3:36 PM
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri akan mengagihkan 10,000 komputer riba atau laptop kepada pelajar tingkatan lima dan enam di negeri itu.
Katanya, inisiatif kerajaan menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dengan jumlah peruntukan RM15 juta itu akan mula diagihkan bermula 19 Julai hingga 18 Oktober.
“Pengagihan akan mengambil masa selama kira-kira tiga bulan sehingga Oktober ini dan kerajaan negeri berharap pemberian komputer riba ini akan membantu pelajar yang tidak berkemampuan.
“Ini adalah kaedah yang kita ambil untuk membantu pelajar tidak berkemampuan tidak tercicir dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya dalam kenyataan.
Hajiji berkata, pengagihan komputer riba fasa satu membabitkan 9,842 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) serta 158 dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN).
Katanya, pemberian komputer riba untuk fasa 1 itu, membabitkan ibu bapa atau penjaga pelajar yang termasuk dalam kategori e-kasih miskin tegar.
“Komputer riba itu boleh digunakan sehingga melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.
Awal tahun ini, Hajiji berkata kerajaan akan berusaha menyediakan gajet kepada pelajar yang kurang berkemampuan berikutan pelaksanaan PdPR ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).
1 komen