KDNK Sabah 2022 Meningkat Sehingga 3.7% Bersamaan RM81.9 Bilion – KM Hajiji

Caption Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ketika hadir pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sabah yang Ke-16 di DUN, Likas, di sini hari ini.

JAWAPAN LISAN KEUTAMAAN
OLEH YAB DATUK SERI PANGLIMA KETUA MENTERI
DI PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEEMPAT
DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH YANG KEENAM BELAS KHAMIS, 10 OGOS 2023

SOALAN 1

YB. Datuk Hassan A Gani Pg. Amir [Sebatik] bertanya kepada KETUA MENTERI: –
a) setakat suku pertama bagi tahun 2023, apakah bidang industri utama yang menyumbang kepada pendapatan negeri Sabah; dan
b) mohon senaraikan Industri tersebut mengikut peratusan pendapatan negeri secara keseluruhannya.


JAWAPAN:

Tuan Speaker,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari Sebatik serta Dewan yang mulia ini, sumbangan sektor ekonomi kepada pendapatan negeri Sabah diukur melalui Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), yang mana data KDNK bagi negeri hanya diterbitkan secara tahunan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Pada masa ini, data rasmi terkini bagi KDNK negeri Sabah adalah setakat tahun 2022 sahaja. Data rasmi ini telah diterbitkan oleh DOSM pada 27 Jun 2023.

Pada tahun 2022, KDNK Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 3.7 peratus, berbanding 1.5 peratus pada tahun sebelumnya, dengan nilai ditambah sebanyak RM81.9 bilion (2021: RM79.0 bilion). Pertumbuhan positif ini didorong oleh peningkatan ketara dalam sektor perkhidmatan yang merupakan penyumbang utama kepada KDNK Sabah, iaitu sebanyak 49.5 peratus dengan nilai ditambah sebanyak RM40.6 bilion. Pertumbuhan sektor perkhidmatan sebanyak 8.6 peratus telah dipacu oleh peningkatan prestasi subsektor utama iaitu subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan, diikuti sektor perkhidmatan kerajaan dan sektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi.

Tuan Speaker,

Meskipun menjadi penyumbang kedua terbesar kepada keseluruhan KDNK Sabah, iaitu sebanyak 24.8 peratus dengan nilai ditambah sebanyak RM20.3 bilion, sektor perlombongan dan pengkuarian menunjukkan penurunan pertumbuhan sebanyak negatif 1.3 peratus pada tahun 2022, berbanding 3.2 peratus tahun sebelumnya. Penguncupan sektor ini dipengaruhi oleh penyusutan subsektor utamanya iaitu minyak mentah dan kondesat kepada negatif 4.4 peratus dan subsektor gas asli sebanyak 8.4 peratus.

Sektor pertanian Sabah pula mencatatkan nilai ditambah berjumlah RM12.5 bilion pada tahun 2022, iaitu merosot sebanyak negatif 0.2 peratus. Walau bagaimanapun, pertumbuhan sektor ini lebih baik daripada penyusutan negatif 2.2 peratus seperti yang direkodkan pada tahun sebelumnya. Sektor pertanian merupakan sektor ketiga terbesar di Sabah dengan sumbangan sebanyak 15.2 peratus kepada keseluruhan KDNK Sabah. Subsektor tanaman kelapa sawit mendominasi sektor pertanian di Sabah dengan sumbangan sebanyak 9.6 peratus daripada keseluruhan KDNK Sabah, diikuti subsektor perikanan (2.5 peratus), tanaman-tanaman lain (1.3 peratus) dan ternakan (1.0 peratus).

Sektor pembuatan merekodkan pertumbuhan negatif 2.5 peratus dengan penurunan dalam nilai ditambah kepada RM5.8 bilion berbanding RM5.9 bilion pada tahun sebelumnya. Penyusutan dalam sektor ini adalah disebabkan oleh penguncupan dalam subsektor minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan, prosesan makanan, minuman dan produk tembakau serta subsektor produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan.

Manakala sektor pembinaan bertumbuh pada kadar 6.2 peratus berbanding 7.9 peratus pada tahun sebelumnya. Nilai ditambah sektor ini mencatatkan peningkatan kepada RM2.5 bilion berbanding RM2.4 bilion pada tahun 2021 yang disokong oleh prestasi yang konsisten dalam subsektor pembinaan pembangunan, kejuruteraan awam dan aktiviti pembinaan pertukangan khas.

Sekian.

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

Discover more from JALINLUIN.COM

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading