
PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEEMPAT
DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH
YANG KEENAM BELAS
[ 08,09 DAN 10 OGOS 2023 ]
PERTANYAAN-PERTANYAAN
UNTUK SOALAN LISAN
SOALAN DAN JAWAPAN
NO. 6
10 OGOS 2023
( KHAMIS )
OLEH
YANG BERHORMAT DATUK ELLRON ANGIN
MENTERI BELIA DAN SUKAN SABAH
SOALAN 6
YB. Datuk Abdul Ghani bin Mohamed Yassin [Nabawan] bertanya kepada MENTERI BELIA DAN SUKAN :-
Apakah inisiatif yang sedang giat diusahakan oleh pihak kementerian bagi memastikan belia dan beliawanis di kawasan pedalaman Sabah sentiasa mendapat maklumat berkaitan peluang melibatkan pekerjaan, keusahawanan dan kemahiran.
JAWAPAN
Datuk Speaker,
Bagi menjawab pertanyaan AHLI YANG BERHORMAT [Nabawan] dan Makluman Sidang Dewan Yang Mulia ini, Kementerian saya amat memahami mengenai keperluan golongan belia dan beliawanis di kawasan pedalaman Sabah untuk mendapat maklumat berkaitan peluang melibatkan pekerjaan, keusahawanan dan kemahiran.
Suka saya menyatakan di sini bahawa kementerian saya tidak memegang fungsi dalam menyediakan peluang pekerjaan ataupun menjadi ejen pencarian pekerjaan kepada belia yang menggangur.
Namun demikian, kementerian saya bersama-sama dengan Majlis Belia Sabah dan Majlis Perundingan Negeri Sabah sentiasa bekerjasama dalam mengadakan sesi libat urus dalam menyebarluaskan maklumat-maklumat mengenai peluang-peluang yang boleh diperolehi oleh golongan belia berkaitan peluang melibatkan pekerjaan, keusahawanan dan kemahiran.
Selain daripada itu, kementerian saya sedang menjalankan Progam KBSS Turun Padang : Jelajah Belia di seluruh Sabah termasuk kawasan pedalaman Sabah yang berdomainkan Kesukarelawan, Kesejahteraan Ekonomi, Kesihatan, Kebudayaan dan Kerohanian. Melalui program ini pelbagai aktiviti yang diadakan termasuklah sesi Sembang Belia bersama pemimpin dan belia akar umbi.
Semasa program ini dijalankan, pihak kementerian saya telah memaklumkan kepada mereka bahawa kementerian Belia dan Sukan Sabah ada melaksanakan program-program latihan kemahiran jangka pendek dan jangka panjang seperti bidang perhotelan, kursus asas didikan dan pendidikan awal kanak-kanak, asas binaan, automotif, kecantikan, kelas seni kreatif jahitan, pertanian dan pemakanan.
Selain itu, persatuan-persatuan belia akar umbi juga dimaklumkan bahawa Kementerian saya ada menyediakan geran berjumlah RM5,000.00 (Ringgit Malaysia : Lima Ribu) kepada setiap persatuan yang memohon geran untuk mereka laksanakan program ataupun aktiviti yang dirancang.
Persatuan yang layak dipertimbangkan untuk kelulusan geran ini hendaklah mempunyai dokumen yang sah antaranya seperti berikut:-
1. Surat Permohonan Persatuan/ Kelab Belia;
2. Sokongan Daripada Pegawai pengelola KBSS Bahagian / Daerah;
3. Salinan Sijil pendaftaran Yang Sah;
4. Laporan Mesyuarat Agung Tahunan / Penyata Kewangan Tahunan (Audit / Senarai AJK terkini / Ahli biasa);
5. Kertas kerja Cadangan Aktiviti / Program;
6. Penyata Akaun Bank Persatuan / Kelab (Terkini);
7. Borang Pengesahan Akaun Bank (Lampiran C);
8. Laporan Pelaksanaan Geran Program terdahulu; dan
9. Surat Pengakuterimaan Maklumat Yang Kena Beri (MYKD) Tahun Terkini.
Kementerian saya juga memberi bantuan berupa dana yang dikenali Skim Jaya Usahawan Belia (SYABAS) kepada usahawan belia yang berumur 18 hingga 40 tahun serta memenuhi kriteria yang ditetapkan. Dana ini telah diperkenalkan pada tahun lepas dan jumlah penerima bantuan setakat ini adalah seramai 2,893 orang. Bantuan skim ini akan diteruskan pada tahun ini dan permohonan akan dibuka tidak lama lagi.
Sekian dan terima kasih






















Leave a Reply