
Di bawah adalah teks ucapan Adun Kunak, ucapan yang cukup bernas sekaligus membongkar retorik Presiden Warisan, Shafie Apdal yang tidak konsisten dengan apa yang dia katakan dan perjuangkan selama ini.
Bukan hanya tidak konsisten tapi tidak malu menyalahkan dan mengejek orang lain, walhal perbuatan dan kesalahan itu dia sendiri yang mulakan.
Tidak ke Shafie sedar masyarakat hari ini cukup bijaksana berbanding dirinya? masyarakat hari ini cukup berprinsip dari kebanyakan pemimpin pemimpin Warisan. Dua tahun sebagai kerajaan negeri Sabah tapi hanya tahu bercakap dan beralasan sampai balik menjadi pembangkang. Sekarang lagi teruk, kuat membohong.
Tapi Shafie bila berucap atau berhujah seolah olah masyarakat Sabah ini tidak ada telinga dan otak di dalam menilai kebenaran.
Kalau pun gian sangat berpolitik, kumpul penyokong Warisan dan cakaplah apa pun. Shafie pun tahu tahap intelektual mereka yang sangat rendah. Sebab itu hanya IQ rendah yang bertahan yang cerdik sudah menyokong GRS.
Shafie Apdal harus sedar yang masyarakat tahu apa yang dia ucapkan dan buat selama ini. Mereka tahu bukan hanya soal politik tapi juga setiap skandal yang memalitkan dirinya. Sikapnya yang suka mengungkit apa yang telah diberikan juga diketahui oleh masyarakat. Buruknya sikap sebagai pemimpin.
Itu saya katakan ucapan Adun Kunak ini cukup bernas dan benar benar mengena batang hidung Presiden Warisan, Shafie Apdal.
Terbukti tujuan Adun Adun Warisan keluar dan menyokong GRS, adalah atas nama prinsip dan demi kebaikan negeri dan masyarakat di kawasan mereka, khususnya.
Dibawah isi ucapan Adun Kunak sebelum menyokong RUU Akta Lompat Parti di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah yang ke 16.
Menurutnya isu lompat parti bukanlah perkara yang baharu, malah ia telahpun sering berlaku di Malaysia mahupun di Sabah. Malah banyak Mana-mana negara atau negeri yang mengamalkan demokrasi pasti akan pernah melalui peristiwa yang sama.
Namun, kebelakangan ini isu ini menjadi sangat serius apabila tindakan ini telah menyebabkan Malaysia melalui suatu fasa pemerintahan negara yang agak buruk apabila insiden lompat parti ini melalui tindakan mengumpul akuan bersumpah daripada ahli-ahli Parlimen telah membawa kita kepada pengalaman memiliki tiga (3) Perdana Menteri dalam tempoh satu (1) penggal. Justeru Akta Anti Lompat Parti telah diluluskan di Parlimen sebagai langkah untuk memastikan kestabilan politik negara terjamin, dan peristiwa lama tidak berulang.
Di Sabah, lompat parti juga bukanlah perkara yang baru. Pada tahun 1994 PBS pernah terpaksa kehilangan kuasa pemerintahan apabila beberapa wakil rakyatnya beralih sokongan kepada UMNO ketika itu. Manakala jika kita renung kembali Konflik Politik Sabah 2018,walaupun selepas Tan Sri Musa Aman dari Gabungan Barisan Nasional mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-15, jawatan tersebut telah diambil oleh YB Senallang dengan “lompatan” Kepemimpinan UPKO yang asalnya dari tiket Gabungan Barisan Nasional (BN) berpindah ke Gabungan Parti Warisan-Pakatan Harapan (PH). Pertembungan berlaku sehinggalah pada November 2018 apabila Mahkamah telah mengeluarkan kenyataan bahawa YB Senallang adalah Ketua Menteri Sabah yang Sah untuk kerajaan Sabah.
Kesan Tindakan lompatan juga, akhirnya DUN Sabah dibubarkan pada tahun 2020.
Pada Pilihanraya Negeri Sabah tahun 2020 tersebut, Gabungan Warisan Plus telah tewas dan telah dikalahkan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang membentuk kerajaan Bersama Barisan Nasional.
Namun, keredaan konflik politik Sabah bergolak lagi tahun ini.
Usaha mengumpulkan Akuan Bersumpah Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dibuat lagi bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada. Mujur Langkah Kinabalu yang digembar-gemburkan menemui jalan buntu sebelum sempat menggugat kerajaan sedia ada.
Selaku wakil rakyat dan ahli sesebuah parti, saya percaya bahawa ketika menyertai sesebuah parti maka kita tentulah mempunyai keyakinan bahawa parti tersebut adalah sebuah parti yang kita yakini boleh membawa pembangunan dan mentadbir daerah dan negeri kita dengan baik demi manfaat rakyat. Sekurang-kurangnya keyakinan itu wujud pada masa itu.
Saya tidak berniat menegakkan benang yang basah.
Tapi, Sahabat Rasulullah, Abu Dzar radiallahu ‘anhu, berkata: Rasulullah S.A.W mewasiatkan kepada ku tujuh perkara: dan salah satunya adalah Baginda menyuruh aku untuk berkata benar walau ia pahit. Justeru, saya berdiri di hadapan dewan yang mulia ini kerana saya perlu berkata benar meskipun ianya pahit.
Saya percaya, apa yang saya rasa Ketika ini sama seperti beberapa rakan ahli-ahli dewan lain yang turut bertindak keluar dari parti yang mereka perjuangkan sebelum ini. Semua ahli dewan yang keluar parti yang saya maksudkan bukan hanya merujuk kepada sahaja kami dari parti warisan yang keluar dan memilih ke grs sebagai wadah perjuangan politik yang baharu, tapi juga ahli dewan dari parti barisan nasional, pkdm, termasuklah ahli dewan parti dap yang keluar menyertai parti warisan.
Barangkali situasi dan kondisi yang saya alami mungkin mempunyai jalan cerita yang berbeza dengan rakan-rakan lain yang meninggalkan parti asal untuk menyertai parti lain, namun asasnya masih sama, iaitu tidak wujud kesefahaman dan keyakinan terhadap parti asal.
Justeru, saya sangat berharap agar isu ini tidak dilihat dari sudut dan ruang lingkup yang agak sempit yang subjektif, sempit serta tidak melalui pemikiran yang agak selektif. Sebaliknya ia perlu dilihat secara menyeluruh dari pelbagai sisi,
Contoh paling mudah lihatlah bagaimana ahli-ahli atau pimpinan parti-parti politik hanya melenting dan mendesak kewujudan akta itu kalau ada ahli mereka melompat keluar ke parti lawan. Namun, Sementara apabila parti mereka menerima penghijrahan ahli dewan dari parti yang lain, Tindakan itu tiba-tiba pandangan dan penilaian berubah 180 darjah malah diciptakan naratif untuk menjadikannya satu tindakan yang SUCI dan MURNI. Tidak lagi pernah pula kedengaran nada tegas menolak, malah dicanang keseluruh pelusuk negeri konon betapa parti mereka kian mendapat sokongan dengan penuh girang bergirang hati dan dan bangga.
Walaupun pada mata kasar, Tindakan ini adalah pengkhianatan terhadap parti, namun Tindakan ini sedikitpun tidak melanggar keluhuran perlembagaan. Perlembagaan kita memberikan hak kebebasan berpersatuan kepada rakyat termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri.
Tidak kurang yang mendakwa bahawa lompat parti adalah tidak sah, tidak demokratik kerana tidak melalui pilihan raya. Jawapannya mudah. Terdapat situasi di mana semua pemegang taruh termasuk parti pembangkang tidak dapat menunggu sehingga mandat kerajaan berakhir demi nafsu menukar cabinet dan merampas kedudukan ketua Menteri. Jadi, kalau lompat parti perlu tunggu pilihanraya, kenapa rampasan kuasa juga tidak tunggu pilihanraya saja.
Bukankah RAMPASAN KUASA juga adalah satu bentuk PENGKHIANATAN MANDAT RAKYAT???
Saya tidak menafikan, benar, amalan lompat parti telah menyebabkan defisit keyakinan rakyat terhadap amalan demokrasi.
Tapi, apakah alternatif bagi ahli politik seperti kami jika parti politiknya pula KHIANAT dan berpaling tadah dari janji asal untuk berjuang dan berkorban demi rakyat. Bila parti politiknya memilih berjuang untuk dinasti keluarga dan kemaruk kuasa Ketua Menteri. Wajarkah ahli politik seperti kami menjadi tawanan politik hanya untuk memuaskan nafsu dan cita-cita peribadi kepimpinan parti.
Secara peribadi, Walaupun parti asal saya tewas pada PRN16 lalu, saya dan rakan-rakan masih kekal bertahan selama lebih 2 tahun.
Kerana Ketika itu kami melihat bahawa asas perjuangan masih kekal dan teguh.
Saya yakin semua ahli dewan undangan negeri di dewan yang mulia ini memegang peranan sebagai pemimpin. Antara sifat pemimpin yang dituntut adalah Berani.
Justeru, apabila pada hemat dan pemerhatian saya, berlaku perubahan yang agak ketara dalam hala tuju perjuangan dan prinsip parti , saya perlu menjadi pemimpin yang berani mengambil risiko demi membela nasib rakyat yang saya wakili.
Lompat parti adalah keputusan yang sangat sukar. Saya perlu membuat keputusan yang baik bukan untuk diri saya semata, tapi untuk kebaikan rakyat yang telah menaruh harapan setelah mengangkat saya sebagai wakil mereka.
Ada ketika dan saat kita perlu membuat pertimbangan yang mungkin sulit dan sukar difahami oleh orang lain, namun kepentingan rakyat yang saya wakili menjadi keutamaan saya.
Maka selepas berbincang dan mendapat persetujuan pimpinan dan majoriti jentera juga penyokong di peringkat akar umbi, baharulah keputusan ini saya buat.
Walaupun ramai yang menuduh saya keluar kerana sogokan namun, saya yakin, suatu hari nanti rakyat Kunak akan dapat merasakan niat tujuan saya.
Namun, di dewan yang mulia ini, ingin saya menegaskan, seandainya ada bukti yang saya TELAH menerima sogokan atau RASUAH, saya bukan mencabar, tapi saya memohon, jangan hanya berani bercakap, jadi anak jantan, buatlah aduan rasmi ke agensi yang berkaitan.
Ketika saya membuat keputusan, saya nekad untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan reaksi dari pelbagai pihak. Dan Ketika itu sekiranya RUU Anti Lompat Parti sudahpun diguna pakai di peringkat DUN Negeri Sabah, maka saya nekad akan bersedia mengosongkan kerusi saya ketika itu.
Namun oleh kerana undang-undang semasa yang berkuatkuasa dan sedang diguna pakai adalah tidak menghalang Ahli Dewan menukar parti, maka saya dan saya percaya sahabat lain yang meninggalkan parti masing-masing juga berfikir bahawa kita jalani dan teruskan perkhidmatan sejajar undang-undang yang sedang berkuatkuasa. Sekurang-kurangnya, masa dan tenaga dapat kita guna dan fokuskan untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat yang diwakili. Jauh lebih baik dari sibuk berpolemik, mengutuk dan menghina kerajaan sedia ada.
Di Sabah ini, Terlalu banyak masalah rakyat. Sukar untuk melakukan sebarang perancangan atau perlaksanaan jika ahli politik hanya sibuk berpolitik. Kita perlu Kerajaan yang stabil.
Seperti yang saya jelaskan sebentar tadi, saya dan beberapa orang rakan dari parti yang lama bertindak keluar parti adalah untuk membantu menstabilkan Kerajaan sedia. Oleh itu, pastinya akta anti lompat parti ini akan kami sokong kerana ianya bertujuan yang sama, memastikan kestabilan kerajaan.
Saya mencadangkan agar mana-mana ahli dewan undangan yang mengambil keputusan meninggalkan parti yang lama, perlu diberi ruang untuk menjelaskan alasan mereka. Perlu ada Pembentukan Jawatankuasa untuk mendengar sebab dan punca Ahli Dewan itu keluar parti. Dengan adanya Jawatankuasa ini, akta ini tidaklah membatasi hak asasi kita semua sebagai seorang individu dan juga Ahli Dewan. Seperti saya, dapatlah saya buktikan betapa saya keluar parti adalah disebabkan tekanan dan ugutan yang saya terima. Jawatankuasa ini juga boleh menjadi penilai jika ada unsur sogokan atau rasuah berlaku.
Kita sedang melahirkan pemimpin, bukan kerbau dicucuk hidung atau wakil rakyat Yes Boss sahaja.
Amanah yang kita pegang sebagai pemimpin amat berat dan sarat dengan tanggungjawab. Saya yakin di akhirat kelak, saya tidak akan ditanya sama ada saya setia kepada pemimpin parti, tapi saya yakin saya akan ditanya sama ada saya setia membantu dan membela Nasib rakyat yang saya wakili. Saya rela menjadi khadam kepada Keluarga Kunak yang saya kasihi.
Saya tahu, pasti masih ramai yang marah. Jika mereka ingin menghina dan marahkan saya, Demi Allah, saya ikhlaskan. Buat kepimpinan parti saya yang lama, saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih atas peluang yang diberi selama ini, juga mohon maaf kerana tidak lagi boleh bertahan apabila keputusan parti yang saya rasa sudah tidak lagi selari dengan aspirasi rakyat dan perjuangan asal kita.
Cuma saya mohon, jangan terlalu meludah saya. Saya risau, nanti ibarat meludah ke langit, terkena muka sendiri.
Datuk Speaker,
Kunak mohon menyokong.
Sekian terima kasih.
Tahniah Adun Kunak, inilah contoh pemimpin yg Kita kehendaki. Ucapan YB Sangat bernas, padu dan kena pada tempatnya. Saya sebagai rakyat Sabah sangat berbangga dengan YB. Sekali lagi Tahniah.
LikeLike