UMNO Sudah Beralih Menjadi Parti Perasuah Secara Total – Mahathir

UMNO

1. Selama 22 tahun saya memimpin UMNO sebagai Presidennya. Sekarang saya menentang UMNO dan berusaha supaya Kerajaan pimpinan UMNO dikalahkan dan UMNO tidak lagi menjadi Kerajaan Malaysia.

2. Saya terpaksa keluar dari UMNO kerana UMNO bukan lagi UMNO yang ditubuh pada 11 Mei 1946 bukan yang menyelamat Tanah Melayu dari diambil alih oleh British bukan yang berjaya merebut kemerdekaan negara dan kemudian telah bangun negara sehingga terkenal sebagai Harimau Asia.

3. UMNO sekarang sudah beralih menjadi parti perasuah secara total – dari puncak pimpinan sehingga ke akar umbi. Pucuk pimpinan UMNO sekarang terkenal di seluruh dunia sebagai perasuah, pencuri berbillion duit negara, penyalahguna kuasa, perosak pentadbiran negara dan penghancur UMNO itu sendiri.

4. Rasuah, sogokan duit dibuat sehingga ahli Majlis Tertinggi, ketua bahagian, ketua cawangan, ahli biasa semua terlibat dengan rasuah tanpa malu. Walaupun ahli boleh singkir pemimpin yang menyeleweng, tetapi mereka tidak guna Perlembagaan UMNO untuk bersihkan parti. Sebaliknya mereka teruskan sokongan kuat kepada Presiden yang akhirnya di dapati bersalah dan di penjara.

5. Mereka (ahli UMNO) nafi, tetapi rakyat tahu mereka mengongsi duit yang dicuri, duit haram. Ramailah pemimpin UMNO yang memiliki sampai dua billion Ringgit. Wakil rakyat, Menteri pun biasanya tidak boleh ada duit sebanyak ini.

6. Sebab itu kita membaca laporan berkenaan dengan berbillion duit 1MDB hilang, enam billion untuk buat enam buah kapal LCS hilang tanpa satu pun kapal dibina. Duit Kerajaan ratusan million diperuntukkan untuk beli meriam, beli helikopter tanpa mengikut prosedur.

7. Perdana Menteri didedah memiliki lebih dua billion Ringgit dalam akaunnya di bank. Kononnya derma dari Raja Arab. AG pilihan Najib tidak menyiasat sepenuhnya punca duit ini tetapi mengisytihar tidak ada kesalahan yang dilakukan oleh Najib. Sebaliknya apabila Najib dibicara, dia didapati bersalah, didenda dua ratus sepuluh million Ringgit, dipenjara 12 tahun.

8. Pimpinan dan ahli UMNO menuduh kononnya Najib dianiaya. Konon mahkamah tidak adil. Ini berkenaan seorang yang dibicara selama empat tahun; oleh tiga mahkamah dan sembilan hakim. Tidak ada kes seperti ini dalam sejarah negara. Semua hakim bersetuju Najib salah.

9. Yang tidak adil ialah tindakan Najib cuba tutup bangkai gajah dengan memecat sesiapa yang cuba siasat apa-apa berkenaan salah laku 1MDB.

10. Peguam Negara Abdul Gani Patail, disingkir dan diganti dengan pilihannya Apandi Ali yang kemudian membersihkan Najib dari semua siasatan dan pertuduhan. Begitu juga pegawai polis dan SPRM yang ditukar dan “dibeku”.

11. Polis diarah untuk tangkap siapa sahaja yang melapor atau mengkritik 1MDB dan juga Najib secara terbuka.

12. Di Parlimen, Pengerusi Public Accounts Committee diganti dengan seorang yang rapat dengan beliau, laporan Audit Negara diklasifikasi sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk mengelak diketahui umum, persoalan berkenaan 1MDB tidak dibenar dibahas di Parlimen.

13. Khairudin Abu Hassan dan Matthias Chang ditahan di bawah SOSMA untuk halang mereka melapor berkenaan wang 1MDB ke luar negara.

14. Dan banyak lagi yang dilaku oleh Najib untuk melepas dirinya dibantu pegawai-pegawai yang bertuhankan Najib.

15. Dan semua perlakuan ini diterima, disokong dan dipertahan oleh UMNO. Pendirian dan sikap UMNO menunjuk seluruh parti itu tidak lagi berpegang kepada prinsip perjuangan untuk bangsa, negara dan agama.

16. Pemenjaraan Najib tidak membersihkan UMNO. Budaya UMNO bukan budaya parti di waktu ia ditubuh. Ini bukan parti UMNO lagi.

17. Sebab itu UMNO perlu dikalahkan dan diganti dengan parti Melayu yang memegang kuat kepada prinsip perjuangan orang Melayu untuk bangsa, negara dan agama.

18. Saya, bekas Presiden UMNO dan ahli UMNO di waktu ia ditubuh pada 1946, menyeru supaya parti yang bernama UMNO sekarang ini ditolak sepenuhnya.

19. Saya sedih. Tetapi yang benar saya perlu terima. Parti saya dahulu sudah hancur kerana kepercayaan bahawa “Cash is King”.

DR MAHATHIR BIN MOHAMAD

6 September 2022

Sumber The Third Force

Tinggalkan komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: