Bekas SUB Imigresen Akui Terima Wang 26K Riyal-Kes Rasuah Zahid Hamidi

SHAH ALAM: Bekas Setiausaha Bahagian (SUB) Hal Ehwal Imigresen, Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau menerima 26,000 riyal daripada Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani atau “Wan Badak” ketika mereka berada di Arab Saudi.

Perkara itu dinyatakan Shahril Ismail ketika sesi pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zaidi yang mewakili Ahmad Zahid Hamidi pada perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dalam kes rasuah visa luar negara (VLN).

Ketika ditanya Ahmad Zaidi, adakah beliau menerima tunai dalam mata wang Arab Saudi 26,000 riyal daripada “Wan Badak”, saksi itu menjawab: “Ada, tetapi tujuan untuk menukar duit.”

Ahmad Zaidi: Saya rujuk satu dokumen yang telah dibekalkan oleh pendakwaan kepada kami (pembelaan) dalam bundle 51A berkenaan kes ini, rujuk dokumen (buku 555 atau buku ‘faraid’) yang telah dirampas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ia pada Nov 2015, bersesuaian dengan apa yang Datuk beritahu tadi, Datuk pergi mengerjakan umrah. Ada mencatatkan ‘Mode cash kepada Wan Badak, Jumlah 26,000 Riyal, remark Syahril SUB’. Ini catatan Wan Quoris, Datuk setuju?

Shahril: Setuju.

Ahmad Zaidi: Bila Datuk mula terlibat dengan proses lanjutan kontrak UKSB, boleh saya katakan dari mula surat itu dihantar ?

Shahril: Ya, dari mula ia (surat) dihantar.

Shahril turut bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa beliau menerima RM14,000 daripada Wan Quoris pada 25 Okt 2016, iaitu tarikh sama surat tersebut dihantar kepada bahagiannya.

Bagaimanapun, beliau menafikan beberapa transaksi berjumlah antara RM19,000 dan RM28,000.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM merampas satu buku “faraid” milik UKSB yang merekodkan pembayaran kepada pihak tertentu.

Ditanya Ahmad Zaidi lagi, di dalam dokumen sama (buku ‘faraid’) menyatakan “remark cash RM100,000 dan RM50,000 kepada KJ”, beliau menjawab “Ya”.

Ahmad Zaidi: KJ itu Khairy Jamaluddin, yang sekarang Menteri Kesihatan?

Shahril: Ya.

Ahmad Zaid: Ia juga menyatakan SGD70,000 kepada FM. FM merujuk kepada Foreign Minister?

Shahril: Tidak pasti.

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran, Shahril menjelaskan beliau ke Arab Saudi selepas dipanggil seorang bekas pegawai KDN yang juga orang kampungnya.

“Di situ ada sekali Wan Quoris Shah, masa itu saya memang mahu mengerjakan umrah. Wan Quoris Shah tawarkan kepada saya, jika saya mahu menukar mata wang riyal.

“Saya beranggapan untuk ditukar, saya membawa RM10,000 untuk menukar dengan riyalnya, tetapi dia enggan mengambil wang saya,” katanya.

Ditanya Raja Rozela, adakah 26,000 riyal itu berkaitan kontrak UKSB atau kerja-kerja rasmi? Shahril menjawab: “Tidak, kerana ketika itu saya baru sahaja masuk (KDN).”

Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada UKSB, untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SGD1,150,000, RM3 juta, EUR15,000 dan USD15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Yazid Mustafa bersambung 10 Mei depan. FMT

Tinggalkan komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: