Datuk Nizam Seru NGO Bantu Mangsa Kebakaran Dengan Lebih Giat

TAWAU: Mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya terus mendapat perhatian daripada pelbagai pihak bagi meringankan bebanan yang mereka tanggung.

Terbaharu, Majlis Dakwah Negara (MDN) Sabah dengan kerjasama Yayasan Buruj turut menyampaikan bantuan kepada 122 murid sekolah yang terkesan akibat musibah itu.

Bantuan berupa beg dan peralatan sekolah itu disampaikan oleh Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan di Pusat Kegiatan Guru (PKG), di sini semalam.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata inisiatif yang dilakukan oleh MDN Sabah ini sangat bermakna kerana rata-rata mangsa kebakaran tinggal sehelai sepinggang.

Katanya, ramai dalam kalangan mangsa kebakaran tidak dapat menyelamatkan harta benda termasuklah peralatan sekolah anak mereka.

“Musibah kebakaran itu turut memberi kesan kepada murid sekolah kerana ia berlaku seminggu sebelum pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka.

“Sudah pasti semua barang sekolah yang dibeli sebelum itu musnah dalam kebakaran,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyerahan bantuan tersebut, di sini semalam.

Menurutnya, usaha yang dilakukan oleh MDN Sabah dan Yayasan Buruj ini perlu dicontohi oleh badan bukan kerajaan (NGO) lain bagi membantu mangsa kebakaran di sini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada MDN Sabah kerana membantu murid sekolah tersebut dan sudah pasti ia dapat mengurangkan beban keluarga mereka.

“Saya juga berharap MDN Sabah terus melakukan khidmat bakti di daerah Tawau terutamanya membantu mereka yang terkesan akibat musibah seperti kebakaran,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam menyatakan kerajaan juga sedang berusaha memberi penempatan sementara kepada mangsa yang masih berkhemah di tepi jalan.

“Kerajaan sudah menyediakan beberapa dewan di daerah ini untuk mangsa tinggal, sementara tapak kebakaran itu dibuat lot untuk mereka membina rumah semula.

“Mereka hanya perlu memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Tawau dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) sekiranya mahu tinggal di dewan yang sudah disediakan,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya MDN Sabah, Samin Ongki berkata pihaknya juga turut bersimpati dengan kejadian yang menimpa semua mangsa dan berhasrat untuk membantu setakat termampu.

“Sebelum itu, kami telah menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) untuk memaklumkan hasrat membantu murid sekolah yang menjadi mangsa kebakaran di sini.

“MDN Sabah memberikan bantuan kepada murid sekolah kerana melihat mereka juga adalah yang paling terjejas memandangkan sesi persekolah sudah bermula,” katanya.

Beliau menyeru lebih ramai yang tampil membantu mangsa kebakaran di sini kerana apa sahaja bantuan yang diberikan tidak dapat menggantikan sepenuhnya kerugian mereka.

“Inilah masanya kita tunjukkan keprihatinan dan kasih sayang kepada mereka yang ketika ini sangat memerlukan sokongan serta bantuan,” katanya.

Samin juga menyatakan MDN Sabah akan menjalankan beberapa aktiviti sempena bukan Ramadan di daerah ini.

“Kami akan mengatur aktiviti terutamanya menyampaikan sumbangan Ramadan, bukan sahaja kepada mangsa kebakaran tetepi di beberapa lokasi lain,” katanya.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Islam JPNS, Sufian Jasiman; Pegawai Pendidikan Daerah Tawau, Zamri Pehakan dan Ahli Jawatankuasa MDN Sabah.

Tinggalkan komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: