Dua Setiausaha Sulit Najib Terbabit Terbit Bon Ketiga 1MDB, Kata Leissner

Perbicaraan kes rasuah rakyat Malaysia yang juga bekas eksekutif bank Goldman Sachs di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS), Roger Ng, berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), semakin menarik dan memberi kejutan sedikit demi sedikit.

Sebelum ini, saksi utama pendakwaan yang juga bekas eksekutif bank itu, Tim Leissner mendedahkan hubungannya dengan kekasih rakyat Malaysia dan pembelian sebuah rumah di London berharga AS$10 juta kepada kekasihnya itu menggunakan wang 1MDB.

Hari ini, Leissner sekali lagi membuat kejutan apabila mendedahkan dua setiausaha sulit bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula terbabit dalam penerbitan bon ketiga untuk 1MDB.

Leissner mendedahkan bon berkenaan adalah bagi Projek Catalyze yang bernilai AS$3 bilion (RM12.6 bilion).

Dia memberitahu mahkamah bahawa bon ketiga itu bergantung kepada surat sokongan kerajaan Malaysia dan bukan berdasarkan jaminan International Petroleum Investment Companya (IPIC) seperti mana dua bon pertama bagi Projek Magnolia dan Projek Maximus.

Menurutnya dia mengadakan beberapa pertemuan dengan Azlin Alias ​​dan seorang lagi setiausaha sulit bekas perdana menteri itu, Amhari Efendi Nazaruddin selain Kementerian Kewangan serta Perbendaharaan untuk mendapatkan surat sokongan itu.

Leissner juga mendedahkan satu pertemuan turut diadakan bersama Najib di pejabatnya di Putrajaya untuk memperoleh surat sokongan yang ditandatanganinya sendiri.

Katanya, suspek utama skandal 1MDB, Low Taek Jho atau Jho Low, memberitahu kepadanya dan Roger Ng bahawa mereka tidak akan menerima sebarang ‘imbuhan’ seperti mana dua projek pertama.

“Jho Low memberi alasan dana yang dikumpulkan Projek Catalyze perlu digunakan untuk membiayai Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13), bagi memberi ‘sumbangan’ kepada pengundi sebagai ‘amalan biasa’ di Malaysia.

“Saya tidak tahu ke mana aliran sebenar wang itu atau sama ada ia diterima secara peribadi oleh Najib,” katanya.

Leissner juga berkata Azlin juga terbabit selepas itu apabila Goldman Sachs berusaha melupuskan AS$700 juta (RM3 bilion) bon Catalyze yang tidak dapat dijual selepas transaksi Project Catalyze.

Leissner dan Roger Ng turut menghubungi Jho Low bagi mendapatkan bantuannya menjual beberapa bon kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Malaysia seperti Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Difahamkan, salah satu bukti yang dikemukakan dalam kes itu ialah rantaian e-mel dihantar Leissner kepada Roger Ng pada 6 November 2013, yang turut mengandungi e-mel pertama dihantar oleh Jho Low kepada Azlin.

Leissner turut mendedahkan bahawa dia dan Roger Ng masing-masing menerima ‘imbuhan’ AS$17.5 juta (RM73.4 juta) untuk pembabitan mereka dalam terbitan bon pertama di bawah Projek Magnolia bernilai AS$1.75 bilion (RM7.34 bilion).

Tambahnya lagi, mereka menerima ‘imbuhan’ untuk bon kedua di bawah Projek Maximus, juga bernilai AS$1.75 bilion (RM7.34 bilion), tetapi dia tidak menyatakan jumlah sebenar yang mereka terima.

Ketika terbabit urus niaga ‘skim haram’ itu, Leissner mengakui bimbang dengan persepsi negatif media, namun tidak lagi khuatir selepas Najib menang PRU13. – BH/Agensi

Tinggalkan komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Blog di WordPress.com.

Atas ↑