Mahkamah Hanya Pantas Ke atas Orang Biasa Tidak Rosmah, Tidak Adil – Sri Ram

Bagaimanapun, panel tiga hakim yang dipengerusikan Hanipah Farikullah tidak mengeluarkan waran tangkap dan menarik balik ikat jamin seperti dicadangkan oleh Sri Ram kerana kegagalannya mematuhi perintah Mahkamah Tinggi pada 15 Okt.

“Mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk tidak mengeluarkan waran tangkap. Tambahan pula, beliau (Rosmah) tidak pernah gagal menghadiri prosiding Mahkamah Tinggi,” kata Hanipah.

Isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak itu dikatakan masih berada di Singapura menemani anak perempuannya, Nooryana Najwa yang baharu saja melahirkan anak kedua.

Menurut perintah Mahkamah Tinggi dikeluarkan hakim Mohamed Zaini Mazlan, beliau akan kembali pada atau sebelum 21 Nov dan menyerahkan pasportnya sebelum 6 Dis.

Hanipah yang turut disertai M Gunalan dan Hashim Hamzah, berkata, panel itu juga mengambil maklum penjelasan peguam Rosmah, Jagjit Singh bahawa disebabkan kelalaiannya menyebabkan beliau tidak hadir.

Hanipah berkata, panel itu memberi peluang kepada Rosmah untuk hadir pada Isnin jam 9 pagi.

Pada awal prosiding hari ini, Hanipah menyoal sama ada Rosmah hadir di mahkamah untuk mengikuti rayuannya.

Jagjit berkata terdapat perubahan mengenai perjalanannya selepas mengambil kira tempoh kuarantin dikenakan oleh Malaysia dan Singapura.

Apabila Hanipah bertanya sama ada Rosmah telah pulang seperti dikehendaki di bawah perintah Mahkamah Tinggi, Jagjit menjawab anak guamnya masih berada di sana.

Pada ketika ini, Sri Ram memohon mahkamah mengeluarkan waran tangkap dan menarik balik ikat jamin kerana melanggar perintah mahkamah (Tinggi).

“Beliau bukan budak-budak yang tidak tahu mengenai tugas, tanggungjawab dan liabilitinya,” katanya.

Akberdin Abdul Kader yang hadir bersama Jagjit, berkata mereka telah menghantar surat kepada pejabat pendaftaran Mahkamah Rayuan semalam untuk memaklumkan Rosmah akan pulang pada 6 Dis.

Hanipah berkata panel diberi surat itu hanya beberapa minit sebelum prosiding bermula hari ini.

Jagjit kemudian bangun sambil berkata beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas ketidakhadiran Rosmah dan mohon ia ditangguhkan sehingga Isnin bagi membolehkan anak guamnya hadir ke mahkamah.

Bagaimanapun, Sri Ram membantah sambil berkata ia amat penting untuk mahkamah mematuhi perintah dikeluarkan itu.

“Waran tangkap mesti dikeluarkan dan ikat jamin mesti dibatalkan. Jika tidak, perintah mahkamah tidak akan dihormati dan tidak ada nilai,” katanya.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu berkata mahkamah boleh bertindak pantas “sekiranya ia membabitkan orang biasa seperti Ahmad bin Abdul, Muniandy atau Ah Chong”.

Sri Ram berkata undang-undang mesti terpakai secara menyeluruh, jika tidak orang awam akan hilang kepercayaan terhadap mahkamah.

Hanipah berkata Rosmah sepatutnya memohon untuk melanjutkan perintah itu.

Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada kontraktor Saidi Abang Samsudin dalam projek hibrid solar sekolah-sekolah Sarawak, serta menerima wang tunai RM6.5 juta daripadanya.

FMT

Tinggalkan komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: