
TAWAU: Pemimpin akar umbi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas diminta untuk memberikan kerjasama dengan pasukan keselamatan bagi membanteras aktiviti jenayah di kawasan mereka.
Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata semua pemimpin akar umbi dan masyarakat perlu menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan.
“Daerah kita berada di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) dan mudah mendapat ancaman terutamanya jenayah rentas sempadan.
“Justeru, pemimpin akar umbi di DUN Apas perlu menjalinkan hubungan yang rapat dengan pasukan keselamatan terutamanya pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM),” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian semasa merasmikan program ESSCOM Prihatin, di Kampung Titingan, di sini semalam.
Katanya, pemimpin akar umbi diminta untuk memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan penduduk dan kawasan mereka.
“Kita tidak mahu kawasan mereka dijadikan sarang penjenayah dari luar yang boleh menyebabkan keadaan sukar dikawal seperti yang berlaku di Tanduo beberapa tahun lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam merakamkan terima kasih kepada pihak ESSCOM kerana memilih DUN Apas sebagai tempat menjalankan program ESSCOM Prihatin.
Menurutnya, program mendekati masyarakat dengan menyampaikan bantuan bakul makanan itu adalah inisiatif yang sangat baik.
“Melalui program itu dapat meringankan bebanan seramai 200 ketua isi rumah (KIR) di kampung Titingan yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.
“Selain itu, ESSCOM turut menyumbang peralatan sanitasi kepada Tabika KEMAS di kampung tersebut bagi mengelak penularan wabak berlaku dikalangan murid sekolah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata sumbangan itu adalah program mendekati masyarakat di kawasan ESSZONE.
Katanya, ESSCOM mahu wujudkan jalinan kerjasama supaya masyarakat tidak takut untuk menyalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan.
“Kita mahukan masyarakat bersama-sama mengambil berat soal keselamatan kawasan mereka kerana menjaga keamanan bukan terletak di bahu pasukan keselamatan semata-mata.
“ESSCOM akan sentiasa mengadakan program turun padang bersama masyarakat terutamanya di kawasan persisir pantai,” katanya.
Terdahulu, program ESSCOM Prihatin itu adalah kali ketiga diadakan selepas di kampung Balung Cocos, di sini dan kampung Pulau Berhala, Sandakan.
Sehingga kini, seramai lebih 450 KIR sudah menerima sumbangan tersebut yang dikordinasi oleh pihak ESSCOM dan akan melaksanakannya lagi di daerah lain seperti Semporna dan Kudat – Utusan Borneo
Tinggalkan Jawapan