
PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak dakwaan yang mengatakan kerja penyimpanan data dan maklumat peribadi rakyat negara ini diberikan kepada pihak swasta, sebaliknya semua tugas itu dilakukan agensi kerajaan berkaitan.
Menterinya Hamzah Zainudin berkata ia hanya andaian pihak tertentu, sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku.
“Kita tidak beri kepada pihak swasta, semua itu (dakwaan penyimpanan data dan maklumat peribadi oleh pihak swasta) hanya andaian semata-mata,” katanya yang dipetik Berita Harian pada sidang media di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Bukit Kayu Hitam, hari ini.
Semalam, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan tiada sebarang kebocoran dan ketirisan maklumat dalam pangkalan data peribadi MyIdentity dengan sistem kawalan keselamatan data FireWall adalah sangat kukuh melindungi semua maklumat peribadi rakyat.
Susulan itu, polis sedang menjalankan siasatan berhubung kebocoran empat juta data peribadi rakyat Malaysia yang lahir sejak 1979 sehingga 1998 yang didakwa dari sistem MyIdentity.
FMT
Tinggalkan Jawapan