Kaji Semula Pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS)

Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah mengkaji semula pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS).

Sebagaimana yang dilaporkan media sebelum ini, pada 7 September 2019, dalam satu mesyuarat bersama di antara Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri Sabah, telah diputuskan bahawa kerajaan akan memperkenalkan PSS sebagai satu dokumen bagi menggantikan Sijil Banci, Kad Burung-Burung dan IMM13. Dilaporkan bahawa PSS akan mula dilaksanakan pada 1 Jun 2020.

Sejak pengumuman tersebut, ARMADA BERSATU Sabah telah menerima pelbagai respon daripada masyarakat Sabah, dan hampir keseluruhannya menzahirkan kebimbangan, dan sebahagian besar daripadanya tidak bersetuju dengan pengenalan PSS.

ARMADA BERSATU Sabah melihat respon negatif ini berpunca daripada pengumuman tersebut dibuat tanpa wujudnya sesi libat urus (engagement) yang menyeluruh di kalangan rakyat, dan tanpa sebaran maklumat yang mencukupi.

Dalam isu imigresen dan pendaftaran yang amat sensitif bagi warga Sabah, seharusnya pelbagai siri sesi libat urus dilaksanakan di kalangan rakyat sebelum sebarang keputusan dibuat. Pendekatan mesyuarat, perbincangan dan pembuatan keputusan di kalangan agensi Kerajaan semata-mata adalah tidak memadai dan tidak adil bagi rakyat. Isu imigresen dan pendaftaran mempunyai kaitan langsung dengan kedaulatan negara, dan setiap anak watan mempunyai hak dan kepentingan untuk ambil peduli.

Pelbagai persoalan timbul, antaranya apakah punca kuasa perundangan Sijil Banci, Kad Burung-Burung, IMM13 dan PSS itu sendiri. Selain itu, sekiranya dilaksanakan kelak, adakah pemegang PSS dibenarkan bekerja secara sah di Sabah, dan sekiranya dibenarkan, adakah mereka akan dikenakan bayaran levi sebagaimana pekerja asing sah yang lain.

Sekiranya tidak dikenakan levi, dilihat bahawa dasar ini akan memberikan keistimewaan kepada warga asing ‘tidak sah’ melalui PSS berbanding warga asing yang masuk secara sah untuk bekerja yang tertakluk kepada pembayaran levi tahunan yang lebih tinggi, berbanding hanya RM120 bagi pemegang PSS untuk tempoh sah laku 3 tahun.

Begitu juga, persoalan yang paling penting adalah sejauh mana dapat dipastikan senarai dan proses pengagihan PSS adalah telus dan kalis penyelewangan. Pada masa yang sama, isu yang lebih merisaukan adalah apakah hala tuju pasca PSS, apakah tempoh maksima pemegang PSS dan adakah telah wujud pelan tindakan yang jelas bahawa mereka akan dihantar balik ke negara asal.

Persoalan pokok berkisar kepada objektif dan justifikasi pengenalan PSS itu sendiri yang tidak diperjelaskan secara terperinci.

Sehubungan itu, susulan daripada Bengkel Pemurnian Pasca Belanjawan 2020 yang telah kami anjurkan pada 10 November 2019, ARMADA BERSATU Sabah telah memutuskan untuk menggesa agar kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan PSS.

Sebarang keputusan muktamad hanya boleh dibuat setelah sesi libat urus menyeluruh dilaksanakan dan kerisauan dan persoalan warga Sabah berkaitan isu ini ditangani dengan sewajarnya.

Adalah juga diharapkan para Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah akan menggunakan platform Persidangan DUN Sabah yang akan bermula esok, Jumaat, untuk membincangkan perkara dan isu yang amat kritikal dan penting ini demi memelihara keselamatan dan kedaulatan tanah air.

BERSATU – BERAMANAH – BERMARUAH

*MOHD ISQUZAWAN ISRAQ ARSIT*
Ketua ARMADA
BERSATU Sabah

-tamat-

Tinggalkan komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: