
Hari satu lagi peristiwa penting terukir dalam lipatan sejarah negeri. Permuafakatan parti-parti politik melahirkan sebuah wadah baharu dan jajaran politik lokal yang kita namakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Berbeza dengan pembentukan gabungan parti-parti politik lain di Sabah sebelum ini, GRS bermula dengan mandat rakyat sebelum didaftarkan secara rasmi. Pada Pilihan Raya Negeri ke-16 dalam bulan September 2020, parti-parti politik dalam Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) telah membentuk kerjasama, dan Alhamdulillah, kita mendapat kepercayaan rakyat yang membawa kepada pembentukan Kerajaan Negeri yang dikenali sebagai Kerajaan GRS + BN pada hari ini.
Sebagai satu formula tempatan, kehadiran komponen politik nasional dalam GRS adalah tertakluk kepada agenda, teras dan prinsip GRS. Komitmen kepada formula tempatan ini juga dipelihara dengan peruntukan undang-undang tubuh parti yang menetapkan bahawa teraju kepimpinan GRS adalah ditentukan melalui konsensus lokal iaitu kesepakatan parti-parti komponen GRS. Kita akan bergerak dan bertindak atas landasan formula tempatan dan setiap ahli GRS perlu berpegang teguh kepada agenda, teras, prinsip dan Perlembagaan GRS serta menjunjung keluhuran Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan.