© Provided by Free Malaysia Today Wan Saiful Wan Jan berkata, PN juga boleh mendedahkan pelbagai kepincangan yang dilakukan pemimpin Umno semasa memerintah negara dahulu atau yang cuba dilakukan oleh pemimpin parti itu ketika ini.
PETALING JAYA: Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, memberi amaran akan mendedahkan kepincangan dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) susulan serangan berterusan parti itu terhadap pimpinan Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, kesabaran PN ada hadnya dan turut mengingatkan “kawan-kawan” Umno agar tidak “menguji yang bukan-bukan”.
“Strategi mereka ialah untuk membunuh karakter Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dengan pelbagai tohmahan bagi menidakkan kejayaan beliau mentadbir negara ketika menjadi Perdana Menteri. Mereka mahu menghapuskan sejarah kecekapan Muhyiddin mengemudi negara semasa krisis.
“Disebarkan tohmahan dalam rangka untuk membunuh karektor Muhyiddin dan mula melarat. Mula-mula sasarannya adalah Muhyiddin, ini mula melarat kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Presiden PAS),” katanya dalam video klip pendek yang dimuat naik ke Facebook.
Beliau berkata, PN juga boleh mendedahkan pelbagai kepincangan yang dilakukan pemimpin Umno semasa memerintah negara dahulu atau yang cuba dilakukan pemimpin parti itu ketika ini.
Wan Saiful berkata, Umno semakin terdesak kerana dipimpin oleh “kluster mahkamah”.
Beliau sebelum ini mendakwa pemimpin Umno daripada “kluster mahkamah” mendesak pilihan raya negeri (PRN) Johor untuk kekal berkuasa dan mengalihkan perhatian daripada kes mahkamah mereka.
Tuduhan itu mendapat reaksi pemimpin Umno lain, terutama daripada rakan sejawatannya dalam parti terbabit, Shahril Hamdan, yang menyatakan PRN Johor perlu diadakan bagi menangani ketidakstabilan politik disebabkan tindakan Bersatu.
FMT
Tinggalkan Jawapan