
UCAPAN BELANJAWAN NEGERI TAHUN 2022
OLEH
Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA HAJI HAJIJI BIN HAJI NOOR
KETUA MENTERI MERANGKAP MENTERI KEWANGAN SABAH
DI PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI
PADA
03 DISEMBER 2021 (JUMAAT)
BERSAMAAN 28 RABIULAKHIR 1443H
“EKONOMI PULIH, RAKYAT SEJAHTERA”
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Keluarga Malaysia
Salam Sabah Maju Jaya
Datuk Speaker,
- Dengan penuh takzim, saya mohon izin untuk
membentangkan cadangan Belanjawan Negeri Sabah bagi
Tahun 2022 untuk kelulusan Dewan yang mulia ini.
MUKADIMAH
Datuk Speaker, - Alhamdulillah. Setinggi-tinggi pujian dan kesyukuran
dirafakkan ke hadrat Allah Subahanahu Wa Ta’ala atas
kekuasaan dan kebesaran-Nya kita dapat sekali lagi bersidang
di Dewan yang mulia ini. Selawat dan salam ke atas junjungan
besar Nabi Muhammad Sallallahualaihi Wasallam, para
sahabat dan keluarga baginda.
2 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya - Saya juga bersyukur kerana dengan limpah rahmat dan izinNya jua, pada petang Jumaat yang penuh keberkatan ini, saya
diberikan ruang dan kesempatan untuk terus menunaikan
amanah serta tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan bagi
membentangkan Belanjawan Negeri Sabah Tahun 2022 di
hadapan para Ahli Yang Berhormat yang dipilih mewakili
seluruh rakyat di Sabah. - Belanjawan 2022 merupakan bajet tahunan kedua di bawah
Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Suka saya mengimbas
kembali bahawa Hala Tuju SMJ yang telah dilancarkan pada
29 Mac 2021 adalah berpaksikan Aku Janji Gabungan Rakyat
Sabah (GRS) yang telah dimurnikan melalui rangkuman
aspirasi rakyat dan diangkat sebagai agenda utama
pembangunan negeri. - Matlamat Hala Tuju ini adalah untuk memacu pembangunan
yang komprehensif bertunjangkan kekuatan jati diri dan
keteguhan patriotisme terhadap tanah air tercinta. Ini
bersesuaian dengan tema Sabah Maju Jaya yang merupakan
slogan jata negeri milik setiap anak watan sejak sekian lama.
Pelan Pembangunan ini memayungi pelbagai pelan sektoral
sedia ada. Ia juga telah dijajarkan dengan pelan-pelan di
peringkat nasional dan global seperti Wawasan Kemakmuran
Bersama 2030 (WKB2030) dan Sustainable Development
Goals 2030 (SDG2030).
3 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya - Pelan ini ditunjangi tiga teras utama iaitu S, M, dan J meliputi:
S: Sektor Utama Fokus Pertumbuhan Ekonomi melibatkan
Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan;
M: Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat; serta
J: Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau. - Sejak pelancaran SMJ, pelbagai inisiatif di bawah tiga teras
utama tersebut telah dan sedang giat dilaksanakan untuk
manfaat rakyat dan negeri. Sungguhpun pelaksanaan
sepenuhnya sebahagian inisiatif di bawah pelan ini turut
terkesan dengan faktor pandemik COVID-19, namun status
kemajuannya adalah memberangsangkan. Kad Laporan
Pencapaian bagi setiap kementerian akan dibentangkan
secara tahunan bermula pada 29 Mac 2022. Insya Allah,
bermula tahun hadapan, kita mensasarkan lebih banyak
inisiatif dapat digerakkan melalui Belanjawan 2022 dengan
situasi pandemik COVID-19 yang semakin terkawal.
PRESTASI DAN PROSPEK EKONOMI: DUNIA DAN MALAYSIA
Datuk Speaker, - Hakikatnya, COVID-19 masih menjadi isu utama yang
membelenggu kehidupan manusia di seluruh dunia. Sehingga
kini, semua pihak masih berusaha menangani krisis yang telah
mengorbankan banyak jiwa dan memberi impak negatif dan
4 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
amat besar ke atas ekonomi, sosial dan cara hidup masyarakat
global. Pandemik ini juga telah mengubah gaya hidup kepada
norma baharu dengan pengamalan prosedur operasi standard
(SOP) yang telah dikuatkuasakan dan perlu dipatuhi. - Kerajaan Negeri akan terus berusaha bagi memastikan rakyat
mendapat perlindungan melalui Program Imunisasi COVID-19
Kebangsaan. Setakat 1 Disember 2021, Sabah telah
mencapai kadar 75% vaksinasi lengkap bagi golongan dewasa
dan remaja.
EKONOMI DUNIA
Datuk Speaker, - Ekonomi dunia mula menunjukkan pertumbuhan di ambang
pasca pandemik dengan kadar tidak sekata dan lemah.
Pertumbuhan diunjurkan sebanyak 6 peratus pada tahun 2021
dan menguncup kepada kadar 4.9 peratus pada tahun 2022.
Unjuran pertumbuhan ini sebahagian besarnya disumbang
oleh ekonomi kelompok Negara Maju, terutamanya Amerika
Syarikat yang didorong oleh pakej rangsangan ekonomi serta
kejayaan program vaksinasi. Manakala, bagi kategori Negara
Ekonomi Membangun dan Pasaran Baru Muncul, peningkatan
gelombang COVID-19 dan kelewatan akses kepada vaksinasi
5 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
telah memberi kesan kepada aktiviti perdagangan negaranegara terbabit. - Ekonomi Amerika Syarikat diunjurkan tumbuh pada kadar
7 peratus pada tahun 2021 sebelum menguncup pada kadar
4.9 peratus pada tahun 2022, apabila dasar sokongan fiskal
dan monetori Kerajaan akan mula berkurangan. Sementara
itu, dengan berlatar belakangkan persekitaran kesihatan yang
semakin pulih dan kelonggaran sekatan pandemik, ekonomi
Kesatuan Eropah diunjurkan tumbuh masing-masing pada
kadar 4.6 peratus dan 4.3 peratus pada tahun 2021 dan 2022. - Manakala, ekonomi Jepun diunjurkan tumbuh pada kadar
2.8 peratus pada tahun 2021 dan meningkat kepada 3 peratus
pada tahun 2022. Negara China pula menjangkakan ekonomi
negara tersebut akan berkembang sebanyak 8.1 peratus pada
tahun 2021 sebelum menguncup kepada kadar 5.7 peratus
pada tahun berikutnya. Ini adalah susulan kepada langkah
pihak berkuasa negara berkenaan yang dilihat lebih fokus
dalam usaha mengurangkan risiko kestabilan kewangan. Pada
masa yang sama, unjuran pertumbuhan ekonomi India dilihat
kukuh pada kadar 9.5 peratus pada tahun 2021 sebelum
menyusut sedikit kepada 8.5 peratus pada tahun 2022.
6 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
EKONOMI MALAYSIA
Datuk Speaker, - Di peringkat domestik, ekonomi Malaysia kekal berada di
landasan pemulihan pada tahun 2021 dan proses pemulihan
ini dijangka akan lebih rancak lagi pada tahun 2022. Ini
disokong oleh pembukaan semula aktiviti ekonomi secara
berperingkat, dasar sokongan mampan kerajaan dan
peningkatan berterusan dalam permintaan luaran. Justeru,
diunjurkan ekonomi Malaysia dijangka akan berkembang di
antara 4 peratus hingga 5 peratus pada suku tahun keempat
tahun 2021. Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia juga
kekal meningkat kepada USD115.2 billion setakat
30 September 2021.
PRESTASI DAN PROSPEK EKONOMI: SABAH
Datuk Speaker, - Sabah juga tidak terkecuali daripada menerima impak negatif
yang dicetuskan oleh penularan virus COVID-19. Nilai
Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Sabah
menyusut sebanyak 9.5 peratus iaitu daripada RM85.6 bilion
pada tahun 2019 kepada RM77.5 bilion pada tahun 2020.
Pendapatan Per Kapita Sabah juga telah menurun kepada
7 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
RM21,626.00 pada tahun 2020 berbanding RM25,375.00
pada tahun 2019. Ini adalah kesan langsung daripada
pertumbuhan negatif semua sektor ekonomi utama negeri ini
dalam tahun 2020. - Sektor Pembinaan merupakan antara sektor yang paling
terjejas dengan mencatat pertumbuhan negatif pada kadar
29.1 peratus dalam tahun 2020. Ini didorong oleh
pertumbuhan negatif sub-sektor kejuruteraan awam dan
bangunan bukan kediaman. Syarat pematuhan SOP termasuk
had jumlah pekerja yang dibenarkan di tapak pembinaan
sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
mempengaruhi penyusutan pertumbuhan sektor berkenaan. - Sektor Perlombongan dan Pengkuarian juga mencatatkan
pertumbuhan negatif pada kadar 13.5 peratus pada tahun
2020 disebabkan penyusutan bagi aktiviti pengekstrakan
petroleum mentah dan gas asli. - Manakala, pertumbuhan Sektor Perkhidmatan direkodkan
telah menyusut kepada 7.4 peratus pada tahun 2020 yang
didorong oleh penyusutan pertumbuhan sub-sektor
Perdagangan Borong dan Runcit; Penginapan, Makanan dan
Minuman; Pengangkutan dan Penyimpanan; serta Hartanah
dan Perkhidmatan Perniagaan. Kelembapan aktiviti-aktiviti
dalam sektor pelancongan secara langsung mempengaruhi
penguncupan pertumbuhan semua sub-sektor tersebut.
8 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
Industri pelancongan menerima kesan yang paling ketara
dengan ketibaan pelancong ke Sabah telah menurun secara
drastik daripada 4.2 juta orang pada tahun 2019 kepada
977,460 orang sahaja pada tahun 2020 iaitu penyusutan
sebanyak 76.7 peratus. Setakat Oktober 2021, bilangan
pelancong jauh menurun kepada 156,535 orang sahaja. - Sektor Pertanian pula merekodkan pertumbuhan negatif pada
kadar 6.6 peratus pada tahun 2020. Ini dipengaruhi oleh
penurunan dalam sub-sektor tanaman khususnya
pengeluaran kelapa sawit dan kelembapan aktiviti perhutanan
dan pembalakan. - Pertumbuhan Sektor Pembuatan pada tahun lepas telah
menyusut sebanyak 6.5 peratus. Pengurangan dalam
pembuatan minyak sawit mentah dan minyak sawit bertapis
bagi kumpulan sub-sektor minyak dan lemak daripada sayuran
dan haiwan menyumbang kepada penguncupan pertumbuhan
sektor ini.
Datuk Speaker, - Pandemik COVID-19 juga telah merencatkan aktiviti
perdagangan Sabah dengan rakan-rakan dagangan utama.
Jumlah nilai eksport telah menyusut sebanyak 16 peratus
daripada RM49.2 bilion pada tahun 2019 kepada RM41.3
9 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
bilion pada tahun 2020. Manakala, nilai import telah
meningkat sebanyak 7.9 peratus kepada RM38.1 bilion pada
tahun 2020 berbanding RM35.3 bilion pada tahun
sebelumnya. Sungguhpun demikian, Sabah masih
mencatatkan lebihan dagangan positif sebanyak RM3.3 bilion
pada tahun 2020. Kadar inflasi pada tahun 2020 telah
menurun kepada negatif 1.9 peratus daripada 0.2 peratus
pada tahun 2019. - Kerajaan Negeri telah mengambil pelbagai langkah untuk
mengurangkan impak negatif pandemik ini bagi merangsang
semula pertumbuhan ekonomi Negeri Sabah. Pelbagai inisiatif
yang telah dan sedang kita laksanakan termasuk membuka
semula sektor-sektor ekonomi dan membenarkan aktiviti
rentas daerah dan negeri. Di samping itu, pelaksanaan Pelan
Pemulihan Negara dan pelbagai pakej rangsangan oleh
Kerajaan Persekutuan telah berjaya membantu
mempergiatkan lagi usaha pemulihan ekonomi negeri. - Alhamdulillah, dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan
Kerajaan, pertumbuhan negatif pelbagai sektor pada tahun
2020 telah mula berkembang kepada pertumbuhan positif
pada tahun 2021. Pertumbuhan ekonomi Sabah pada tahun
2021 dijangka menunjukkan tren pemulihan dan akan
berkembang secara perlahan tetapi positif pada kadar
3.8 peratus hingga 4 peratus.
10 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya - Jumlah keseluruhan eksport negeri dalam enam bulan
pertama tahun ini telah meningkat 22.7 peratus dan mencecah
RM24.9 bilion berbanding RM20.3 bilion dalam tempoh yang
sama pada tahun 2020. Ini didorong oleh pengukuhan harga
dan peningkatan nilai eksport beberapa komoditi utama
khususnya minyak sawit dan petroleum mentah. Manakala,
jumlah nilai import negeri dalam enam bulan pertama tahun ini
telah menyusut sebanyak 34.5 peratus kepada RM15.2 bilion
daripada RM23.2 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun
sebelumnya. Oleh itu, Sabah telah mencatatkan lebihan
dagangan positif sejumlah RM9.7 bilion pada enam bulan
pertama tahun 2021 berbanding dengan hanya RM3.3 bilion
sepanjang tahun 2020. - Kadar inflasi Negeri Sabah dalam tempoh Januari hingga Jun
2021 adalah 1.4 peratus berbanding negatif 1.5 peratus dalam
tempoh yang sama tahun 2020. Secara keseluruhannya,
antara isu utama yang perlu ditangani segera pada masa ini
adalah kesihatan awam, kos sara hidup, ketidak seimbangan
pembangunan wilayah, kadar kemiskinan dan pengangguran
yang kesemuanya berkait rapat dengan tuntutan keutamaan
untuk memulihkan kedudukan ekonomi pada kadar segera
untuk mewujudkan kesejahteraan rakyat.
11 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
Datuk Speaker, - Sebagai langkah ke hadapan, Kerajaan Negeri komited untuk
memperhebatkan lagi usaha bagi merangsang pertumbuhan
ekonomi melalui pelaksanaan pelbagai projek pembangunan
dan menarik pelaburan berimpak tinggi yang merentasi semua
sektor. Untuk itu, Kerajaan Negeri akan memperkasa
pelaksanaan projek-projek pembangunan sedia ada dan
baharu di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe12) bagi tempoh 2021 hingga 2025. Selain melonjakkan
pertumbuhan ekonomi, usaha ini disasarkan untuk menjana
lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat. - Kerajaan Negeri juga akan memperkasa pelaksanaan projekprojek berimpak tinggi yang menjadi flagship Hala Tuju SMJ
melalui pelaburan asing dan domestik. Antaranya tiga
pelaburan awal yang telah dimeterai pada 22 Mac 2021 iaitu
Projek Pembinaan Kilang Pembuatan Kerajang Tembaga di
Kota Kinabalu Industrial Park bernilai RM4.2 bilion, Projek Lok
Kawi Resort City dengan nilai pembangunan kasar projek
(GDV) sebanyak RM7 bilion dan Projek Kilang Pemprosesan
Kelapa di Pitas dengan nilai pelaburan sebanyak RM200 juta. - Projek-projek berskala besar melalui peruntukan Kerajaan
Persekutuan seperti Projek Pembesaran Pelabuhan Kontena
Teluk Sepangar, Projek Lebuhraya Pan Borneo dan projek-
12 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
projek di bawah Program Jalan Luar Bandar yang sedang
dalam pelaksanaan akan membantu proses rangsangan
ekonomi. - Saya yakin dengan pelaksanaan pelbagai projek ini, prospek
ekonomi Sabah dalam tahun 2022 akan menunjukkan tren
pemulihan yang lebih baik selari dengan pemulihan ekonomi
di peringkat nasional dan global. Unjuran ekonomi Sabah bagi
tahun 2022 dijangka tumbuh pada paras 4 peratus hingga
4.5 peratus. Kita akan memantau dan memastikan semua
projek yang disenaraikan di dalam Bajet Persekutuan 2022
dan Belanjawan Negeri ini akan dilaksanakan dengan segera
untuk menggerakkan rangsangan ekonomi sepenuhnya.
TEMA DAN FOKUS BELANJAWAN NEGERI TAHUN 2022
Datuk Speaker, - Selari dengan tuntutan dan keutamaan semasa, tema
Belanjawan Negeri Tahun 2022 ialah
“Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera”. Tema ini dirangka
berteraskan aspirasi dan komitmen Kerajaan Negeri
memulihkan ekonomi yang terkesan daripada pandemik dan
meningkatkan kesejahteraan rakyat sekali gus menjayakan
Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
13 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya - Bagi merealisasikan matlamat tema belanjawan ini, Kerajaan
Negeri mencadangkan anggaran perbelanjaan Belanjawan
Tahun 2022 berjumlah RM4.596 bilion dengan anggaran
kutipan hasil sebanyak RM4.707 bilion. Ini bermakna
Belanjawan 2022 Negeri Sabah adalah Belanjawan Lebihan
(Surplus Budget) berjumlah RM110.68 juta.
Datuk Speaker, - Agihan peruntukan Anggaran Perbekalan dan Anggaran
Pembangunan Negeri dalam Tahun 2022 mengikut
Kementerian adalah seperti berikut:
Pertama : Kementerian Kewangan, Anggaran
Perbekalan RM1.824 bilion dan Anggaran
Pembangunan RM4.0 juta;
Kedua : Kementerian Kerja Raya, Anggaran
Perbekalan RM770.10 juta dan Anggaran
Pembangunan RM244.97 juta;
Ketiga : Jabatan Ketua Menteri, Anggaran
Perbekalan RM514.94 juta dan Anggaran
Pembangunan RM161.59 juta;
Keempat : Kementerian Pertanian dan Perikanan,
Anggaran Perbekalan RM319.01 juta dan
Anggaran Pembangunan RM111.87 juta;
14 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
Kelima : Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi,
Anggaran Perbekalan RM206.01 juta dan
Anggaran Pembangunan RM10.60 juta;
Keenam : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan
dan Alam Sekitar, Anggaran Perbekalan
RM113.35 juta dan Anggaran
Pembangunan RM18.58 juta;
Ketujuh : Kementerian Pembangunan Masyarakat
dan Kesejahteraan Rakyat, Anggaran
Perbekalan RM122.40 juta dan Anggaran
Pembangunan RM11.72 juta;
Kelapan : Kementerian Pembangunan Luar Bandar
Sabah, Anggaran Perbekalan RM87.66
juta dan Anggaran Pembangunan
RM123.0 juta;
Kesembilan : Kementerian Belia dan Sukan Sabah,
Anggaran Perbekalan RM80.59 juta dan
Anggaran Pembangunan RM15.30 juta;
Kesepuluh : Kementerian Kerajaan Tempatan dan
Perumahan, Anggaran Perbekalan
RM121.22 juta dan Anggaran
Pembangunan RM13.89 juta;
15 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
Kesebelas : Kementerian Pembangunan
Perindustrian, Anggaran Perbekalan
RM19.91 juta dan Anggaran
Pembangunan RM26.05 juta;
Keduabelas : Perbelanjaan Yang Diuntukkan, Anggaran
Perbekalan RM383.04 juta; dan
Ketigabelas : Perbelanjaan Yang Tidak Termasuk
Dalam Kementerian – Kementerian,
Anggaran Perbekalan RM33.73 juta.
ANGGARAN HASIL DAN PERBELANJAAN TAHUN 2022
ANGGARAN HASIL TAHUN 2022
Datuk Speaker, - Kita akan mengurus belanjawan ini dengan sebaiknya dan
penuh tanggungjawab untuk memastikan kedudukan
kewangan Kerajaan Negeri berada dalam keadaan yang stabil
dan tidak menjejaskan rezab sedia ada. Keupayaan kita untuk
meningkatkan perbelanjaan bagi faedah rakyat akan
bergantung kepada kemampanan hasil negeri. - Alhamdulillah, kita bersyukur apabila harga purata minyak
sawit mentah dan minyak mentah petroleum adalah lebih
tinggi berbanding kadar harga yang diramalkan semasa
16 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
penyediaan Anggaran Hasil 2021. Ekoran itu, sasaran kutipan
hasil tahun ini dijangka bertambah sebanyak 9.6 peratus atau
RM430.67 juta menjadikan Anggaran Hasil Disemak Tahun
2021 telah meningkat berbanding anggaran asal hasil tahun - Ini bermakna, tahun 2021 bakal melakar sejarah baharu
bagi Sabah dengan rekod anggaran hasil negeri tertinggi sejak
merdeka dengan jumlah RM4.912 bilion. - Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan hasil
tahun 2021 ini adalah pembayaran Cukai Jualan Negeri (CJN)
bagi produk minyak dan gas. Pada kesempatan ini, saya ingin
merakamkan penghargaan kepada syarikat-syarikat minyak
dan gas khususnya PETRONAS atas komitmen
melaksanakan tanggungjawab pembayaran cukai ini.
Datuk Speaker, - Mengambil kira sebahagian besar hasil negeri adalah
disumbangkan oleh komoditi minyak sawit mentah dan minyak
mentah petroleum, Kerajaan Negeri perlu berhemat dan
mengambil pendekatan konservatif dalam penyediaan
Anggaran Hasil 2022 agar kedudukan kewangan Kerajaan
kekal kukuh. Ini adalah kerana penentuan harga komoditi ini
terdedah kepada risiko perubahan semasa dalam persekitaran
ekonomi dan pasaran global yang di luar kawalan kita.
Disebabkan faktor-faktor tersebut, maka Kerajaan Negeri
17 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
mengunjurkan Anggaran Hasil Tahun 2022 adalah berjumlah
RM4.707 bilion.
Datuk Speaker, - Dalam Anggaran Hasil Tahun 2022, Hasil Cukai dijangka
menyumbang 44.5 peratus iaitu RM2.094 bilion. Manakala,
Hasil Bukan Cukai dijangka menyumbang sebanyak
RM2.138 bilion atau 45.4 peratus. Sementara itu, kita dijangka
menerima sebanyak RM475.02 juta atau 10.1 peratus melalui
kategori Terimaan Bukan Hasil. - Harga petroleum yang tinggi pada ketika ini akan
menyumbang kepada peningkatan jangkaan royalti yang bakal
diterima pada tahun hadapan, menjadikan Royalti Petroleum
sebagai penyumbang terbesar dengan jumlah RM1.2 bilion
atau 25.5 peratus. Ini diikuti dengan Cukai Jualan Produk
Petroleum dengan sumbangan sebanyak RM1.1 bilion atau
23.4 peratus dan Cukai Jualan Minyak Sawit Mentah sebanyak
RM810 juta atau 17.2 peratus. - Dari aspek Hasil Cukai, tiga penyumbang utama di bawah
kategori ini adalah Cukai Jualan Negeri yang menyumbang
41.7 peratus dengan anggaran RM1.965 bilion; Sewa Tanah
menyumbang 1.9 peratus dengan anggaran RM88 juta serta
18 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
Cukai Pelabuhan dan Dermaga menyumbang 1 peratus
dengan anggaran RM47.17 juta. - Di bawah Hasil Bukan Cukai, selain Royalti Petroleum, hasilhasil utama yang lain ialah Jualan Air sejumlah RM280 juta;
Faedah atas Baki Wang Tunai dan Simpanan Jangka Pendek
berjumlah RM150 juta; Premium Tanah dengan anggaran
RM146 juta; Royalti Keluaran Hutan dan Royalti Eksport Kayu
Diproses berjumlah RM113.26 juta serta Dividen berjumlah
RM104 juta.
Datuk Speaker, - Bagi kategori Terimaan Bukan Hasil pula, Pemberian Kerajaan
Persekutuan adalah merupakan objek utama dengan
anggaran RM474.82 juta. Daripada jumlah ini, RM197.82 juta
adalah dalam bentuk pemberian yang akan diterima oleh
Kerajaan Negeri secara langsung iaitu Pemberian Mengikut
Kiraan Kepala, Pemberian Pertambahan Hasil, Pemberian
untuk Menggantikan Duti Import/Eksais Keatas Petroleum dan
Pemberian Khas. Baki sebanyak RM277 juta lagi adalah
Pemberian bagi Membiayai Perbelanjaan Mengurus bagi
Jabatan-Jabatan di Bawah Senarai Bersama dan Sumbangan
kepada Kos Pelaksanaan Projek Pembangunan Persekutuan.
19 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
ANGGARAN PERBELANJAAN PERBEKALAN TAHUN 2022
Datuk Speaker, - Bagi tujuan membiayai operasi dan pengurusan Kerajaan,
sebanyak RM4.596 bilion dicadangkan untuk Anggaran
Perbekalan Tahun 2022. Jumlah ini melibatkan kenaikan
sebanyak RM293.52 juta atau 6.82 peratus berbanding
dengan anggaran asal tahun 2021 sebanyak RM4.303 bilion.
Jumlah ini diagih untuk tujuan pembayaran Emolumen,
Perbelanjaan Berulang dan Perbelanjaan Khas. - Daripada jumlah keseluruhan Anggaran Perbekalan 2022,
sejumlah RM758.99 juta disyorkan untuk Emolumen. Jumlah
ini mencatatkan kenaikan sebanyak RM22.34 juta atau
3.03 peratus berbanding dengan anggaran tahun 2021
berjumlah RM736.65 juta. Faktor utama peningkatan ini
adalah disebabkan oleh kenaikan gaji tahunan anggota
perkhidmatan awam negeri. - Manakala, Perbelanjaan Berulang disyorkan sebanyak
RM1.809 bilion. Jumlah ini melibatkan peningkatan sebanyak
RM206.55 juta atau 12.89 peratus berbanding anggaran
tahun 2021 sebanyak RM1.602 bilion. Kenaikan Perbelanjaan
Berulang mengambil kira peningkatan bagi tujuan
penyelenggaraan dan pengendalian masjid, surau dan
sekolah agama, penyenggaraan loji dan Program Pengurusan
20 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
Ternak, program-program di bawah Kementerian
Pembangunan Perindustrian, Program Institut Latihan Teknik
dan Perdagangan Kampus Utama Papar dan Cawangan Kota
Kinabalu dan Program Isyarat Jalan Lalu Lintas. - Bagi Perbelanjaan Khas pula, disyorkan sebanyak
RM2.028 bilion. Jumlah ini juga meningkat sebanyak
RM64.63 juta atau bersamaan 3.29 peratus berbanding
anggaran tahun 2021 yang berjumlah RM1.963 bilion.
Peningkatan Perbelanjaan Khas adalah bagi meneruskan
usaha Kerajaan untuk memberi bantuan kepada rakyat yang
melibatkan peningkatan peruntukan untuk Penyediaan
Infrastruktur Sokongan, program membaik pulih kerosakan
akibat bencana alam di bawah Jabatan Pembetungan Sabah,
Pelaburan Ekuiti dan Pinjaman kepada Badan-badan
Berkanun dan Agensi Awam, program di bawah Kementerian
Sains, Teknologi dan Inovasi serta peruntukan berkaitan
pengurusan isu COVID-19.
ANGGARAN PERBELANJAAN PEMBANGUNAN TAHUN 2022
Datuk Speaker, - Perbelanjaan Pembangunan Negeri merupakan sumber
penting untuk memacu pembangunan dalam pelbagai sektor
dan melonjakkan pertumbuhan ekonomi. Perbelanjaan ini
21 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
diagih dan dikawal melalui Belanjawan Pembangunan.
Peruntukan untuk tujuan ini diperoleh daripada caruman
Anggaran Perbekalan Negeri dan juga sumber kewangan
Persekutuan dalam bentuk Pemberian, Imbuh Balik dan
Pinjaman. - Bagi maksud Perbelanjaan Pembangunan, sebanyak
RM1.368 bilion dicadang diperuntukkan dalam tahun 2022.
Jumlah ini merangkumi peruntukan Kerajaan Negeri
sebanyak RM741.57 juta dan peruntukan Kerajaan
Persekutuan berjumlah RM626.58 juta. Peruntukan Kerajaan
Persekutuan ini termasuk Pembayaran Imbuh Balik
Persekutuan berjumlah RM65.25 juta dan Pinjaman
Persekutuan sebanyak RM561.33 juta. - Selaras dengan inti pati tema Belanjawan kali ini, agihan
peruntukan pembangunan tahun hadapan masih lagi tertumpu
kepada Sektor Ekonomi sebagai penerima amaun terbesar
iaitu sebanyak RM487.26 juta atau bersamaan dengan
66 peratus. Ini diikuti oleh Sektor Sosial yang diagihkan
sebanyak RM236.86 juta atau 32 peratus dan seterusnya
Sektor Pentadbiran Am sebanyak RM17.45 juta iaitu
bersamaan 2 peratus daripada jumlah keseluruhan
peruntukan pembangunan untuk tahun 2022.
22 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya - Untuk makluman Dewan yang mulia ini, pada tahun 2022,
Kerajaan Negeri masih mengekalkan siling peruntukan
pembangunan yang diluluskan dalam RMKe-12, iaitu
sebanyak RM4.217 bilion bagi membiayai sebanyak
778 projek pembangunan. Daripada jumlah tersebut,
sebanyak 227 buah projek merupakan projek sambungan
dan 551 projek lagi adalah projek baharu.
SEKTOR UTAMA FOKUS PERTUMBUHAN EKONOMI
Datuk Speaker, - Strategi dan pendekatan untuk merancakkan pembangunan
akan tertumpu kepada pertumbuhan sektor-sektor produktif
dan fokus utama pembangunan negeri sebagaimana yang
digariskan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu pertanian,
perindustrian dan pelancongan. Pada tahun 2022, sebanyak
RM919.18 juta akan diperuntukkan bagi pembangunan ketigatiga sektor tersebut. Jumlah ini merupakan peningkatan
sebanyak RM8.48 juta atau bersamaan 0.92 peratus
berbanding peruntukan tahun 2021 iaitu sebanyak
RM910.7 juta.
23 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
SEKTOR PERTANIAN
Datuk Speaker, - Sektor Pertanian merupakan sektor terbesar pertumbuhan
ekonomi negeri dalam Hala Tuju SMJ. Kerajaan komited untuk
terus memperkasa pembangunan sektor pertanian melibatkan
empat sub-sektor iaitu Tanaman, Ternakan,
Perikanan/Akuakultur dan Komoditi Getah. Matlamat Kerajaan
dalam memacu sektor ini adalah untuk meningkatkan
produktiviti dan kualiti hasil serta produk pertanian negeri dan
memastikan tahap sara diri atau Self-Sufficiency Level (SSL)
ditingkatkan setiap tahun melalui pelbagai inisiatif pemodenan. - Sektor pertanian merupakan salah satu sektor yang produktif
dalam menyediakan bahan makanan kepada penduduk,
peluang perniagaan dan pekerjaan serta sumber bahan
mentah kepada sektor pembuatan. Justeru, sebanyak
RM561.81 juta diperuntukkan kepada sektor pertanian pada
tahun hadapan. Pada tahun 2022, Kementerian Pertanian dan
Perikanan Sabah (MAF) diperuntukkan sebanyak
RM65.09 juta bagi tujuan perbelanjaan perbekalan. - Sub-sektor tanaman merupakan antara penyumbang utama
pembangunan ekonomi Sabah. Menyedari hakikat ini,
Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak RM33.7 juta bagi
24 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
peruntukan pembangunan dan RM79.54 juta bagi peruntukan
perbekalan kepada Jabatan Pertanian Sabah. Peruntukan
tersebut adalah untuk melaksanakan program-program
berkaitan dengan pengeluaran tanaman makanan, pensijilan
ladang, penyelidikan tanaman dan inovasi pertanian,
penguatkuasaan bio-sekuriti dan kuarantin tumbuhan serta
pemerkasaan usahawan tani. - Bagi sub-sektor perikanan, sebanyak RM12.09 juta
diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan dan sebanyak
RM24.85 juta bagi perbelanjaan perbekalan bagi tahun 2022.
Fokus pelaksanaan program dan projek di bawah sub-sektor
ini adalah bagi meningkatkan pengeluaran hasil ikan,
akuakultur rumpai laut dan ikan hiasan, pengurusan sumber
perikanan dengan cekap melalui penggunaan aplikasi
teknologi baharu dan urus tadbir perikanan yang baik. - Manakala bagi sub-sektor ternakan, Jabatan Perkhidmatan
Veterinar diperuntukkan sebanyak RM56.8 juta bagi
perbelanjaan perbekalan dan sebanyak RM16.32 juta bagi
perbelanjaan pembangunan yang melibatkan pelaksanaan
sebanyak 43 program. Sebanyak RM19.5 juta merupakan
peruntukan imbuh balik Persekutuan yang melibatkan
pelaksanaan sebanyak tujuh program pembangunan.
25 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya - Bagi menyokong pembangunan dan penyelenggaraan
infrastruktur pengairan dan saliran, sejumlah RM92.7 juta
diperuntukkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di
bawah perbelanjaan perbekalan. Di samping itu, Kerajaan
Negeri meluluskan siling peruntukan sebanyak RM68.51 juta
dalam RMKe-12 untuk membangunkan beberapa kemudahan
pengairan dan saliran di daerah Kota Marudu, Keningau,
Sandakan dan Beaufort. Untuk tujuan ini, sejumlah RM6.7 juta
diperuntukkan di bawah perbelanjaan pembangunan pada
tahun hadapan. - Kerajaan Negeri juga sentiasa komited untuk mengurangkan
masalah banjir melalui pengurusan dan pembangunan
tebatan banjir, sungai dan pantai. Oleh itu, sejumlah
RM19.2 juta diperuntukkan bagi tahun 2022. Selain itu,
sejumlah RM2.16 juta diperuntukkan bagi pengurusan
infrastruktur hidrologi, sumber air dan pembinaan
pejabat.
Datuk Speaker, - Bagi membolehkan tanaman padi sawah dapat diusahakan
dua kali setahun sekali gus meningkatkan pengeluaran padi,
infrastruktur pengairan dan saliran di Kota Marudu, Trusan
Sapi di Beluran dan Tambunan akan dinaik taraf yang
26 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
melibatkan keluasan 3,584 hektar menerusi peruntukan imbuh
balik Persekutuan sebanyak RM38 juta. - Pada tahun 2022, Lembaga Indusri Getah Sabah (LIGS)
diperuntukkan sebanyak RM5.23 juta bagi perbelanjaan
pembangunan. LIGS akan terus menerima geran bantuan
Kerajaan sebanyak RM11 juta pada tahun 2022. Pembayaran
Insentif Harga Getah kepada pekebun kecil akan diteruskan
dengan peruntukan sebanyak RM20 juta. - LIGS juga akan meneruskan pembangunan kawasan ladang
melalui Program High Impact Project (HIP) Tanam Baru dan
Tanam Semula Getah Secara Berkelompok yang melibatkan
2,333 pekebun kecil. Selain itu, LIGS juga akan terus
melaksanakan program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET)
kepada pekebun-pekebun kecil getah dengan empat bidang
usaha iaitu tanaman halia, nanas MD2, pisang nipah dan
penternakan ikan tilapia. - Korporasi Pembangunan Desa (KPD) dan Korporasi
Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan)
bertanggungjawab untuk membantu para petani dan nelayan
dalam pembangunan dan peningkatan hasil pertanian dan
perikanan. Oleh itu, pada tahun 2022, sejumlah RM7.39 juta
dan RM8.06 juta diperuntukkan masing-masing kepada KPD
dan Ko-Nelayan untuk program pembangunan. Manakala,
27 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
sejumlah RM12 juta diperuntukkan sebagai geran bantuan
Kerajaan kepada KPD dan RM9 juta kepada Ko-Nelayan.
SEKTOR PERINDUSTRIAN
Datuk Speaker, - Selain Sektor Pertanian, Belanjawan Negeri 2022 akan
memberikan tumpuan kepada pembangunan Sektor
Perindustrian yang merupakan sektor kedua fokus
pertumbuhan ekonomi. Susulan daripada kejayaan
pelaksanaan inisiatif pelaburan SK Nexilis, kita juga sedang
dalam proses akhir rundingan untuk beberapa pelaburan lain
yang berupaya mewujudkan peluang pekerjaan dan pelbagai
kesan limpahan ekonomi lain. - Bagi memperkasa lagi agenda pembangunan perindustrian,
pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri memperuntukkan
sebanyak RM129.97 juta untuk pembangunan sektor
perindustrian dan perdagangan di bawah Kementerian
Pembangunan Perindustrian (KPP), Kementerian
Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian
Kewangan. - Daripada jumlah itu, sebanyak RM65.97 juta diperuntukkan
kepada KPP termasuk Jabatan Pembangunan Perindustrian
28 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
dan Penyelidikan untuk melaksanakan pelbagai program bagi
memastikan infrastruktur asas di taman-taman perindustrian
sentiasa kondusif bagi menarik potensi pelaburan. Sepanjang
RMKe-12, siling sebanyak RM116.67 juta telah diluluskan
kepada KPP bagi memenuhi keperluan pembangunan di
Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Palm Oil Industrial
Cluster (POIC) Lahad Datu dan Sipitang Oil & Gas Industrial
Park (SOGIP). - Selain KKIP yang telah menerima pelaburan baharu pada
tahun ini, sukacita dimaklumkan bahawa beberapa potensi
pelaburan baharu sedang diusahakan untuk dilaksanakan
di SOGIP. Antaranya pelaburan melibatkan gas asli cecair
(LNG), pembuatan produk logam silikon, penapisan minyak
kelapa sawit bersepadu dan pemprosesan kitar semula
teknologi hijau.
Datuk Speaker, - Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terus diberi
tumpuan sebagai pemangkin kepada sektor pembuatan.
Usaha akan dilipat gandakan untuk membantu pembangunan
IKS termasuk dalam aspek pemasaran. Kerjasama dengan
Pasaraya BATARAS dan PETRONAS Dagangan Berhad
melalui program pemasaran produk IKS Sabah di Kedai Mesra
PETRONAS akan diteruskan pada tahun 2022. Dianggarkan
29 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
prestasi jualan bagi kedua-dua program ini menjelang
Disember 2021 adalah sebanyak RM3.2 Juta. - Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan
diperuntukkan sebanyak RM5.76 juta di bawah perbelanjaan
perbekalan bagi menubuhkan empat lagi Pusat IKS pada
tahun 2022 di peringkat daerah untuk memasarkan produkproduk IKS. Program Bantuan IKS (BAIKS) yang telah
membantu seramai 3,269 usahawan sejak dimulakan akan
diteruskan. Kerajaan juga telah merancang pelbagai program
bagi meningkatkan kualiti produk IKS dan meneroka pasaran
luar negeri secara digital. - Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO)
diperuntukkan sebanyak RM5.5 juta pada tahun 2022 untuk
memulakan pembangunan rumah kedai di Sook dan pekan
baharu Sapulut. Di samping itu, SEDCO akan terus
menganjurkan program Tunas Niaga @ Protune bagi
melahirkan dan membudayakan keusahawanan dalam
kalangan pelajar sekolah serta kursus-kursus intensif
keusahawanan khas untuk lepasan graduan seperti Skim
Usahawan Siswazah (SUS) dan Skim Usahawan Teknikal
(SUT). - Selain itu, sebanyak RM62 juta diperuntukkan di bawah
Kementerian Kewangan untuk pelaksanaan projek dan
program berkaitan pembangunan industri. Melalui peruntukan
30 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
dan pelbagai program yang dirancang, adalah disasarkan
sektor perindustrian akan kembali pulih pasca pandemik.
SEKTOR PELANCONGAN
Datuk Speaker, - Pandemik COVID-19 mengakibatkan pelancongan menjadi
sektor yang terjejas teruk disebabkan penutupan sempadan
dan sekatan penerbangan keluar masuk di seluruh negara
termasuk Negeri Sabah. Kerajaan Negeri bertekad untuk
memulihkan segera industri pelancongan secara berperingkat
dan sekali gus mengembalikan dan melonjakkan kedudukan
Sabah sebagai destinasi pelancongan tumpuan. Antara fokus
strategi yang sedang dilaksanakan adalah meningkatkan
pembangunan pelancongan berasaskan komuniti luar bandar,
mempergiatkan pemasaran dan promosi serta
memperkukuhkan dan menarik business events. - Pada tahun 2022, secara keseluruhannya, sejumlah
RM227.4 juta diperuntukkan kepada sektor pelancongan.
Daripada jumlah tersebut sebanyak RM131.93 juta
diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan,
Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) serta jabatan dan
agensi di bawahnya. Antara langkah yang dilaksanakan
adalah melalui Program Pembangunan Pelancongan Luar
31 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
Bandar sebagai sokongan dalam membangunkan fasiliti-fasiliti
dan produk pelancongan luar bandar. - Hasrat kita adalah untuk menjadi destinasi pelancongan luar
bandar bertaraf dunia dengan mencapai ASEAN Standard
menjelang tahun 2025. Sabah mempunyai potensi tinggi untuk
mencapai matlamat ini kerana pelancongan luar bandar
berasaskan alam semulajadi seperti terapi alam (forest
bathing) adalah faktor tarikan kepada pelancong dari negaranegara sasaran utama seperti Jepun, Korea dan Eropah.
Setakat ini, Sabah mempunyai lebih 500 pengusaha
pelancongan desa berasaskan komuniti. - Selain itu, Kerajaan Negeri akan melancarkan Tourism
Satellite Account (TSA) yang akan menghasilkan satu data
bersepadu sektor pelancongan. TSA akan berupaya
mengukur nilai perbelanjaan pelancong domestik dan
antarabangsa dan mengenal pasti nilai sumbangan industri
pelancongan kepada KDNK Negeri termasuk data pekerjaan.
Selain memanfaatkan agensi Kerajaan dan pemain industri,
data komprehensif seumpama ini amat penting untuk
merangka strategi bagi memastikan hasil negeri dapat
ditingkatkan secara optimum dalam sektor pelancongan.
Untuk tujuan ini, sejumlah RM8.08 juta diperuntukkan pada
tahun 2022.
32 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
Datuk Speaker, - Kerajaan Negeri juga memberikan tumpuan untuk
memperkukuhkan dan menarik Business Events. Selain hotel
dan pusat peranginan sedia ada, Malaysia Convention and
Exhibition Bureau (MyCEB) melaporkan Sabah International
Convention Center (SICC) dilihat menjadi aset yang
berpotensi untuk menarik kumpulan Business Events apabila
pintu sempadan telah dibuka kelak. - Pada masa yang sama, perancangan jangka panjang untuk
pembangunan sektor ini akan terus dilaksanakan termasuk
penyediaan produk pelancongan berprestij dengan menarik
pelancong berkualiti (high yield tourists) dan pelancong
mewah (high-end tourists). Projek Lok Kawi Resort City dan
penjenamaan semula Projek Tanjung Aru Eco Development
(TAED) merupakan antara inisiatif awal, selain beberapa
pelaburan lain dalam proses dimuktamadkan yang bertujuan
menyediakan produk pelancongan berprestij. Selaras dengan
tren pelancongan yang menjurus kepada pelancongan elit, kita
tidak hanya boleh bergantung kepada pelancongan massa
(mass tourism). Keutamaan perlu beralih dari fokus kuantiti
kepada kualiti agar Sabah menjadi destinasi pelancongan
yang berdaya saing dengan pulangan hasil yang lebih tinggi.
33 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya - Selain itu, kekayaan tradisi budaya dan kepelbagaian etnik
merupakan ciri keunikan dan aset sektor pelancongan yang
akan terus dipelihara untuk diwarisi generasi akan datang.
Untuk tujuan itu, sebanyak RM9.5 juta diperuntukkan kepada
Lembaga Kebudayaan Sabah dan RM400 ribu kepada
persatuan-persatuan kebudayaan bagi melaksanakan
kegiatan kebudayaan, kesenian dan bahasa. Satu Pelan
Pembangunan Kebudayaan Negeri Sabah akan digubal untuk
memartabatkan khazanah warisan berharga Sabah ini ke
peringkat yang lebih tinggi. Antara strategi yang akan
digerakkan adalah program pendigitalan untuk memperkasa
capaian data dan akses berhubung budaya, etnik dan warisan
negeri melalui Pembangunan Cultural Mapping dan
Pembangunan e-Heritage.
MODAL INSAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT
Pendidikan, Latihan dan ICT
Datuk Speaker, - Selain penumpuan kepada sektor-sektor utama pertumbuhan
dan pemulihan ekonomi, Belanjawan 2022 juga memberikan
fokus kepada teras kedua dalam Hala Tuju SMJ iaitu
Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat.
Tanggungjawab ini diamanahkan kepada beberapa
34 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
kementerian dan agensi. Antaranya, Kementerian Sains,
Teknologi dan Inovasi (KSTI) telah diperuntukkan sebanyak
RM127.06 juta untuk Program Pembudayaan dan
Pengadaptasian Sains, Teknologi dan Inovasi. - Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM)
diperuntukkan sebanyak RM23.87 juta untuk tujuan
pengendalian kursus dan latihan kemahiran dalam bidang
teknologi, teknikal dan perdagangan. Ini termasuk Program
Pembangunan Sabah Talent and Entreprenuership (STEP)
bagi membantu belia dan beliawanis yang telah kehilangan
punca pendapatan. Selain itu, beberapa projek akan
dilaksanakan untuk meningkatkan prasarana pusat latihan
sedia ada dan kajian kemungkinan pembinaan lima kampus
satelit JPSM. - Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC)
juga akan menganjurkan pelbagai latihan berkonsepkan
keusahawanan berteraskan inovasi bagi memastikan bakat
modal insan di Sabah terus digilap untuk memenuhi kehendak
industri semasa. Seiring Revolusi Industri 4.0, Kerajaan Negeri
meletakkan keutamaan untuk memastikan agar
perkembangannya dapat diadaptasi dalam pelbagai sektor
ekonomi negeri. Oleh itu, peruntukan sebanyak RM500 ribu
bagi melaksanakan Kajian Kemungkinan Pembangunan IR4.0
35 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
Advancement Centre di Sabah Skills & Technology Centre
(SSTC). - Kita akan terus komited untuk melahirkan lebih ramai modal
insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam
bidang Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT).
Sehubungan itu, sebanyak RM61.8 juta diperuntukkan bagi
latihan, kursus dan pembangunan ICT. Ini termasuklah
peruntukan di bawah KSTI sebanyak RM35.16 juta dan
Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah (JPKN)
berjumlah RM22.94 juta. JPKN akan terus komited dalam
meningkatkan ciri-ciri keselamatan sistem aplikasi kerajaan
dan memudahkan akses maklumat kepada rakyat.
Datuk Speaker, - Selari dengan komitmen pembangunan modal insan melalui
Pendidikan, pemberian biasiswa bagi melanjutkan pengajian
ke peringkat lebih tinggi akan diteruskan dengan peruntukan
RM55 juta. Keutamaan penajaan adalah bagi pelajar yang
mengambil kursus dalam bidang Sains, Teknologi,
Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memenuhi tuntutan
pasaran pada masa akan datang. - Agenda pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat
juga akan meliputi bantuan khas pendidikan kepada golongan
yang memerlukan. Ini untuk memastikan setiap anak Sabah
36 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
mempunyai akses dan tidak dinafikan hak untuk mendapatkan
pendidikan. Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah Program
Bantuan Sosial Sekolah seperti pakaian seragam, kasut dan
alat tulis yang akan diteruskan melibatkan 289,204 murid
dengan peruntukan sejumlah RM13.9 juta. - Kerajaan Negeri juga akan meneruskan dua bentuk bantuan
khas pendidikan yang diperkenalkan tahun lalu iaitu Bantuan
Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan Khas Tunai
Peperiksaan (BAKTI) yang melibatkan peruntukan masingmasing sebanyak RM10 juta dan RM7.5 juta. - Tahun hadapan, satu inisiatif baharu akan dilaksanakan iaitu
Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI)
dengan peruntukan sebanyak RM5 juta. Melalui BISTARI,
setiap anak Sabah yang dilahirkan bermula tahun 2022 akan
ditawarkan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional
(SSPN) melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional (PTPTN) dengan bantuan sejumlah RM100 yang
disumbangkan oleh Kerajaan Negeri. Inisiatif ini menzahirkan
komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan modal
insan dengan merintis galakan menabung untuk pendidikan
sejak dari awal kelahiran. - Manakala bagi menyemarakkan pembudayaan ilmu dan
pendidikan, Perpustakaan Negeri Sabah diperuntukkan
37 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
sebanyak RM40.57 juta termasuk untuk pembinaan tiga
perpustakaan cawangan dan dua perpustakaan desa yang
baharu. Usaha akan dilipat gandakan untuk memupuk budaya
membaca melalui Program Gerakan Membaca dan
menyediakan lebih banyak terbitan, koleksi bacaan dan bahan
rujukan yang boleh diakses secara maya.
Keagamaan dan Memartabatkan Perundangan Anak Negeri
Datuk Speaker, - Pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat meliputi
aspek keagamaan dan kerohanian. Kerajaan Negeri akan
terus melaksanakan program-program keagamaan melalui
penyaluran peruntukan perbekalan dan pembangunan
sebanyak RM164.12 juta kepada agensi-agensi Kerajaan
berkaitan, badan-badan keagamaan dan pendidikan.
Bersesuaian dengan semangat Keluarga Malaysia,
peruntukan ini meliputi semua agama dan kaum di negeri ini. - Kesejahteraan rakyat juga akan terbina melalui keharmonian
hidup bermasyarakat yang dilindungi kerukunan adat resam.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk
menambah baik pengurusan sistem perundangan anak negeri.
Sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan untuk meneruskan
38 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
sambungan secara berfasa pembinaan Projek Mahkamah
Anak Negeri Sook, Paitan dan Pagalungan. - Geran khas akademik telah diluluskan kepada UiTM
Cawangan Sabah bagi menjalankan kajian pembangunan
aplikasi e-NATIVE LAW Kit. Aplikasi ini yang akan
dibangunkan oleh para pensyarah Undang-undang UiTM ini
boleh menjadi sumber rujukan komprehensif bagi kakitangan
Mahkamah Anak Negeri di semua peringkat dan boleh diakses
oleh orang awam. Selain membolehkan semua pihak lebih
memahami undang-undang anak negeri dan meningkatkan
kecekapan pengurusan, inisiatif ini adalah antara langkah
untuk memartabatkan Sistem Kehakiman Mahkamah Anak
Negeri Sabah.
Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat
Datuk Speaker, - Pada tahun 2022, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah
RM134.12 juta kepada Kementerian Pembangunan
Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) untuk
meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menyantuni golongan
yang memerlukan.
39 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya - Institusi keluarga adalah tonggak kepada keharmonian dan
kesejahteraan masyarakat. Sehubungan itu, Kerajaan akan
terus menekankan agenda untuk membangun dan
memantapkan institusi keluarga menerusi pelaksanaan
Program Kekeluargaan dan Program Kepenggunaan dengan
peruntukan sebanyak RM1.08 juta. Program Pencegahan
Dadah bersama PEMADAM akan diteruskan dengan
peruntukan RM550 ribu. - Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am
memperuntukkan sebanyak RM105.11 juta di bawah
perbelanjaan perbekalan dan pembangunan pada tahun 2022.
Peruntukan ini termasuk RM60 juta bagi pemberian bantuan
kebajikan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas
dan ibu tunggal. - Di samping itu, usaha akan diteruskan untuk meningkatkan
kemudahan kepada OKU seperti pembinaan bangunan
Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya (TDKKU)
Sandakan dan bangunan TDKKU Mini di Daerah Kecil Sook
dengan siling peruntukan di bawah RMKe-12 sebanyak
RM58.19 juta. Pada masa yang sama, Yayasan Kebajikan
Sabah telah mula beroperasi untuk membantu meningkatkan
sistem penyampaian agenda kebajikan yang dihasratkan oleh
Kerajaan melalui kerjasama dan sumbangan sektor korporat,
NGO dan orang persendirian.
40 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan
Datuk Speaker, - Saya yakin kesemua Ahli Yang Berhormat bersetuju bahawa
kesejahteraan rakyat amat bergantung kepada kesejahteraan
para wanita. Wanita adalah tunjang keluarga dan masyarakat
dan peranan mereka dalam pembangunan negeri adalah amat
signifikan. Bagi menghargai sumbangan besar kaum wanita,
Kerajaan Negeri memperuntukan sebanyak RM17.61 juta
untuk pelaksanaan program pembangunan wanita. - Peruntukan ini meliputi RM11.8 juta kepada Yayasan Usaha
Maju (YUM) untuk pengurusan operasi dan penyediaan
kemudahan pinjaman mikro kepada golongan wanita.
Sejumlah RM5.81 juta diperuntukkan untuk Jabatan Hal
Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) bagi pelaksanaan programprogram pembangunan modal insan untuk kesejahteraan
wanita. Program Outreach Santuni Wanita Merakyatkan
Perkhidmatan ke Arah Kesejahteraan Wanita akan diteruskan
untuk membantu wanita yang terkesan akibat Pandemik
COVID-19. - Sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada golongan wanita,
satu inisiatif baharu diperkenalkan khusus untuk Isteri kepada
Ketua Isi Rumah atau Ketua Isi Rumah Wanita yang
41 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
berdaftar dengan e-KASIH. Inisiatif Bantuan e-Kasih Dana
Caruman i-Suri atau ringkasnya BAIDURI ini merupakan
bantuan Kerajaan Negeri dalam bentuk dana awal caruman
KWSP secara one-off berjumlah RM60.00 seorang kepada
wanita dalam kategori e-Kasih yang disasarkan. Bantuan ini
akan disusuli dengan pemberian insentif khas tambahan
sebanyak RM480.00 seorang daripada Kerajaan Persekutuan
melalui KWSP kepada wanita dalam kategori terlibat.
Pelaksanaan BAIDURI akan memanfaatkan seramai 45,134
wanita melibatkan peruntukan RM2.7 juta pada tahun
hadapan.
Datuk Speaker, - Golongan belia tidak akan sesekali dikesampingkan. Sebagai
generasi masa depan, agenda pembangunan belia perlu
dilaksanakan dengan berpandukan tuntutan semasa dan
cabaran mendatang. Justeru, Kementerian Belia dan Sukan
Sabah (KBSS) diperuntukkan sebanyak RM95.89 juta untuk
melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan belia terutama
dalam program peningkatan kemahiran dan latihan semula.
Tumpuan adalah kepada kebolehpasaran pekerja dan
padanan bakat pekerjaan bagi melahirkan golongan belia yang
berdaya saing.
42 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya - Kerajaan akan meneruskan pemberian peruntukan sebanyak
RM5 juta kepada persatuan-persatuan belia sebagai bantuan
pelaksanaan program. Menyantuni cadangan daripada
kumpulan anak muda, Kerajaan bersetuju untuk
memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi memperkenalkan
inisiatif baharu iaitu Program Skim Jaya Usahawan Belia
Sabah (SYABAS). Inisiatif ini melibatkan bantuan kepada para
usahawan belia dan beliawanis untuk memulihkan perniagaan
yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan bantuan
memulakan perniagaan. - Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan Program Felo Belia
Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Program Inkubator Kepimpinan
Belia Sabah (IKeBS) yang akan melibatkan kerjasama
pelbagai agensi seperti KBSS, Sekretariat Hala Tuju SMJ,
Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) dan Majlis
Belia Sabah. - Sementara itu, program pembangunan sukan bukan sahaja
disasarkan untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas,
tetapi juga ke arah melakar nama negeri di peringkat
antarabangsa. Oleh itu, penyertaan kejohanan ke peringkat
antarabangsa dan bertaraf dunia akan diperluaskan
bagi membantu meningkatkan prestasi atlet ke tahap yang
lebih berprestij. Pada tahun 2022, Kerajaan Negeri
43 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
memperuntukkan sebanyak RM52.02 juta untuk
pembangunan sukan termasuk prasarana dan fasiliti sukan.
Pembangunan Bandar
Datuk Speaker, - Kesejahteraan rakyat juga melibatkan dua komponen penting
iaitu pembangunan bandar dan pembangunan luar bandar
yang akan membentuk kualiti hidup masyarakat melalui
kawasan persekitaran masing-masing. - Bagi pembangunan bandar, Kementerian Kerajaan Tempatan
dan Perumahan (KKTP) melalui Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT) akan terus komited untuk memberi penekanan terhadap
usaha mentransformasi penyampaian perkhidmatan PBT,
memantap dan melestarikan pembangunan sektor perumahan
serta perancangan pembangunan guna tanah yang mampan
dan sistematik. - Bagi melaksanakan matlamat tersebut, Kerajaan Negeri
memperuntukkan sejumlah RM135.11 juta kepada KKTP.
KKTP akan memulakan pelaksanaan beberapa projek baharu
seperti Projek Membina Pasar Am Pekan Kinarut, Projek
Membina Pasar Rakyat 2 Tingkat Pekan Beluran, Projek
Membina Tamu Minggu Melalap Tenom, Projek Membina
44 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
Pasar Masyarakat Majlis Daerah Pitas dan Projek Membina
Bangunan Pejabat Lembaga Bandaran Kudat. Melalui
pembangunan prasarana-prasarana ini, diharap akan dapat
memberikan keselesaan kepada para peniaga dan
masyarakat umum di kawasan berkenaan di samping
membantu menjana pendapatan PBT melalui kutipan sewaan
lot gerai dan lesen-lesen perniagaan. - Pada tahun 2022, Lembaga Perumahan dan Pembangunan
Bandar (LPPB) akan meneruskan sambungan secara berfasa
empat Projek Pembangunan Pekan Baharu iaitu Pekan
Baharu Kalabakan, Pekan Baharu Bum-Bum, Pekan Baharu
Merotai dan Pekan Baharu Sungai Melayu (Sebatik) yang
bakal menjadi bandar sempadan yang menghubungkan
Wilayah Malaysia dan Indonesia. Sebanyak RM2 juta
peruntukan disediakan bagi merintis perancangan awal
Kerajaan Negeri untuk terus memacu dan memboleh daya
pertumbuhan ekonomi di pekan-pekan baharu dapat
direalisasikan. - Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri sedang bekerjasama
dengan Kerajaan Persekutuan bagi merancang penyediaan
infrastruktur asas seperti jalan raya dan Kompleks Kastam,
Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) yang
menghubungkan Tawau, Kalabakan dan Simanggaris,
Indonesia.
45 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
Pembangunan Luar Bandar
Datuk Speaker, - Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Luar
Bandar Sabah (KPLB) akan menumpukan kepada programprogram menaik taraf sosio ekonomi, infrastruktur asas dan
memperkasa peranan Jawatankuasa Pembangunan dan
Keselamatan Kampung (JPKK). Justeru, sebanyak
RM210.66 juta diperuntukkan kepada KPLB pada tahun 2022. - KPLB akan terus giat melaksanakan program-program
pembasmian kemiskinan dengan memberi keutamaan kepada
golongan miskin tegar. Selain itu, KPLB juga akan mengenal
pasti golongan usahawan untuk dilatih melalui Program
Pembangunan Usahawan Desa dan Program Satu Daerah
Satu Produk dan penggunaan teknologi terkini supaya
golongan ini tidak ketinggalan oleh arus perubahan. - Kemudahan asas di luar bandar akan terus diberikan
perhatian. KPLB akan terus melaksanakan Program Bekalan
Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA) dan Bekalan Air Luar
Bandar Alternatif (BALBA). Bagi membantu golongan miskin
dan miskin tegar, Kerajaan Negeri mengambil Inisiatif untuk
menambah jumlah agihan rumah pada tahun hadapan di
bawah Program Rumah Sejahtera Rakyat Sabah (RSRS).
46 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
JARINGAN INFRASTRUKTUR DAN KELESTARIAN HIJAU
Pembangunan Infrastruktur dan Utiliti
Datuk Speaker, - Teras ketiga dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu Jaringan
Infrastruktur dan Kelestarian Hijau akan terus diperkasa
dengan sejumlah RM1.476 bilion peruntukan diagihkan di
dalam Belanjawan Tahun 2022. - Secara keseluruhan, Kementerian Kerja Raya Sabah
diperuntukkan sejumlah RM1.015 bilion bagi tahun 2022.
Daripada jumlah tersebut, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS)
diperuntukkan sebanyak RM540.98 juta untuk melaksanakan
Projek Pembangunan Bekalan Air Terawat bagi memenuhi
keperluan masyarakat secara berperingkat dan terancang. - Sebanyak RM152.95 juta adalah diperuntukkan di bawah
Program Pembangunan Bekalan Air Negeri bagi
melaksanakan 12 program utama Penyelesaian Serta-Merta
dan Jangka Pendek di seluruh Sabah. Program-program
utama di antaranya meliputi Kerja-Kerja Kecemasan Luar
Jangka, Program Khas Bekalan Air, Program Mengurangkan
Kadar Kehilangan Air Tak Berhasil (NRW), Program Membina
47 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
serta Menaik taraf Loji dan Muka Sauk serta Menaik taraf Paip
Utama dan Tangki Air. - Bagi menangani masalah kritikal bekalan air, Kerja-Kerja
Kecemasan Luar Jangka yang sedang dalam pelaksanaan
ialah Projek Pemasangan Paip Baharu di daerah Kota
Kinabalu dan Keningau serta Projek Pembinaan Loji Rawatan
Air Telibong II yang bertujuan mengurangkan masalah bekalan
air yang amat mendesak di kawasan Kota Kinabalu Utara. - Manakala, pelaksanaan NRW melibatkan enam daerah iaitu
daerah Ranau, Kota Belud, Semporna, Kudat, Tuaran dan
Papar. Program ini adalah di peringkat perolehan dan
dijadualkan pelaksanaan kerja fizikal pada tahun hadapan.
Bagi Program Menaik taraf Paip Utama, terdapat dua projek
sambungan iaitu Projek Penggantian Paip Lama daerah
Beaufort dan Projek Pembesaran Paip Agihan daerah Telupid. - Bagi Program Menaik taraf Tangki Air, terdapat dua projek
yang disenaraikan iaitu Projek Penggantian Tangki Khidmat
Pekan Beaufort dan Loji Rawatan Air Membakut. Bagi
Program Membina serta Menaik taraf Loji dan Muka Sauk,
terdapat lima projek sambungan di daerah Sandakan dan tiga
projek lagi di peringkat reka bentuk konsep di daerah Ranau
dan Keningau. Ketiga-tiga projek ini akan dilaksanakan pada
tahun 2022.
48 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
Datuk Speaker, - Jabatan Kerja Raya diperuntukkan sebanyak RM305.05 juta
daripada peruntukan perbekalan dan pembangunan pada
tahun 2022 bagi melaksanakan program-program bina baharu
dan penyenggaraan, baik pulih dan naik taraf jalan raya, cerun,
jambatan, bangunan serta lain-lain aset Kerajaan Negeri
termasuk sewaan dan perkhidmatan-perkhidmatan lain. - Jabatan Keretapi Negeri Sabah diperuntukkan sebanyak
RM80.88 Juta termasuk untuk menaik taraf dan menambah
baik sistem keretapi serta membangunkan semula landasan
keretapi untuk kemudahan rakyat. Jabatan Perkhidmatan
Pembetungan pula akan diperuntukkan sebanyak RM71.1 juta
termasuk untuk meningkatkan perkhidmatan pembetungan
bagi menjamin kesejahteraan dan kebersihan persekitaran. - Seterusnya, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah
diperuntukkan sebanyak RM20.86 juta. Peruntukan ini akan
digunakan bagi membiayai pengurusan dan projek-projek
pembangunan yang dirancang dan untuk membangunkan
kemudahan pelabuhan dan menyediakan perkhidmatan
kawalan serta penjagaan keselamatan lalu lintas air.
49 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya - Di samping itu, sebanyak RM454.71 juta diperuntukkan di
bawah Kementerian Kewangan, Dewan Bandaraya Kota
Kinabalu, KKTP dan JPS bagi pengurusan dan
penyenggaraan kemudahan-kemudahan awam.
Kelestarian Hijau
Datuk Speaker, - Mengambil kira kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan
alam sekitar, pada tahun 2022, Kerajaan Negeri
memperuntukkan sejumlah RM12.35 juta di bawah
perbelanjaan perbekalan dan RM16.56 juta di bawah
perbelanjaan pembangunan. Beberapa pelan pengurusan
akan dilaksanakan pada tahun hadapan termasuk Pelan
Tindakan Hidupan Liar Terancam Sabah, Pelan Pengurusan
Pesisir Pantai Sabah, Pelan Pengurusan Pulau Mabul, Pulau
Pom-Pom dan pulau-pulau sekitarnya. - Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha untuk
memastikan setiap komponen dalam mewujudkan kelestarian
hijau akan dapat diberikan perhatian yang sewajarnya.
Sukacita juga dimaklumkan bahawa Negeri Sabah telah
diberikan penghormatan selaku tuan rumah bagi acara
Kongres Taman-Taman Asia kedua (Ke-2) yang akan
diadakan di Kota Kinabalu pada bulan Mei 2022. Kongres ini
50 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
akan dianjurkan bersama dengan International Union for the
Conservation of Nature (IUCN). - Di samping itu, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah
telah membangunkan aplikasi “Polis Alam Sekitar” yang
bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu
pencemaran alam sekitar marin yang berlandaskan kepada
Dasar Pendidikan Alam Sekitar Negeri Sabah 2009. - Agenda kelestarian hijau juga berkait secara langsung dengan
industri pelancongan. Kepelbagaian dan keunikan flora dan
fauna di negeri ini terus menjadi tarikan utama pelancong
dalam dan luar negara. Justeru, sebanyak RM9 juta
diperuntukkan di bawah perbelanjaan pembangunan kepada
Jabatan Hidupan Liar, Taman-Taman Sabah dan Jabatan
Perlindungan Alam Sekitar untuk melindungi spesies flora dan
fauna. Di samping itu, sebanyak RM115.73 juta juga
diperuntukkan kepada jabatan dan agensi lain yang turut
menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan
berasaskan alam semulajadi seperti Jabatan Perhutanan dan
Unit Biodiversiti Sabah. Agenda kelestarian hijau amat penting
kerana ia bukan sahaja melibatkan isu alam sekitar dan
fenomena pemanasan global, malah menjadi aset untuk
pembangunan ekonomi dan peningkatan pendapatan negeri.
51 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
BADAN-BADAN BERKANUN DAN AGENSI AWAM NEGERI
Datuk Speaker, - Kerajaan Negeri memandang serius terhadap kedudukan
Badan-Badan Berkanun dan Agensi Awam Negeri sebagai
jentera membantu Kerajaan dalam meningkatkan hasil negeri
dan memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan
Kerajaan. Atas kesedaran itu, Kementerian Kewangan sedang
melaksanakan kajian semula ke atas semua Badan-Badan
Berkanun dan Agensi Awam Negeri. Ini melibatkan
penstrukturan semula aktiviti operasi bersesuaian dengan
objektif penubuhan bagi memastikan semua pelaburan
Kerajaan Negeri mencapai matlamat dan mendapat pulangan
yang lebih baik. - Antara matlamat utama pendekatan ini adalah untuk
memastikan pembayaran dividen dan bayaran balik faedah
dan pinjaman adalah mengikut jadual dan meningkat dari
semasa ke semasa. Oleh itu, Badan-Badan Berkanun dan
Agensi Awam Negeri digesa untuk berusaha bagi memastikan
tanggungjawab pembayaran dividen kepada Kerajaan Negeri
dapat ditingkatkan dan dilaksanakan. Sehubungan itu,
tindakan drastik akan diambil termasuklah menghentikan
kegiatan ekonomi, pelaburan, program atau projek yang tidak
52 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
menghasilkan pendapatan tetapi menjadi beban kepada
organisasi dan Kerajaan Negeri. - Bagi merealisasikan pendekatan tersebut, Jawatankuasa
Pengawalseliaan dan Pematuhan Tadbir Urus Korporat
(JPPTUK) telah disusun semula bertujuan untuk memantau
dan mengawasi pelaksanaan Kod Tadbir Urus Korporat
terhadap Badan-Badan Berkanun dan Syarikat-Syarikat Awam
Negeri termasuk prestasi Lembaga Pengarah. - Peranan Badan-Badan Berkanun dan Agensi Awam Negeri
amat signifikan kerana prestasi yang dicapai akan memberi
impak terhadap kemajuan sosio ekonomi dan sumbangan
hasil kepada Kerajaan Negeri. Setakat ini, Kerajaan Negeri
telah menerima sejumlah RM111.1 juta dividen dan dijangka
akan meningkat lagi di penghujung tahun ini. - Pada kesempatan ini, Kerajaan Negeri mengucapkan syabas
kepada Badan-Badan Berkanun dan Agensi Awam Negeri
yang telah merekodkan keuntungan dan membayar dividen
kepada Kerajaan iaitu Sabah Development Berhad,
Perbadanan Pinjaman Sabah, Qhazanah Sabah Berhad,
Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd., Sawit Kinabalu Berhad,
Progressive Insurance Berhad, Innoprise Corporation Sdn.
Bhd., Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Tongod
Plantation Sdn. Bhd., Saham Sabah Berhad, Tabin Wildlife
53 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
Holidays Sdn. Bhd. dan Desa Plus Sdn. Bhd. serta sumbangan
daripada Korporasi Pembangunan Desa. - Terima kasih juga kepada Badan-Badan Berkanun dan Agensi
Awam Negeri yang telah membayar balik pinjaman tahunan
kepada Kerajaan Negeri yang setakat November 2021
berjumlah RM13.6 juta. Organisasi terlibat adalah Kota
Kinabalu Industrial Park, Majlis Ugama Islam Sabah, Yayasan
Usaha Maju, Perbadanan Baitulmal, Sabah Fish Marketing
Sdn. Bhd., Sabah Air Aviation Sdn. Bhd., Perbadanan
Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan Koperasi
Serbaguna Sanya Berhad (KOSAN).
PENJAWAT AWAM
Datuk Speaker, - Perkhidmatan Awam merupakan nadi Kerajaan Negeri.
Kerajaan perlu memastikan perkhidmatan awam berfungsi
pada tahap kecekapan yang tinggi pada setiap masa dan
mampu menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada
semua lapisan masyarakat. - Pelbagai program telah dirancang untuk menambah baik
sistem penyampaian sejajar dengan keperluan norma baharu.
54 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
Penggunaan ruang digital perlu dimaksimakan untuk
memastikan kecekapan dan keberkesanan tugas harian.
Untuk itu, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah
RM56.44 juta bagi menaik taraf kemudahan digital untuk
kegunaan penjawat awam. - Manakala, sebanyak RM3.75 juta diperuntukkan di bawah
Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam
Negeri. Peruntukan ini akan dibelanjakan untuk meneruskan
agenda pembangunan Kerajaan Elektronik (e-Goverment) dan
Program Pembangunan ICT. Sementara itu, dalam tempoh
tahun 2022 hingga 2025, Kerajaan Negeri melalui Sabah Net
akan terus menaik taraf talian internet ke semua pejabat
Kerajaan kepada rangkaian fiber optik berkelajuan 30Mbps
hingga 100Mbps. - Bagi tujuan peningkatan kualiti, ilmu pengetahuan dan
perkembangan kerjaya, Kerajaan Negeri memperuntukkan
RM8.35 juta untuk menaja penjawat awam melanjutkan
pelajaran di dalam bidang Sarjana dan Kedoktoran di universiti
dalam dan luar negara yang terpilih.
55 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
Datuk Speaker, - Penjawat awam juga tidak terkecuali daripada terkesan oleh
pandemik COVID-19. Walau bagaimanapun, ia tidak
melunturkan semangat untuk terus berkhidmat kepada
Kerajaan bagi memastikan jentera pentadbiran berjalan
dengan lancar. Oleh itu, bagi mengiktiraf jasa dan peranan
para penjawat awam, Kerajaan Negeri bersetuju untuk
memberikan bantuan khas sebanyak setengah bulan gaji
dengan kadar minima RM1,000.00 kepada seramai 20,271
orang penjawat awam negeri termasuk penjawat awam
sementara, kontrak dan Pekerja Sambilan Harian (PSH) yang
akan dibayar pada bulan Januari 2022. Di samping itu,
Kerajaan Negeri juga akan membiayai kerja-kerja awalan
pembinaan perumahan mampu milik kepada penjawat awam
negeri. Saya berharap agar insentif ini akan memberi suntikan
semangat kepada para penjawat awam negeri untuk berusaha
lebih gigih demi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada
rakyat.
56 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
KERJASAMA NEGERI DAN PERSEKUTUAN
Datuk Speaker, - Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan dan berterima kasih
kepada Kerajaan Persekutuan atas pemberian bantuan khas
sebanyak RM700.00 kepada para penjawat awam
persekutuan termasuk yang berkhidmat di Sabah. Peranan
Kerajaan Persekutuan yang digerakkan oleh para penjawat
awam persekutuan mempunyai nilai dan makna yang besar
kepada pembangunan negeri. - Sesungguhnya, Kerajaan Negeri amat menghargai komitmen
dan bantuan berterusan Kerajaan Persekutuan bagi
melonjakkan pembangunan negeri. Dalam pembentangan
Belanjawan 2022, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan
sejumlah RM5.2 bilion perbelanjaan pembangunan bagi
Sabah. Ia meliputi pembiayaan peruntukan bagi kemudahan
asas, infrastruktur, bekalan air dan elektrik serta penjagaan
kesihatan. Saya menyeru agar jabatan-jabatan Persekutuan
dan Negeri dapat mempermudahkan proses kelulusan bagi
memastikan projek-projek pembangunan dapat dilaksanakan
seperti yang dirancang. - Sungguhpun jumlah tersebut adalah satu peningkatan
daripada belanjawan sebelumnya, namun kadar peruntukan
57 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
pembangunan tersebut jauh daripada mencukupi untuk
menampung keperluan utama di negeri ini. Kita memahami
kedudukan kewangan semasa khususnya keutamaan bagi
keperluan mendesak bagi peruntukan pemulihan ekonomi
termasuk pelbagai bentuk bantuan berorientasikan rakyat
yang akan turut dimanfaati oleh rakyat di negeri ini. - Selain bersandarkan kepada peruntukan tahunan negeri dan
persekutuan, Kerajaan Negeri melihat keperluan meletakkan
fokus kepada pelaburan asing dan domestik sebagai enjin
pertumbuhan ekonomi negeri. Usaha menarik pelaburan
memerlukan strategi dan pendekatan khusus, antaranya
mewujudkan persekitaran yang kondusif sama ada dalam
bentuk polisi dan insentif kerajaan, serta kewujudan
infrastruktur asas yang ekonomikal bagi pelabur. - Atas sebab itu, sebagai strategi jangka panjang menangani
kebergantungan pembangunan ekonomi negeri kepada
belanjawan dana awam, Kerajaan Persekutuan perlu
mengambil tindakan segera bagi menangani isu-isu legasi
berhubung pembangunan infrastruktur di Sabah yang akan
menjadi faktor pertimbangan para pelabur. Sehubungan itu,
pendekatan khusus perlu digerakkan bagi memastikan projek
berimpak tinggi perlu dilaksanakan dan disiapkan segera
seperti Lebuhraya Pan Borneo dan penyediaan sumber
tenaga serta rangkaian grid lengkap yang memenuhi tuntutan
58 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
semasa bukan sahaja bagi keperluan industri malah keperluan
harian rakyat di Sabah.
Datuk Speaker, - Kerajaan Negeri berkeyakinan tinggi Kerajaan Persekutuan
memahami keperluan dan tuntutan pembangunan negeri dan
rakyat di Sabah. Kita akan sentiasa meneruskan perundingan
konstruktif melalui pelbagai platform di semua peringkat. Kita
bersyukur kerana bukan sahaja RMKe-12 meletakkan
komitmen untuk melonjakkan pembangunan Sabah sebagai
salah satu daripada sembilan fokus utama, buat kali pertama
dalam sebuah dokumen Rancangan Malaysia, jaminan dan
komitmen dasar digariskan untuk menyelesaikan isu-isu
tertangguh berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). - Kerajaan Negeri mengalu-alukan komitmen Kerajaan
Persekutuan untuk meneruskan siri perundingan melalui Majlis
Khas MA63. Pelbagai status kemajuan telah berjaya dicapai
dan kita akan terus memantau dengan teliti untuk memastikan
hak dan kepentingan negeri dapat ditunaikan. - Sukacita saya ingin memaklumkan Dewan yang mulia ini
bahawa rundingan di antara Kerajaan Negeri, Kerajaan
Persekutuan dan PETRONAS bagi membincangkan
Perjanjian Kerjasama Komersial atau
59 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
Commercial Collaboration Agreement (CCA) telah berjaya
dimuktamadkan. Persefahaman dan persetujuan telah dicapai
di antara kedua belah pihak sekali gus memastikan perjanjian
CCA akan dapat ditandatangani dalam tempoh terdekat.
Setelah sekian lama isu legasi berkaitan Akta Pembangunan
Petroleum 1974 (PDA 1974) mendasari isu berkaitan minyak
dan gas kita, Insya Allah, perjanjian ini akan membawa nilai
dan makna yang lebih besar kepada Sabah. Sabah akan
mendapatkan perkongsian hasil yang lebih besar (greater
revenue sharing), penyertaan dan penguasaan yang lebih
besar (greater participation and greater say) dalam hal
berkaitan minyak dan gas. - Sementara itu, Kerajaan Negeri dan PETRONAS telah
membuat kajian bersama bagi menentukan nilai tambah
industri gas yang boleh memberikan pulangan ekonomi jangka
panjang untuk Sabah. Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk
PETRONAS membina kemudahan gas asli cecair (LNG) yang
berdasarkan konsep “nearshore” yang pertama di negeri ini
iaitu di SOGIP. Di samping itu, Sabah juga akan mempunyai
peruntukan gas untuk menyokong industri hiliran di negeri ini.
60 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
Datuk Speaker, - Kita percaya bahawa isu berhubung hak dan kepentingan
negeri yang melingkari hubungan kerjasama di antara
Kerajaan Negeri dan Persekutuan selama ini akan dapat
ditangani melalui perundingan dan muafakat atas semangat
Keluarga Malaysia. - Perjuangan ini adalah satu perjalanan panjang yang kita warisi
daripada barisan pelopor pejuang terdahulu. Sekalipun
mengambil masa, kita harus memastikan setiap langkah yang
teratur rapi akan membawa nilai dan makna kemajuan. Jangan
terbelenggu dengan retorika politik berpanjangan yang tidak
membawa kita ke mana- mana. Jangan biarkan romantika
sejarah semata-mata akhirnya membawa kita berundur jauh
ke belakang. Jangan sesekali lupa di kala kita menuding jari
telunjuk mencari silap orang lain, hakikatnya empat jari yang
lain menuding tepat ke arah sendiri. - Kita sentiasa mengalu-alukan dan menghargai kebersamaan
semua pihak termasuk barisan pembangkang dalam agenda
perjuangan ini. Hakikatnya, sebahagian besar daripada kita
yang berada di Dewan yang mulia ini, termasuk yang di posisi
pembangkang, pernah duduk sebagai Kerajaan sama ada di
peringkat negeri mahupun persekutuan, juga ada yang pernah
menjadi Menteri dan Ketua Menteri. Biar kita jujur dengan
61 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
setiap kata-kata. Biar kita ikhlas dalam setiap tindakan. Biar
sejarah menilai dan rakyat menjadi penentu.
PENUTUP
Datuk Speaker, - Sebelum saya mengakhiri ucapan belanjawan ini, suka saya
mengulangi beberapa perkara utama. Pertama, buat pertama
kali dalam sejarah, hasil negeri tertinggi bakal dicatatkan bagi
tahun 2021. Saya ingin menyeru semua jabatan pemungut
hasil untuk menggalas dan melipatgandakan lagi usaha agar
sasaran kutipan hasil RM4.912 bilion bukan sahaja dapat
dicapai, bahkan dapat menembusi paras RM5 bilion, Insya
Allah. - Kedua, sebagaimana tema belanjawan ini, pemulihan
ekonomi adalah kunci kepada kesejahteraan rakyat. Maka,
semua pihak perlu memastikan semua program dan projek
yang terkandung dalam Belanjawan Negeri dan Belanjawan
Persekutuan 2022 dilaksanakan dengan segera untuk
merangsang ekonomi. Manakala, semua agensi Kerajaan
berkaitan perlu menganjak paradigma dan melaksanakan
pendekatan yang lebih mesra pelabur. Demi perubahan yang
lebih bermakna untuk membina Sabah yang lebih maju dan
62 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
berjaya, kita memerlukan penglibatan segera para pelabur
untuk merancakkan dan melonjakkan pertumbuhan ekonomi. - Ketiga, peranan yang dimiliki oleh Kerajaan hari ini adalah
bersandarkan kepada mandat rakyat. Di kala pembentangan
belanjawan setiap tahun, kita berbicara tentang nilai
melibatkan ribuan juta ringgit. Adalah menjadi peranan semua
pihak, anggota pentadbiran dan penjawat awam, untuk
memastikan bukan sahaja jumlah besar ini dibelanjakan
dengan penuh hemah, malah nilai dan maknanya tidak hanya
dapat didengar, tetapi harus dapat dilihat dan dirasai oleh
rakyat di akar umbi. Hasil negeri adalah amanah rakyat yang
dipertanggungjawabkan kepada Kerajaan.
Datuk Speaker, - Negeri ini adalah milik semua, setiap anak Sabah. Masa depan
tanah air tercinta ini adalah tanggungjawab semua. Negeri ini
tidak akan maju dalam erti kata sebenar sekiranya masih ada
warganya yang terpinggir. Saya mengajak semua anak Sabah
untuk bersama-sama membangunkan negeri, sederap
selangkah menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
63 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya
Makan mangga cicah berlada,
Bersila santai tepian paya,
Pemimpin dan rakyat berpisah tiada,
Membawa Sabah ke puncak jaya.
Pesona Kinabalu seindah nama,
Gunung Tertinggi di Asia Tenggara,
Sabah Maju Jaya impian bersama,
Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera.
Datuk Speaker, - Cabaran di hadapan kita adalah membawa anak-anak Sabah
untuk bangkit memulihkan ekonomi yang terkesan akibat virus
COVID-19. Mari kita bersama, bekerja sehabis baik, sepenuh
jiwa dan raga demi masa depan Sabah yang lebih maju dan
berjaya. Rintangan di hadapan kita masih belum berakhir, kita
masih hidup dilingkari pandemik, kita mesti bersedia hidup
bersama COVID-19, kita harus terima norma baharu, bersama
kita patuhi SOP. Kita Jaga Kita, Kita Tetap Menang.
64 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya - Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk
mengucapkan selamat menyambut perayaan Hari Krismas
kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, penjawat awam dan
warga Sabah yang beragama Kristian dan selamat
menyambut Tahun Baharu 2022 kepada semua.
Datuk Speaker,
Saya moho