
KUALA LUMPUR: UMNO perlu kekal menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ini kerana meskipun Barisan Nasional (BN) hanya mempunyai 42 sokongan daripada 114 secara keseluruhannya, Ismail Sabri membawa imej parti itu sekali gus sokongan harus diberikan kepada beliau sebagai pemerintah negara.
“Mereka (Perikatan Nasional) ada perasaan juga, jangan desak tuntut itu ini, dan timbulkan hubungan yang bermasalah. Kita nak elok, jadi kita perlu runding baik-baik, sebab PN ada pilihan dia boleh buat, sama ada dengan PN atau nak pilih UMNO? Tetapi mereka pilih UMNO untuk menjadi Perdana Menteri.
“Kita kena hargai kawan kita. Dan yang UMNO ni, kita tidak mahu kerajaan yang diterajui UMNO jatuh dalam tempoh terdekat. Sebab kalau jatuh, apa untungnya bagi UMNO? Kita nak adakan pilihan raya. Jadi kita mestilah kena ada persiapan. Untuk permulaan, kita kena jaga keadaan ini, kerajaan buat kerja kerajaan, parti buat kerja parti,” katanya ketika dihubungi.
Beliau dalam masa yang sama turut mengingatkan UMNO perlu buang keegoan demi perpaduan dan tidak menuntut hak parti lain supaya diberikan kepada UMNO.
“Bila orang buat baik, kita kena hargai. Jangan ambil kesempatan sehinggakan hak kawan pun kita nak ambil. Apa yang selayaknya bagi kita, kita jaga betul-betul.
“Jangan nak tunjuk ‘aku bos, aku lebih hebat’ semangat itu kena buang,” katanya.
Tinggalkan Jawapan