Teks Ucapan Majlis Pelancaran Hala Tuju Sabah Maju Jaya

TEKS UCAPAN
YANG AMAT BERHORMAT KETUA MENTERI SABAH
SEMPENA MAJLIS AMANAT
& PELANCARAN HALA TUJU SABAH MAJU JAYA
(PELAN PEMBANGUNAN SABAH MAJU JAYA 1.0: 2021-2025)
PADA 29 MAC 2021
BERTEMPAT DI ARAS 4, DEWAN SIPADAN 2,
SABAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (SICC),
KOTA KINABALU

Bismillahhirramanirrahim
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Sabah Maju Jaya.

Yang Berhormat Datuk Haji Kadzim Haji M. Yahya,
Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah

Timbalan-Timbalan Ketua Menteri,
Yang Berhormat Dato’ Sri Bung Moktar Radin
Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan
Yang Berhormat Datuk Dr. Joachim Gunsalam

Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili,
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Sabah dan Sarawak)

Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet Negeri,
Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong,
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

Yang Berhormat Timbalan Menteri Persekutuan dan Pembantu-Pembantu Menteri,

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Zulkaply Mohamed,
Setiausaha Persekutuan Sabah

Yang Berbahagia Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai,
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, merangkap Ketua Sekretariat Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Yang Berbahagia Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian, Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri,

YBhg. Wakil-Wakil sektor swasta, NGO dan Institusi Pengajian Tinggi,
Dif-dif jemputan,

YBhg. Tan Sri, Datuk Seri, Datuk-Datuk, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

MUKADIMAH

  1. Pertamanya, marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama hadir dalam Majlis Amanat dan Pelancaran Hala Tuju Sabah Maju Jaya pada hari ini. Sebenarnya, pelancaran ini dirancang untuk dilangsungkan pada bulan Januari 2021 bersempena tahun baharu, namun terpaksa ditangguhkan kerana kekangan pandemik COVID-19. Alhamdulillah, keadaan yang semakin terkawal mengizinkan kita berhimpun dalam skala sederhana dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
  2. Saya ingin mengambil kesempatan di awal ucapan ini, untuk merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menangani COVID-19. Kerajaan Negeri amat menghargai dan menyanjung tinggi pengorbanan serta kerja keras para frontliners: petugas kesihatan iaitu para doktor, jururawat dan kakitangan sokongan perubatan; petugas keselamatan iaitu Polis, Tentera, APM, RELA, Imigresen; serta para petugas kebajikan, para sukarelawan dan banyak lagi yang tidak dapat saya sebutkan satu-persatu, namun tidak sesekali mengurangkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang terlibat.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Usaha kita dalam menangani COVID-19 bergerak setiap hari sejak pandemik mula tercetus. Mungkin ramai yang tidak mengetahui, Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah bermesyuarat setiap hari sejak berbulan yang lalu, termasuk hujung minggu dan cuti umum. Kita menerima laporan harian, kita membuat keputusan, kita melaksanakan dan memantau keberkesanan setiap tindakan yang diambil. Strategi dan pendekatan yang diambil bukan hanya tertumpu kepada aspek kesihatan awam, malah meliputi kebajikan rakyat dan kesan kepada ekonomi negeri.
  2. Hari ini genap enam bulan saya memimpin Kerajaan Negeri. Hakikatnya, kerajaan yang saya pimpin bermula 29 September 2020, berhadapan dengan realiti dan kedudukan ekonomi yang amat mencabar. Prestasi pertumbuhan ekonomi negeri mencatat kadar 0.5 peratus pada tahun 2019, berbanding 1.5 peratus pada tahun 2018, dan 8.1 peratus bagi tahun 2017. Prestasi pertumbuhan ekonomi Negeri Sabah pada tahun 2020 dijangka menguncup kepada 15 peratus hingga 19 peratus.
  3. Isu legasi, peralihan kerajaan dan pandemik COVID-19 menuntut kita untuk bertindak segera bagi menyusun semula keutamaan, menangani penyusutan pertumbuhan ekonomi dan mengenal pasti sumber baharu untuk memperkukuh hasil negeri. Pada masa yang sama, kedudukan sosio-ekonomi rakyat perlu diletakkan pada unjuran keutamaan melalui pelbagai inisiatif untuk menjana dan meningkatkan ekonomi rakyat.
  4. Sehubungan itu, selain fokus menangani isu kesihatan awam, kerajaan telah memulakan usaha merangka strategi bagi merangsang pembangunan negeri untuk membawa Sabah keluar daripada kesan pandemik COVID-19, dan seterusnya membina kemajuan negeri untuk masa hadapan.
  5. Pembentukan kerangka pelan pembangunan adalah amat penting untuk melaksanakan hasrat tersebut. Pelan berfungsi sebagai panduan hala tuju dasar dan program kerajaan, seterusnya memandu arah pelaksanaan secara strategik untuk mencapai sasaran yang bertepatan dengan keperluan pembangunan negeri.

Tuan-tuan dan puan-puan,

PENGGUBALAN HALA TUJU SABAH MAJU JAYA

  1. Berpandukan pelbagai platform libat urus yang merentasi berbagai segmen masyarakat, Kerajaan Negeri telah menggubal Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Hala Tuju SMJ merupakan kerangka pelan pembangunan utama negeri yang memayungi pelbagai blueprint pembangunan sektoral. Hala Tuju ini akan bergerak seiring dengan agenda pembangunan nasional di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, dan merupakan manifestasi kepada komitmen yang digariskan dalam Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-16 yang lalu.
  2. Sebagaimana terkandung dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2021, pelaksanaan fasa pertama dimulakan dengan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 bagi tempoh 2021 – 2025 dengan penjajaran bersama pelan pembangunan nasional melalui Rancangan Malaysia Ke-12.
  3. Pelan SMJ 1.0 akan digerakkan dengan dengan lima objektif merangkumi usaha:
    Pertama : Membina negeri dan masyarakat bersatu, aman,
    makmur dan sejahtera;
    Kedua : Mengoptimum sumber dan hasil negeri;
    Ketiga : Merangsang pemulihan ekonomi;
    Keempat : Meningkatkan ekonomi rakyat; dan
    Kelima : Membangunkan modal insan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Sabah Maju Jaya yang merupakan slogan Jata Negeri sejak sekian lama telah dipilih sebagai nama pelan pembangunan ini. Sudah tiba masanya slogan ini diberikan nilai dan makna yang lebih besar dalam membina masa depan negeri. Sabah Maju Jaya adalah falsafah yang membina jiwa dan inti pati perjuangan setiap anak Sabah. Slogan ini diangkat sebagai hala tuju negeri dengan hasrat untuk membawa citra inklusiviti, pemilikan bersama, kesatuan dan pertanggungjawaban setiap anak watan untuk menjayakan agenda pembangunan negeri.
  2. Kita mahu semua pihak memahami bahawa Hala Tuju Sabah Maju Jaya bukan pelan milik peribadi Ketua Menteri dan Ahli Jemaah Menteri, bukan juga hak Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah, dan bukan sesekali pelan hanya untuk para penjawat awam. Hakikatnya, SMJ adalah hala tuju kita bersama, sebagaimana jata negeri adalah hak dan milik semua anak watan Sabah. Sesungguhnya, hak milik itu datang bersama pertanggungjawaban untuk memastikan kita semua bergerak seiring membina negeri Sabah yang lebih maju dan berjaya.
  3. Atas sebab itu, sejak dari awal saya menekankan bahawa pengisian hala tuju ini perlu menyantuni aspirasi segenap lapisan masyarakat. Sebaik sahaja Kabinet Negeri merumuskan kerangka hala tuju strategik, saya telah mengarahkan Sekretariat Hala Tuju SMJ untuk melaksanakan gerak kerja libat urus untuk mendapatkan input, syor dan pandangan daripada pelbagai pihak merentasi semua segmen masyarakat.
  4. Pengumpulan input daripada pelbagai lapisan rakyat telah dimulakan, dengan Pelancaran Hari Terbuka Libat Urus: Hala Tuju Sabah Maju Jaya pada 12 Januari 2021. Selain sesi bersemuka yang dilaksanakan secara terhad berpandukan SOP, platform libat urus juga disediakan melalui laman web, portal, facebook, twitter, instagram dan lain-lain.
  5. Kita telah menerima pelbagai maklum balas berupa idea, cadangan dan pendapat yang menyentuh berbagai aspek pembangunan. Sebagai contoh, melalui responden e-penyertaan, sebanyak 1,280 input telah berjaya diperolehi. Sambutan positif daripada masyarakat ini menzahirkan keprihatinan dan harapan tinggi rakyat kepada kerajaan untuk mempelopori agenda perubahan, membawa rakyat dan tanah air tercinta ini melangkah ke hadapan untuk masa depan yang lebih makmur dan sejahtera.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Pelan pembangunan ini melibatkan tiga teras utama berdasarkan kepada slogan “Sabah Maju Jaya” atau SMJ. Huruf (S) merujuk kepada tiga Sektor utama fokus pertumbuhan ekonomi iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan; huruf (M) mewakili Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat; manakala huruf (J) adalah Jaringan

Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.

  1. Tiga teras utama SMJ akan dipacu oleh lima pemboleh daya iaitu: Kemampanan Fiskal; Kemudahan Kewangan; Keberkesanan dan Kecekapan Penyampaian; Kecemerlangan Tadbir Urus Yang Berintegiriti; dan Kerajaan Digital.
  2. Untuk memastikan hala tuju ini mencapai matlamatnya, setiap teras dan pemboleh daya akan disokong dengan pelbagai inisiatif. Sehingga kini, sejumlah 584 inisiatif meliputi 304 inisiatif teras dan 280 inisiatif pemboleh daya telah dirangka untuk dilaksanakan bermula tahun 2021.

Tuan-tuan dan puan-puan,

PENGENALAN TIGA TERAS UTAMA HALA TUJU SMJ

  1. Sejak mencapai kemerdekaan, sektor pertanian, perladangan dan pembalakan telah menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi negeri. Sejajar dengan peredaran masa dan transformasi struktur, ekonomi Sabah telah beralih kepada sektor perkhidmatan sebagai penyumbang utama ekonomi. Pandemik COVID-19 yang mula melanda negara pada suku pertama tahun 2020 telah memberikan impak negatif yang besar terhadap ekonomi negeri dan rakyat.
  2. Realiti ini menuntut kita untuk melihat semula hala tuju pembangunan setiap sektor ekonomi. Tanpa membelakangkan kepentingan sektor-sektor ekonomi lain, Hala Tuju SMJ meletakkan tiga sektor sebagai fokus pemacu pertumbuhan ekonomi negeri. Pemilihan ketiga-tiga sektor ini mengambil kira potensi dan sumber sedia ada yang dilihat berkeupayaan untuk dilonjakkan ke tahap yang optimum untuk memacu pertambahan hasil sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri.

SEKTOR PERTANIAN

  1. Sektor pertanian yang merangkumi sub-sektor tanaman, penternakan dan perikanan merupakan sektor penting yang diangkat sebagai sektor keutamaan di bawah Hala Tuju SMJ. Sektor ini menyumbang sebanyak 16 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah pada tahun 2019.
  2. Pembangunan sektor pertanian akan memberi penekanan kepada aktiviti-aktiviti rantaian nilai secara menyeluruh iaitu peningkatan pengeluaran, pengumpulan hasil, pemprosesan dan pemasaran yang lebih sistematik. Peningkatan hasil pengeluaran dari segi kuantiti dan kualiti akan menjamin bekalan makanan yang mencukupi untuk kegunaan dalam negeri dan perluasan pasaran eksport hasil pertanian ke luar negara.
  3. Penggunaan teknologi terkini di sepanjang rantaian nilai dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan akan terus diberi tumpuan bagi meningkatkan produktiviti dan nilai tambah bagi sektor ini. Usahasama dan kerjasama pintar dengan pemain-pemain industri bagi pembangunan komoditi bernilai komersial seperti kelapa dan nenas akan terus diperkasa sebagai strategi meningkatkan pengeluaran dan industri pemprosesan dalam negeri bagi pasaran eksport. Pemetaan kawasan mengikut kesesuaian jenis tanaman juga sedang dilaksanakan bagi mempermudahkan penentuan kawasan bagi setiap potensi pelaburan dalam sektor pertanian.
  4. Alhamdulillah, dalam tempoh awal pelaksanaan SMJ, kita telah dapat menarik pelaburan dalam sektor ini melalui Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani pada 22 Mac lalu. Kumpulan Syarikat Linaco akan melabur dan membangunkan tanaman kelapa high-yield hybrid berskala besar termasuk pembangunan industri hiliran. Pelaburan ini melibatkan pembangunan kilang memproses kelapa secara bersepadu untuk mengoptimumkan pengeluaran produk berasaskan kelapa, meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan mewujudkan pusat kecemerlangan amalan terbaik bagi produk kelapa. Projek ini melibatkan anggaran pelaburan awal bernilai RM200 juta dan dijangka menyediakan 4,250 peluang pekerjaan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Kerajaan akan berusaha untuk membantu meningkatkan pendapatan para petani. Kewujudan pusat-pusat pengumpulan hasil pertanian yang sedang dilbangunkan di pelbagai daerah akan memudahkan pemasaran hasil pertanian para pekebun kecil. Pusat pengumpulan ini akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan berkaitan seperti sistem penyimpanan, bilik sejuk, pembungkusan dan rangkaian digital bagi memudahkan urusniaga petani, pengguna, peruncit, pemborong dan pengeksport. Fasiliti ini akan memberikan kemudahan pemasaran yang lebih terancang, mengurangkan risiko kerugian, kerosakan dan pembaziran hasil pertanian. Kemudahan ini disasar akan melonjakkan ekonomi masyarakat petani khususnya di luar bandar.
  2. Pembangunan sub-sektor perikanan tertumpu kepada tiga teras utama iaitu memperkukuhkan pertumbuhan dan daya saing pengeluaran, mempertingkatkan jaminan bekalan makanan dan pendapatan serta kelestarian industri perikanan. Antara lain strategi pembangunan ini adalah peningkatan produktiviti melalui pemodenan sektor, pemantapan pengurusan sumber perikanan tangkapan yang mapan dan inisiatif mewujudkan Zon Industri Akuakultur (ZIA) bagi pembangunan industri akuakultur di Sabah.
  3. Dengan potensi dan sumber semula jadi yang dimiliki, kita berkeyakinan sektor pertanian akan dapat diperkasakan untuk menyumbang hasil kepada negeri melalui pengeksportan hasil tempatan, meningkatkan pendapatan masyarakat tani dan nelayan serta mengurangkan kebergantungan negeri kepada import produk pertanian.

Tuan-tuan dan puan-puan,

SEKTOR PERINDUSTRIAN

  1. Sektor kedua fokus pertumbuhan ekonomi negeri di bawah Hala Tuju SMJ adalah perindustrian. Sabah pernah menjadi salah sebuah negeri industri utama di Malaysia hingga pertengahan tahun 1980-an. Kita perlu bangkit dan melonjakkan potensi dan mengoptimumkan sumber yang ada untuk meningkatkan pertumbuhan sektor perindustrian.
  2. Di dalam Pelan SMJ 1.0, antara strategi dan pendekatan utama yang akan dilaksanakan adalah peningkatan insfrastruktur perindustrian, pembangunan keusahawanan, promosi pelaburan, dan usaha-usaha untuk meningkatkan daya saing industri dengan memanfaatkan kemajuan Industry Revolution (IR) 4.0.
  3. Kita dapat melihat penubuhan beberapa taman dan kawasan perindustrian di negeri ini belum mencapai matlamat yang disasarkan. Kerajaan akan meningkatkan infrastruktur di taman dan kawasan perindustrian sedia ada untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi menarik dan menggalakkan pelaburan asing dan domestik.
  4. Selain infrastruktur, dasar dan pendekatan yang mesra pelabur akan diperkenalkan sebagai bukti komitmen tinggi kerajaan untuk bekerjasama dan menerima kehadiran para pelabur sebagai rakan usahasama dalam membangunkan ekonomi. Usaha menarik pelabur perlu digerakkan secara bersepadu merentasi kementerian dan agensi dengan kepentingan negeri diletakkan sebagai matlamat utama.
  5. Kita bersyukur kerana langkah awal kita pada tahun 2021 amat bermakna dengan kejayaan menarik pelaburan asing dari Korea Selatan. Memorandum Persefahaman telah ditandatangani pada 22 Mac 2021 yang melibatkan Pelaburan Pembinaan Kilang Pembuatan Copper Foil oleh Syarikat SK Nexilis Company Limited. Pelaburan di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) bernilai RM2.3 billion ini akan menjana pengeluaran copper foil sebanyak 50,000 metrik tan setahun, Projek ini disasarkan mula beroperasi pada tahun 2023 dan dijangka mewujudkan 500 peluang pekerjaan bagi fasa awal.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Kerajaan juga akan menyediakan kemudahan perniagaan yang teratur dan selesa kepada usahawan bumiputera di pelbagai daerah untuk menjana ekonomi rakyat setempat. Program peningkatan kapasiti dan kemahiran keusahawan akan terus dilaksanakan dengan strategi yang menepati tuntutan semasa.
  2. Pembangunan sektor perindustrian akan memanfaatkan inisiatif kerajaan digital. Antaranya, Geographic Information System (GIS) akan dibangunkan bagi menyimpan maklumat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Selain itu, sistem State Government Approval (SGA) Online versi 2.0 akan dibangunkan bagi membolehkan permohonan SGA diproses dengan segera.
  3. Pada masa yang sama, Sistem Informasi Usahawan Sabah yang dalam proses pembangunan akan dapat digunakan sepenuhnya pada bulan Jun ini. Sistem ini dibangunkan bagi mewujudkan pusat pangkalan data dan maklumat usahawan yang lengkap beserta aplikasi pemantauan yang interaktif kepada seluruh agensi yang terlibat dalam menyelia bidang keusahawanan.
  4. Kerajaan juga akan meningkatkan kapasiti dan memperkasakan penglibatan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk terlibat dalam aktiviti perindustrian berasaskan minyak dan gas, mineral, agrikultur, akuakultur dan sumber marin. Kekayaan khazanah hasil bumi Sabah perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjana hasil dan pertumbuhan ekonomi negeri secara optimum melalui penglibatan aktif GLC negeri dalam sektor perindustrian.

Tuan-tuan dan puan-puan,

SEKTOR PELANCONGAN

  1. Selama tiga dekad yang lalu, sektor pelancongan telah berkembang dengan amat pesat di Sabah. Rakyat negeri ini telah menikmati banyak limpahan ekonomi. Malangnya, pandemik COVID-19 telah mengubah kedudukan dan prestasi sektor pelancongan dalam sekelip mata. Ini bukan sahaja berlaku di negeri dan negara kita, tetapi juga di seluruh dunia.
  2. Kita jangan lupa mengambil ikhtibar dan belajar daripada beberapa aspek positif yang hadir bersama bencana ini. Walaupun pandemik ini mengakibatkan terhentinya aktiviti pelancongan buat sementara, namun ia juga memberi peluang kepada destinasi-destinasi pelancongan di negeri ini untuk menjalani proses rekuperasi. Tempoh pandemik ini juga memberi peluang kepada kita untuk reset dan merangka strategi, bukan sahaja strategi jangka pendek pemulihan pasca COVID-19, malah mengenal pasti bagaimana sektor ini boleh dimajukan jauh ke hadapan.
  3. Langkah jangka pendek ialah memulihkan pelancongan selepas berakhirnya pandemik. Semua destinasi pelancongan kita dan para pemain industri pelancongan menanti saat kegiatan pelancongan dibuka kembali. Fokus pada masa yang terdekat adalah kepada pelancongan domestik, dengan menarik pelancong di dalam negeri dan negara, serta menarik kembali para pelancong dari negara sumber sedia ada iaitu China dan Korea Selatan.
  4. Kita bakal menghadapi persaingan sengit kerana negara lain juga akan berlumba-lumba menarik para pelancong sebaik sahaja sempadan antarabangsa dibuka. Untuk itu, kita perlu lebih kreatif dan proaktif, antaranya, dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital seperti pemasaran secara digital, penggunaan pelbagai apps, dan penggunaan virtual realiti. Kita juga harus menerokai pelbagai kaedah perjalanan yang selamat dan diyakini warga dunia, seperti gelembung perjalanan (travel bubble), laluan hijau (green lane), dan penggunaan pas bebas COVID-19.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Langkah jangka panjang dalam Pelan SMJ adalah untuk mengimbangkan pelancongan massa (mass tourism) dengan pelancongan berpenghasilan tinggi (high yield and high-end tourism). Ini adalah untuk mengelakkan kita daripada terlalu bergantung kepada pelancongan massa, yang mendatangkan pulangan yang linear dan berisiko tinggi memudaratkan alam semula jadi jika tidak terkawal.
  2. Untuk itu, tarikan-tarikan ikonik baharu yang berimpak tinggi perlu dirancang dan dilaksanakan. Ini termasuklah pembinaan pusat-pusat peranginan yang berprestij yang menarik para pelancong dalam kategori high-end. Alhamdulillah, pada tahun ini kita dapat memulakan satu pembangunan tarikan ikonik baharu melalui projek yang melibatkan usahasama di antara Kumpulan Yayasan Sabah dengan syarikat Tegas Bangsa Sdn. Bhd.
  3. Projek yang dinamakan Lok Kawi Resort City merangkumi pembinaan pusat peranginan, hotel, kompleks membeli belah, theme park, blok komersial serta pejabat, kondominium dan lain-lain dengan nilai pembangunan kasar projek (GDV) sejumlah RM7 bilion.
  4. Projek ikonik pelancongan ini akan dapat melonjakkan persekitaran yang kondusif bagi sektor pelancongan, termasuk menangani kekurangan jumlah bilik penginapan dan pusat peranginan di Sabah bagi menampung keperluan yang tinggi. Projek ini dijangka menyediakan lebih 5,000 peluang pekerjaan dalam fasa awal.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Aset utama kita ialah paparan landskap alam semula jadi; pergunungan dan hutan, pantai dan pulau, hidupan flora dan fauna serta hidupan marin. Tarikan sebegini adalah pasaran khusus (niche and unique market). Penggemar tarikan sedemikian cenderung tinggal lebih lama dan berulang kali iaitu repeat visitors. Tumpuan kepada tarikan khusus ini juga akan mempelbagaikan pasaran pelancongan negeri kita, agar kita tidak terlalu bergantung hanya kepada segelintir negara sahaja.
  2. Kelestarian destinasi-destinasi dan produk-produk pelancongan kita menjadi salah satu fokus utama inisiatif yang terkandung dalam Pelan SMJ. Had tampung (carrying capacity) setiap satu destinasi pelancongan perlu diperkenalkan dan dipertahankan. Ini adalah untuk memastikan agar tarikan-tarikan unik dan unggul itu kekal terpelihara, dan dapat terus dilawati dalam keadaan baik bukan sahaja oleh para pelancong sekarang, tetapi pelancong-pelancong di masa hadapan. Lebih penting lagi adalah untuk memastikan aset-aset semula jadi kita terpelihara dan dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang. Kita optimis sektor pelancongan di Sabah akan kembali berkembang rancak sebaik sahaja pandemik COVID-19 dapat ditangani.

Tuan-tuan dan puan-puan,

MODAL INSAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

  1. Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat adalah teras kedua dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya. Kerajaan memandang serius usaha membangunkan modal insan sebagai aset dalam membina masa depan negara.
  2. Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa modal insan agar sentiasa kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah menganjurkan kursus-kursus kemahiran TVET sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 dan pembudayaan Internet of Things (IOT). Jalinan usahasama dengan pihak industri dalam latihan kemahiran perlu dipertingkatkan untuk membina kapasiti dan kebolehpasaran modal insan kita.
  3. Pada masa yang sama, kita harus memastikan tidak ada golongan yang tercicir dalam menerima akses kepada pendidikan berkualiti. Kerajaan amat prihatin terhadap bebanan kos pendidikan yang ditanggung oleh para ibu bapa, khususnya golongan kurang berkemampuan. Sehubungan itu, tahun ini kerajaan akan memulakan pemberian bantuan tunai secara one-off melibatkan dua kategori iaitu Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) sebanyak RM2,000 setiap seorang, dan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) bagi pelajar yang menduduki peperiksaan SPM, STPM dan STAM sebanyak RM200 seorang.
  4. Bantuan pembelian komputer juga akan dilaksanakan untuk kemudahan para pelajar daripada golongan kurang berkemampuan. Kerajaan akan berusaha untuk menambah peruntukan bagi bantuan pembiayaan pendidikan dan latihan sama ada dalam bentuk biasiswa, geran dan pinjaman.
  5. Pada masa yang sama, golongan rentan akan terus mendapat perhatian khusus melalui pemberian bantuan secara bersasar sebagaimana bantuan yang disalurkan sepanjang tempoh COVID-19. Kita akan meneruskan komitmen dan meningkatkan inisiatif untuk membantu pembangunan sosio-ekonomi rakyat berpendapatan rendah merentasi semua segmen masyakarat. Keperluan perumahan rakyat akan terus menjadi keutamaan dengan pembinaan lebih banyak rumah kediaman dengan harga mampu milik.
  6. Kerajaan juga akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan untuk mengenal pasti sumber dana dan menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Untuk tujuan itu, Yayasan Kebajikan Sabah akan ditubuhkan untuk menyelaras dan memperkasa kerjasama di antara kerajaan dengan NGO, korporat dan swasta serta badan-badan lain yang bersedia untuk memberikan sumbangan dalam aspek kebajikan kepada golongan kurang berkemampuan dan berkeperluan khas. Institusi ini akan diurus tadbir secara profesional oleh para pekerja sosial terlatih untuk memastikan penyaluran bantuan dilaksanakan secara telus dan sampai kepada golongan sasar.
  7. Sebagai komitmen untuk menyediakan platform pembangunan jati diri dan pembinaan kapasiti golongan muda, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Program Felo Belia. Melalui program ini, para belia yang terpilih akan ditempatkan sebagai pelatih dalam agensi kerajaan dan GLC untuk mendapat pendedahan alam kerjaya dan sekali gus membina potensi diri. Program latihan pembangunan kompetensi para penjawat awam akan direncana sejajar dengan matlamat untuk melonjakkan kecemerlangan perkhidmatan awam negeri.
  8. Secara tuntasnya, pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah teras Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat akan merangkumi usaha menyantuni semua segmen masyarakat termasuk belia dan wanita yang merupakan aset penting dalam pembangunan negeri.

Tuan-tuan dan puan-puan,

JARINGAN INFRASTRUKTUR DAN KELESTARIAN HIJAU

  1. Teras ketiga Hala Tuju SMJ adalah Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau. Strategi yang digariskan di bawah teras ini meliputi usaha membina dan menambah baik jaringan infrastruktur darat, laut, udara dan infrastruktur komunikasi; melaksanakan pendigitalan perkhidmatan; serta meningkatkan akses dan kesamarataan dalam menikmati kemudahan infrastruktur. Selain itu, strategi juga dirangka untuk memperkasakan konsep ekonomi hijau dan kelestarian alam dalam pembangunan.
  2. Pembangunan sektor-sektor ekonomi banyak bergantung kepada tahap jaringan insfrastruktur. Tidak boleh dinafikan kekangan jaringan infrastruktur yang wujud di Sabah telah menjadi antara faktor yang merencatkan kepesatan pembangunan negeri. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti projek-projek berimpak tinggi melibatkan infrastruktur dan utiliti yang amat kritikal untuk memacu prospek pembangunan ekonomi.
  3. Antara projek infrastruktur yang perlu diberikan keutamaan segera adalah pelaksanaan sepenuhnya Lebuh Raya Pan Borneo, penyelesaian kepada isu bekalan elektrik, bekalan air bersih dan kadar penembusan internet yang amat penting bagi rakyat dan kritikal dalam usaha menarik pelaburan. Selain itu, fokus juga akan diberikan kepada pembangunan kemudahan dan infrastruktur bagi pelabuhan, kawasan dan taman perindustrian serta kawasan-kawasan sempadan yang mempunyai prospek dan potensi ekonomi. Projek-projek berimpak tinggi ini yang menjadi pemangkin kepada kepesatan pembangunan ekonomi negeri akan digerakkan melalui peruntukan kerajaan negeri dan persekutuan serta inisiatif pembayaan swasta (PFI).
  4. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan mewujudkan Bandar Pintar atau Smart City di beberapa kawasan tumpuan. Pembanguan bandar-bandar pintar ini akan dipacu oleh pelan strategik Kerajaan Digital bagi mewujudkan ekosistem ekonomi digital dan pembudayaan digital dalam peningkatkan kualiti hidup masyarakat.
  5. Kerajaan Negeri akan terus komited dalam memelihara alam sekitar. Pelbagai usaha akan dilaksanakan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi hijau, meningkatkan pewartaan Totally Protected Areas (TPAs), dan melestarikan pelindungan alam, contohnya melalui projek Heart of Borneo. Usaha-usaha ini akan dilaksanakan serentak dengan pembudayaan kesedaran awam berkenaan isu perubahan cuaca yang akan memberi kesan besar terhadap kehidupan manusia sekali gus memberi kesan kepada pembangunan ekonomi masa depan.
  6. Antara inisiatif yang telah dan sedang diusahakan adalah untuk mendapatkan pengiktirafan kepada khazanah-khazanah kita sebagai tapak bernilai antarabangsa di bawah tiga program UNESCO iaitu Tapak Warisan Dunia, Tapak Rizab Biosfera dan Tapak Global Geopark. Khazanah alam semula jadi yang kita miliki pada hari ini adalah amanah yang perlu kita pelihara untuk kesejahteraan generasi akan datang.

Tuan-tuan dan puan-puan,

PENUTUP

  1. Kejayaan pelaksanaan Hala Tuju SMJ adalah tanggungjawab kita bersama. Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing; anggota pentadbiran, penjawat awam, sektor swasta, NGO, belia, wanita, malah sekalian rakyat. Kasih sayang kita kepada tanah air ini perlu diterjemahkan dengan komitmen untuk bersatu padu, bekerjasama dan bekerja keras untuk membuat perubahan, dan perubahan yang hakiki adalah melihat transformasi Sabah menjadi negeri yang lebih maju dan berjaya. Kita juga mahu bukan sahaja negeri ini maju, tetapi rakyatnya berkemajuan.
  2. Selaku ketua kerajaan, saya memberikan sepenuh komitmen, jiwa dan raga untuk bekerja merealisasikan perubahan dan aspirasi rakyat. Saya mengajak semua pihak untuk bekerja bersama saya demi kepentingan negeri dan sekalian anak watan. Hala Tuju SMJ melalui Pelan Pembangunan SMJ 1.0 adalah pemangkin untuk menjayakan aspirasi perubahan itu.
  3. Sabah komited untuk memastikan kejayaan Wawasan Kemakmuran Bersama sebagai payung dan kerangka agenda pembangunan nasional. Kita yakin dan percaya kemakmuran bersama akan dapat dicapai melalui tanggungjawab bersama, termasuk hubungan rapat di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Perikatan Nasional di peringkat nasional. Kita mengharapkan Kerajaan Persekutuan membantu Kerajaan Negeri untuk menunaikan komitmen Aku Janji GRS yang dipersembahkan kepada rakyat Sabah dalam pilihan raya negeri yang lalu. Hari ini, Aku Janji GRS telah diterjemahkan secara rasmi sebagai komitmen Kerajaan Negeri melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
  4. Kejayaan SMJ memerlukan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan tanggungjawab dalam mengiktiraf hak dan kepentingan Sabah dalam Persekutuan Malaysia sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Sesungguhnya, kita amat menghargai keprihatinan dan komitmen tinggi kerajaan pimpinan YAB. Tan Sri Datuk Seri Panglima Hj. Muhyiddin Mohd Yassin, untuk melaksanakan pertanggungjawaban di pihak Kerajaan Persekutuan.
  5. Suara anak watan Sabah yang mengutarakan hak-hak negeri, sebenarnya bukan hanya berkisar tentang kepentingan negeri semata-mata. Keprihatinan itu lahir atas rasa kecintaan dan kesetiaan kepada Persekutuan Malaysia, negara yang telah kita bentuk bersama-sama. Dan setelah hampir 58 tahun, sesungguhnya hasrat kita adalah untuk melihat rakyat dan negeri ini diberikan pengiktirafan yang lebih signifikan dalam membawa Malaysia melangkah ke hadapan. Sabah yang lebih maju dan berjaya akan menjamin dan membina kelestarian Persekutuan Malaysia. Inilah nilai dan makna Kemakmuran Bersama.
  6. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan rasminya menyempurnakan pelancaran Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Sekian dan terima kasih.
Wabillahi taufik wal hidayah. Assalamualaikum Wrt. Wbt.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.