8 Januari 2021
PUTRAJAYA: Memastikan kejayaan pelaksanaan pelan pembangunan dan inisiatif yang digariskan dalam Belanjawan Sabah dan Negara, menjadi agenda utama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam perjumpaan dengan menteri Persekutuan, di sini, baru-baru ini.
Kunci utama perbincangan adalah untuk penyelarasan yang tepat bagi memastikan kelancaran semua perancangan berkenaan.
Turut menjadi agenda utama ialah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya selama lima tahun (2021-2025) yang memberi penekanan dalam sektor pertanian, pelancongan dan pembuatan sebagai pemangkin ekonomi utama Sabah.
Pada Khamis, Ketua Menteri mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato Sri Hjh Nancy Shukri; dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Ronald Kiandee.
Sehari sebelumnya, Hajiji bertemu dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah serta pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Perkara utama dibincangkan dengan Saifuddin adalah berkaitan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang akan memperluaskan liputan 4G dan meningkatkan kelajuan internet di Sabah.
Terdahulu, Hajiji turut bertemu dengan Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Pada Isnin lalu, Hajiji mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin