Pertanyaan Justin Wong, Berapa Jumlah Kutipan 7.5% Dari Minyak Sawit Dan Berapa Peruntukan Jalan Ladang Sawit – Masidi

SOALAN NO. 5

Justin Wong Yung Bin [Sri Tanjong] bertanya kepada MENTERI KEWANGAN, Masidi Manjun berapakah jumlah kutipan kerajaan daripada cukai jualan sebanyak 7.5% ke atas minyak sawit mentah sejak tahun 2018 dan berapa banyak yang telah diperuntukkan untuk membaiki jalan di kawasan ladang kelapa sawit (estate). Dalam mesyuarat keempat dewan undangan negeri Sabah ke 16 bersamaan 8hb Ogos 2023.

JAWAPAN:


Tuan Speaker,

  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Sri Tanjong dan Dewan Yang Mulia ini, jumlah kutipan Cukai Jualan Negeri ke atas Minyak Sawit Mentah bermula tahun 2018 sehingga kini adalah seperti berikut:
  2. Tahun 2018: RM 845.36 juta
    Tahun 2019: RM 789.58 juta
    Tahun 2020: RM 919.15 juta
    Tahun 2021: RM 1.35 bilion
    Tahun 2022: RM 1.56 bilion
    Tahun 2023 (setakat Julai): RM739.53 juta
  3. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pungutan cukai ini sejak tahun 2018 adalah RM 6.22 billion. Sememangnya, Cukai Jualan Negeri ke atas Minyak Sawit Mentah merupakan antara sumber hasil utama kepada kewangan negeri dimana
    pada tahun 2022, cukai ini telah menyumbang 22% ke atas keseluruhan hasil negeri.
  4. Walau bagaimanapun, prestasi pungutan cukai ini amat bergantung kepada perubahan persekitaran ekonomi dan pasaran global. Penentuan harga dan pengeluaran minyak
    sawit mentah juga adalah di luar kawalan Kerajaan Negeri. Oleh itu, dapat dilihat perubahan ke atas prestasi pungutan cukai ini setiap tahun.
  5. Berhubung pertanyaan mengenai peruntukan bagi membaiki jalan di kawasan ladang kelapa sawit (estate), terdapat dua (2) jenis jalan yang di selenggara oleh Kerajaan Negeri dan berdaftar dalam Sistem MARRIS di bawah Jabatan Kerja Raya bagi jalan tersebut iaitu jalan berturap dan tidak berturap. Bagi tempoh 2018 sehingga 2023, sebanyak RM5.95 juta dengan melibatkan jumlah jalan sepanjang
    105.66km telah dibelanjakan bagi menyelenggara jalan berturap dan RM87.74 juta dengan melibatkan jumlah jalan sepanjang 518.45km bagi jalan tidak berturap.
  6. Secara keseluruhannya, jalan-jalan tersebut melibatkan daerah Beaufort, Keningau, Kinabatangan, Kudat, Kunak, Lahad Datu, Semporna, Sandakan, Tawau dan Telupid.
  7. Ingin dijelaskan juga bahawa terdapat jalan di kawasan ladang kelapa sawit yang dibina sendiri oleh pemilik estet berkenaan. Oleh itu, adalah di bawah tanggungjawab pemilik tanah untuk menyelenggara jalan berkenaan bagi memberikan keselesaan serta menjamin keselamatan semua pengguna yang mana kos penyelenggaraan ditanggung oleh pemilik estet sendiri.
  8. Sebagai salah satu penyumbang utama kepada hasil negeri, hasil kutipan cukai jualan negeri ke atas minyak sawit mentah juga melimpah kepada pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini secara
    keseluruhan.
  9. Di kesempatan ini, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua syarikat pengilang minyak sawit mentah yang telah mematuhi dan membayar cukai yang wajib kepada Kerajaan Negeri.

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

Discover more from JALINLUIN.COM

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading