- 2021-07-19T15:59:53+08:00

BANTUAN: Nizam (tiga kanan) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada golongan B40 di Batu 4 Jalan Apas, di sini.
TAWAU: Sebanyak 13 ekor lembu akan diagihkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas bagi menyambut ibadah korban pada tahun ini.
Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata pihaknya akan mengagihkan lembu korban tersebut di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) Apas.
“Saya berharap semua penduduk di kawasan DUN Apas akan meraikan Hari Raya Aidiladha ini dengan mengikuti semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan.
“Oleh kerana kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Fasa kedua Pelan Pemulihan Negara, semua penduduk perlu mematuhi SOP tersebut bagi mengelak penularan wabak COVID-19,”katanya
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian semasa menyampaikan bakul makanan di Batu 4 Jalan Apas, di sini semalam.
Mengulas program bantuan tersebut, beliau berkata sebanyak 4,500 pek bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasar di DUN Apas dalam dua hari ini.
“Bantuan bakul makanan itu merupakan inisiatifnya sebagai wakil rakyat bagi meringankan bebanan keluarga yang terjejas semasa menyambut Aidiladha ini,” katanya.
Menurutnya, pihaknya sudah mengagihkan lebih 6,000 bakul makanan di DUN Apas dan sekitarnya sejak akhir bulan lalu sehingga sekarang.
“Selain itu, kita juga sudah menerima bantuan bakul makanan daripada syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) Kumpulan Sawit Kinabalu sebanyak 500 pek dan syarikat swasta 400 pek untuk diagihkan.
“Saya berharap bantuan yang telah diberikan itu dapat meringan beban semua penduduk yang terjejas terutamanya golongan E-Kasih dan B40,” katanya.
Tinggalkan Jawapan