

UCAPAN DASAR KERAJAAN
OLEH TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI SABAH
TUN DATUK SERI PANGLIMA (DR) HAJI JUHAR BIN DATUK HAJI MAHIRUDDIN
BERSEMPENA DENGAN PEMBUKAAN RASMI
MESYUARAT PERTAMA PENGGAL PERTAMA
PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH YANG KEENAM BELAS
PADA 12 NOVEMBER 2020
Bismilahir Rahmanir Rahim,
Assamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berhimpun dalam Dewan yang mulia ini sempena Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Keenam Belas.
2. Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana Negeri Sabah dikurniakan dengan nikmat keamanan, kemajuan dan kemakmuran yang membolehkan Kerajaan Negeri dan rakyat dapat bersama-sama membangunkan dan memajukan lagi negeri ini dalam pelbagai sektor. Kerajaan Negeri dan rakyat perlu terus berkerjasama sebagai satu pasukan terutama bagi memacu ekonomi negeri yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19. Kerjasama yang padu dan mantap adalah amat penting bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan usaha-usaha Kerajaan bagi menangani impak pandemik COVID-19 ini. Dalam konteks ini, saya menyambut baik pelbagai langkah dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan menyeru agar usaha-usaha ini terus diperhebatkan lagi terutama dalam menjaga kebajikan dan menjamin kesejahteraan rakyat di semua peringkat.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Sukacita saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang baharu dibentuk di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah. Pada pilihanraya umum lalu, rakyat telah membuat keputusan dan memberikan mandat kepada GRS untuk menerajui kepimpinan dan pentadbiran negeri ini untuk tempoh lima tahun mendatang. Saya yakin dan percaya bahawa Kerajaan Negeri yang baharu ini berupaya membawa negeri Sabah kembali ke mercu kejayaan dan kecemerlangan, memandangkan ramai dari kalangan anggota pentadbiran adalah mereka yang berpengalaman. Dalam pada itu, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri yang telah dipilih. Saya menyeru agar semua Ahli Dewan Undangan Negeri yang ada ini akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah, komitmen yang tinggi dan berdedikasi, sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat seluruhnya.
Sepertimana Ahli-Ahli Yang Berhormat sedia maklum, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula pada 18 Mac 2020, dan telah dilanjutkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember 2020 adalah bagi membendung penularan pandemik COVID-19. Secara khususnya, bagi negeri Sabah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dilaksanakan, manakala di beberapa lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) turut dikuatkuasakan. Pandemik COVID-19 telah menjejaskan pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial masyarakat.
Sesungguhnya pandemik yang melanda dunia ini, merupakan cabaran baharu kepada manusia sejagat, sehingga kita terpaksa mematuhi “the new normal” dalam kehidupan seharian. Dalam konteks kita di Sabah, pandemik ini bukan sahaja telah merubah cara kita menjaga kebersihan dan kesihatan diri, malah dari segi pergaulan dan cara kita bekerja dengan jadual-jadual baharu di bawah PKP, PKPB, PKPD dan sebagainya. Ini bermakna, walaupun kita dilanda pandemik namun urusan pentadbiran, perniagaan, perdagangan dan sebagainya, tetap berjalan bagi memastikan urusan pentadbiran dan ekonomi negeri kekal berfungsi.
6. Sehubungan itu, walaupun berhadapan dengan cabaran, Kerajaan Negeri akan terus berusaha memperhebatkan lagi momentum pembangunan negeri dengan menambah baik kualiti hidup rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif, meliputi pelbagai sektor, di samping memperkasakan pembangunan infrastruktur dan utiliti di luar bandar. Kerajaan Negeri juga komited untuk memberi perhatian terhadap sektor kesihatan, meningkatkan kualiti pendidikan dan modal insan, menambah baik kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi, menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik, mengurangkan kemiskinan, menambah peluang pekerjaan dan mempertingkatkan tahap keselamatan negeri.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
7. Dalam usaha untuk memastikan pembangunan semula ekonomi negeri dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, Kerajaan Negeri akan melipatgandakan usaha untuk memacu dan membangunkan negeri ini khususnya dalam pelaksanaan projek-projek yang berimpak tinggi meliputi pelbagai sektor. Projek-projek yang berimpak tinggi seperti Lebuhraya Pan Borneo, Pembesaran Sepanggar Bay Container Port, Upper Padas Hydro Power, Jalan Kalabakan / Serudong-Semanggaris, dan lain-lain akan terus dilaksanakan.
8. Kerajaan Negeri akan terus memberikan keutamaan kepada pembangunan infrastruktur dan utiliti di luar bandar. Ini termasuklah peningkatan liputan jalanraya, penyediaan bekalan air bersih dan terawat, penambahbaikkan sistem pengangkutan awam, penyediaan sistem pembentungan, penyediaan bekalan elektrik serta kemudahan pelabuhan and logistik yang efisien.
9. Pada masa sama, selaras dengan perkembangan sektor pertanian, Kerajaan Negeri akan memberi penekanan kepada dasar jaminan bekalan makanan serta keselamatan makanan. Kerajaan Negeri akan memastikan bekalan makanan adalah mencukupi untuk menampung keperluan rakyat. Sektor pertanian akan diperkukuhkan lagi dengan penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan produktiviti, serta meningkatkan jaminan dan kualiti bekalan makanan. Pembangunan dan penyelidikan (R&D) akan diteruskan dalam sektor ini seperti pembangunan program pendigitalan bagi mempercepatkan sistem penyampaian maklumat kepada kumpulan sasar, latihan, akreditasi dan program berkaitan Amalan Pertanian Terbaik.
10. Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran hasil perikanan, pengurusan sumber perikanan dengan lebih cekap, berkesan dan mapan. Peningkatan pengeluaran makanan berasaskan ternakan yang berkualiti tinggi di samping meningkatkan tahap keselamatan makanan serta peningkatan pendapatan penternak juga diberi tumpuan. Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian kepada sektor pertanian supaya dapat membangun seiring dan saling melengkapi dengan sektor-sektor pertumbuhan yang lain.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
11. Sektor perindustrian dikenalpasti sebagai sektor yang berkeupayaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi berdasarkan sumber-sumber asli yang terdapat di Negeri Sabah serta kedudukan Negeri Sabah yang strategik di rantau ini. Sektor perindustrian akan diberikan tumpuan, khususnya sektor pembuatan sebagai pemangkin untuk menjana lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat. Penekanan Kerajaan Negeri kepada sektor perindustrian akan menumpu kepada “clean and environmental friendly industries”. Ini adalah selari dengan matlamat Kerajaan Negeri untuk terus menekankan perlindungan kepada alam sekitar.
12. Free Economic Zone juga akan dibangunkan di Taman-taman Perindustrian yang strategik untuk menarik lebih banyak syarikat dari dalam dan luar negara melabur di Negeri Sabah. Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) juga akan diberi tumpuan oleh Kerajaan Negeri sebagai industri pendukung utama dan pemangkin kepada industri pembuatan. Program-program memperkasakan IKS meliputi penganjuran kursus-kursus berkaitan keusahawanan, meningkatkan kemahiran, menggunapakai teknologi baharu, serta menyalurkan bantuan IKS bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran.
13. Di samping itu, Kerajaan Negeri akan terus meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan usaha untuk memudahcara peralihan pengurusan PBT ke arah pertumbuhan hijau bagi pengurusan pembangunan sumber yang lebih baik, dinamik dan mapan. Kerajaan Negeri akan memperkukuhkan tadbir urus melalui pengukuhan rangka kerja dasar, perundangan dan institusi, peningkatan kapasiti dan keupayaan dalam penguatkuasaan dan pemantauan.
14. Pelan Struktur Sabah 2033 adalah dokumen perancangan jangka masa panjang yang mengandungi dasar-dasar strategik. Pelan ini dijadikan sebagai sumber rujukan utama Kerajaan Negeri dalam penyediaan hala tuju perancangan pembangunan yang berdaya maju, holistik dan mampan di seluruh Negeri Sabah. Penyediaan Pelan Daerah dan Pelan-Pelan Tempatan yang merangkumi pengezonan kawasan akan dilakukan mengikut kesesuaian cadangan gunatanah, pematuhan piawaian dan garis panduan pembangunan sedia ada. Pelaksanaan pelan-pelan tempatan akan dijadikan sebagai mekanisma kawalan pembangunan oleh Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh Negeri Sabah. Perancangan pembangunan juga merujuk Sustainable Development Goals (SDG) dan Low Carbon City Framework (LCCF) Initiative dalam usaha mewujudkan persekitaran yang kondusif.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
15. Kerajaan Negeri akan meneruskan pembangunan perumahan melalui Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Sabah kepada golongan sasar. Ini adalah seiring dengan hasrat Kerajaan untuk memastikan pembangunan sektor perumahan terus berdaya huni, teratur dan dapat dinikmati oleh semua kumpulan sasaran yang ditetapkan.
16. Dalam isu kemiskinan pula, Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha untuk mengurangkan insiden kemiskinan dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan program-program pembasmian kemiskinan dan mensejahterakan komuniti luar bandar. Program-program sedia ada seperti Program Mini Estet Sejahtera (MESEJ), Program Ameniti dan Ekonomi Desa, Program Keusahawanan Industri Desa serta Program Latihan dan Pembangunan Masyarakat akan terus ditingkatkan lagi. Beberapa program baharu dalam RMK-12 telah dirancang untuk dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti hidup komuniti luar bandar seperti Program Rumah Sejahtera Rakyat Sabah (RSRS), Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA) dan Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA). Program-program tersebut akan didokong dengan pewujudan Pelan Strategik, Pelan Tindakan dan Sistem Aplikasi Profail Kampung Negeri Sabah (SPK) dalam usaha untuk mempercepatkan proses transformasi pembangunan di kawasan luar bandar dan mensejahterakan komuniti luar bandar.
17. Menyentuh mengenai Sektor pelancongan pula, pada tahun ini sektor berkenaan telah terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19. Penutupan pintu sempadan negara serta pembatalan penerbangan terus antarabangsa ke Negeri Sabah telah memberi kesan yang amat besar kepada sektor pelancongan. Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk mengembalikan momentum pembangunan sektor pelancongan dengan merangka pelan dan program pemulihan yang holistik, untuk diimplementasi sebaik bumi Sabah bebas dari pandemik COVID-19. Sesungguhnya Negeri Sabah ini adalah syurga bagi dunia pelancongan. Keindahan dan kekayaan flora dan fauna serta keajaiban alam semulajadi di negeri ini, seperti lautan dan kepulauannya serta gunung-ganang dan hutan simpannya adalah khazanah alam yang tidak terdapat di mana-mana negeri di Malaysia. Justeru, negeri Sabah menjadi tarikan dan tonggak utama sektor pelancongan di Malaysia. Atas sebab itu, Kerajaan Negeri akan mempergiat usaha untuk menambah baik pengurusan alam sekitar dan pemeliharaan warisan budaya sebagai persediaan untuk terus memacu dan memperkasa industri pelancongan di negeri ini.
18. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan terus memberi fokus dan mengambil inisiatif untuk melindungi, memelihara dan memulihara alam semulajadi. Usaha-usaha untuk memperluaskan Kawasan Perlindungan Marin kepada 13 peratus menjelang tahun 2023 akan diteruskan. Kerajaan Negeri akan membangunkan lebih banyak pusat-pusat pelancongan termasuk produk-produk dan destinasi-destinasi pelancongan yang unik di kawasan luar bandar untuk menarik lebih ramai pelancong pada masa hadapan.
Kerajaan Negeri juga komited untuk meneruskan dasar agar kawasan hutan yang mempunyai nilai biologi yang tinggi dijadikan Totally Protected Areas (TPA) yang tidak kurang daripada 30 peratus keseluruhan keluasan negeri menjelang tahun 2025. Setakat ini, keluasan hutan yang telah diisytiharkan sebagai TPA telah mencapai 1.9 juta hektar atau 26 peratus. Pencapaian ini menjadikan Negeri Sabah sebagai negeri yang mempunyai kawasan TPA yang terbesar di Malaysia.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
20. Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Negeri Sabah sebagai Kerajaan Digital yang maju, kompetetif, progresif, inovatif dan berdaya tahan menjelang tahun 2025, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Kementerian baharu iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) bagi menggantikan Kementerian Pelajaran dan Inovasi. Kerajaan Negeri akan mengarusperdanakan penerapan Sains, Teknologi dan Inovasi bagi memastikan Negeri Sabah mampu mencapai status negeri maju bertunjangkan kemajuan sains dan teknologi, membudayakan kreativiti dan inovasi, mendepani pembangunan ekonomi digital, mendokong pemerkasaan elemen Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) serta menyediakan modal insan berkemahiran tinggi. Saya menyokong usaha-usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk memperkasa pembangunan modal insan ke arah melahirkan generasi yang kompeten, berdaya tahan dan berintegriti supaya mampu memartabatkan Negeri Sabah ke tahap yang lebih tinggi. Pembangunan modal insan adalah merupakan pemangkin kepada pertumbuhan mapan ekonomi negeri ini.
21. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan akan menaik taraf jalinan jalur lebar berkelajuan tinggi yang lebih meluas di Negeri Sabah melalui inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA). Menjelang tahun 2022, sebanyak 417 menara telekomunikasi baharu akan disiapkan di Negeri Sabah. Sebanyak 1,972 pemancar sedia ada akan dinaik taraf kepada 4G dan liputan tetap gentian optik akan diperluaskan dengan melibatkan 251,166 premis di seluruh Negeri Sabah.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
22. Berhubung dengan pembangunan belia dan sukan, Kerajaan Negeri akan terus komited dalam mengukuhkan dan memajukan bidang sukan dan golongan belia selaras dengan Pelan Strategik Pembangunan Sukan Negeri Sabah dan Pelan Strategik Pembangunan Belia Negeri Sabah. Usaha-usaha Kerajaan dalam membangunkan belia dan memajukan sukan di negeri ini akan diteruskan dalam melahirkan atlet yang berkaliber dan berdaya saing. Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha untuk memasyarakatkan infrastruktur sukan, merangsang pembudayaan sukan dan gaya hidup sihat serta mewujudkan persekitaran kondusif sukan sejajar dengan matlamat sukan Negeri Sabah.
Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha-usaha untuk memperkasakan wanita dengan melaksanakan pelbagai program pembangunan wanita dan program kesejahteraan keluarga untuk mewujudkan dan memantapkan keharmonian masyarakat. Penglibatan wanita di pelbagai sektor terutama dalam pembuatan dasar dan keputusan akan diberi keutamaan, termasuk dalam sektor perkhidmatan awam dan agensi-agensi kerajaan. Selain itu, Kerajaan Negeri akan terus memastikan warga emas dan golongan kurang upaya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara serta memastikan kepentingan dan kebajikan mereka terpelihara dengan memberi perhatian kepada kelengkapan keperluan mereka yang bersifat mesra-pengguna.
Mengenai isu keselamatan dan ketenteraman awam, Kerajaan Negeri mengambil berat isu pencerobohan kawasan sempadan negeri ini dengan negara jiran, serta kemasukan pendatang asing tanpa izin yang masih berlarutan. Oleh hal yang demikian, Kerajaan Negeri bertekad untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan di perairan negeri ini khususnya dalam kawasan ESSZONE. Untuk itu, Kerajaan Negeri bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan, akan memperkukuhkan lagi peranan dan bidang kuasa ESSCOM dalam menjaga dan mengawal perairan dan sempadan Sabah dengan negara-negara jiran. Pencerobohan dan penyeludupan masuk pendatang asing tanpa izin ke negeri ini melalui jalan-jalan tikus yang terdapat di kawasan sempadan haruslah dihentikan sama sekali. Pihak ESSCOM harus mengadakan pemantauan dan rondaan yang lebih kerap supaya perkara seumpamanya tidak terus berlaku dan berpanjangan. ESSCOM bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya di kawasan pantai timur Sabah. Arahan perintah berkurung di bawah seliaan ESSCOM akan diteruskan selagi ancaman ketenteraman masih wujud dan menggugat keselamatan atau sekuriti di dalam negeri ini. Manakala Operasi Benteng perlu diteruskan sebagai antara tindakan membanteras pendatang asing tanpa izin.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada pengeluaran geran-geran tanah kepada rakyat Negeri Sabah khasnya golongan anak negeri di kawasan luar bandar. Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri menyasarkan pengeluaran sebanyak 7,500 geran tanah anak negeri (Native Title) dengan jumlah keluasan tanah 15,000 hektar melalui Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri (PANTAS).
26. Kerajaan Negeri juga terus memperkasakan dan mempercepatkan proses pengambilan tanah melalui proses kerja berdigital bagi menyokong pelaksanaan projek-projek pembangunan Kerajaan Negeri dan Persekutuan khasnya projek Lebuhraya Pan Borneo dan projek-projek pembangunan infrastruktur luar bandar.
27. Penangguhan pembayaran premium tukar syarat gunatanah akan diteruskan sehingga 31 Disember 2021 bagi menggalakkan pertumbuhan sektor pembangunan hartanah. Proses-proses kerja berkaitan pembangunan tanah juga akan dilaksanakan secara berdigital bermula pada tahun 2021 bagi mempercepatkan pembangunan sektor hartanah di Negeri Sabah.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
28. Untuk memastikan matlamat dan strategi Bajet Negeri 2021 tercapai, tumpuan akan diberikan kepada usaha-usaha meningkatkan lagi kecekapan pengurusan kewangan tahun semasa dan merasionalisasikan pengurusan sumber. Kerajaan Negeri telah mengenakan Cukai Jualan Negeri ke atas produk-produk petroleum sebagai sumber kutipan hasil negeri yang baharu. Kerajaan Negeri akan memantau kutipan hasil baharu ini dan memastikan syarikat-syarikat minyak yang beroperasi di negeri ini termasuk Petronas membuat pembayaran cukai dengan teratur. Kerajaan Negeri akan menekankan dasar perbelanjaan berhemat dan berintegriti melalui penguatkuasaan ke atas pemantauan peraturan dan garis panduan yang ditetapkan ke arah menangani ketirisan, pembaziran dan pemborosan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
29. Hubungan akrab dan kerjasama yang padu di antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan akan terus dipelihara dan dipertingkatkan demi kebaikan dan keberuntungan bersama. Saya ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas segala bantuan dan sokongan yang diberikan kepada negeri Sabah khususnya bantuan berkaitan pandemik COVID-19, bermula sejak bulan Mac sehingga kini, bagi menangani penularan dan serangan pandemik berkenaan. Peranan yang dimainkan oleh Kementerian dan Jabatan-Jabatan berwajib amatlah dihargai dan disanjung tinggi.
30. Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada Gabungan Rakyat Sabah atau GRS, khususnya kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan Ahli-Ahli Jemaah Menteri, atas kejayaan menubuhkan Kerajaan Negeri yang baharu dan seterusnya melaksanakan dasar-dasar yang saya yakin dan percaya bukan sahaja berdasarkan kepentingan negeri, bahkan juga berdasarkan kepentingan demi membela nasib rakyat seluruhnya. Selaras dengan itu, suka saya mengingatkan kepada semua Ahli Yang Berhormat supaya sentiasa menunaikan kewajipan atau khidmat yang terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing sesuai dengan peranan dan tanggungjawab Ahli-ahli Yang Berhormat selaku wakil rakyat.
31. Saya juga mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, ESSCOM, Kastam Diraja Malaysia, RELA, Pihak Berkuasa Tempatan, agensi dan petugas di peringkat Daerah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri, Pusat Operasi Pengurusan Bencana dan semua pihak yang terlibat dalam menangani dan membendung penularan wabak COVID-19.
32. Akhir sekali, saya menyeru semua pihak, pemimpin dan seluruh rakyat, agar terus berganding bahu dan bekerjasama, ke arah memajukan dan memakmurkan negeri Sabah demi kejayaan dan kesejahteraan masa depan kita semua. Saya juga ingin mengingatkan kepada semua supaya sentiasa mengamalkan SOP yang telah ditetapkan dalam menghadapi dan menangani pandemik yang sangat mencabar ini. Kita perlu berusaha bersma-sama dan berganding tenaga agar penularan pandemik COVID-19 dapat kita atasi dan dibasmi sepenuhnya. Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat-Nya kepada kita semua dan sentiasa melindungi kita daripada bala bencana serta perkara-perkara buruk yang memudaratkan. Moga Negeri Sabah yang tercinta ini akan terus maju, aman dan makmur, harmoni dan sejahtera.
Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah.
Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Tinggalkan Jawapan