Oleh: NOOR ZAFIRA SHAFIE
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri digesa memberikan keutamaan kepada penyediaan infrastruktur dan bekalan air bersih terawat untuk keselesaan hidup rakyat khususnya di kawasan luar bandar Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata sejak kebelakangan ini Tawau sering menghadapi gangguan bekalan air bersih dan kerap berlaku hampir di semua tempat atau kawasan penduduk yang jauh dari loji air.
Antara kawasan terbabit ialah Batu Lima, Batu Enam, Batu Tujuh, Batu Lapan, Batu Sembilan, Jalan Apas, Kampung Tinagat, Batu Payung dan sekitarnya.
“Apakah prosedur operasi standard (SOP) kerajaan dalam membantu pengguna di kawasan terlibat dengan gangguan masalah bekalan air yang difahamkan berlarutan dan saya menerima banyak aduan sejak menjadi ADUN Apas hingga ke hari ini. Dan walaupun saya sering membangkit isu ini kepada pihak yang bertanggungjawab termasuklah di sidang dun tetapi masih tidak nampak ada penyelesaian yang dibuat Jabatan Air Sabah dan kerajaan negeri.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Jabatan Air Tawau yang sentiasa membantu penduduk di Tawau tetapi kerana ada kekangan menyebabkan bantuan itu terhad” katanya.
Jelas Nizam lagi permintaan terhadap bekalan air semakin meningkat tapi keupayaan loji tidak bertambah dan sumber air mentah berkurangan.
“Lebih teruk apabila penduduk kampung tidak boleh keluar rumah dengan pengkuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan ekoran penularan virus COVID 19,”katanya dalam satu kenyataan media disini haru ini.
Menurut Nizam lagi, pada masa ini di Tawau hanya mempunyai sebuah lori tangki air tetapi uzur untuk penghantaran air.
Lori tangki air yang digunakan merangkumi dua kawasan Parlimen (Tawau dan Kalabakan dan enam kawasan Dun (Balung, Apas, Sri Tanjong, Merotai, Tanjong Batu dan Sebatik).
“Bagaimana mungkin sebuah lori tangki air boleh menampung kawasan yang begitu luas…untuk DUN Apas sahaja mempunyai 18,000 pengundi…saya menggesa kerajaan negeri untuk menambah 6 buah lori tangki air. Difahamkan peruntukan untuk penghantaran ada disediakan tetapi tidak mencukupi.
“Saya mencadang dan menggesa kerajaan negeri supaya menambah peruntukan penghantaran air, lori tangki air ditambah 6 buah lori, kakitangan Jabatan Air Tawau perlu ditambah (pemandu lori),” tegasnya.
Tinggalkan Jawapan