Anifah Aman vs Shafie Apdal

Ucapan YB. DSP Anifah Aman menyebut pendapat beliau bahawa tidak kira bangsa apa sekalipun, Ketua Menteri Sabah perlu dipastikan adalah orang Sabah yang tulen. Maka, adalah ‘Spin Doctor’ pihak tertentu menyunting rakaman tersebut dan mengaitkan kenyataan Anifah tersebut dengan YB DSP Shafie Apdal. Apa motifnya? Bagi saya amat jelas bila mana sudah tidak ada modal politik untuk meraih undi, apa sahaja akan cuba dilakukan.

1. Salahkah pendapat Anifah?
Bagi saya tidak. Malah ia selari dengan perjuangan banyak pihak di Sabah berhubung hak dan kepentingan pribumi/orang asal. Anifah tidak mempertikaikan status kewarganegaraan mana-mana individu secara spesifik. Tidak perlu diperjelaskan panjang lebar, sebagai anak Sabah, kita tahu realiti yang berlaku di negeri kita termasuk ancaman luar yang kita hadapi, dan sebagai Menteri Luar, Anifah pastinya lebih arif. Hakikatnya, memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah itu bukan sekadar dalam konteks Sabah dalam Persekutuan Malaysia, namun termasuklah melindungi kedaulatan dan tampuk pemerintahan negeri.

2. Wajarkah pendapat itu datangnya daripada Anifah?
Selain kepimpinan Kerajaan Negeri, saya melihat Anifah antara pemimpin nasional yang konsisten dalam perjuangan hak dan kepentingan Sabah. Beliau mungkin tidak berbicara isu ini di pentas politik sebagaimana retorik sesetengah pemimpin, namun beliau menggunakan platform dan pendekatan yang lebih bersesuaian. Saya melihat Anifah adalah Menteri Persekutuan pertama masa kini yang cuba membawa semua pihak (termasuk NGO dan tokoh pembangkang) untuk duduk bersama bagi memurnikan hala tuju perjuangan hak dan kepentingan negeri khususnya berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pelbagai siri diskusi beliau pelopori sehingga YAB DSP Najib Perdana Menteri bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi melihat hak-hak Sabah. Ini disusuli dengan kenyataan terbuka Najib untuk memelihara hak dan kepentingan Sabah yang termaktub dalam undang-undang dan sekiranya ada yang ‘terambil’ oleh pemimpin/pentadbiran yang lalu, beliau sedia mengembalikannya. Oleh itu, wajar atau tidak bagi saya bukanlah persoalan, tetapi itulah Anifah dan itulah perjuangan beliau; konsisten dalam melindungi kepentingan Sabah.

3. Perjuangan Kepentingan Sabah; (Anifah Vs Shafie)
YB DSP Shafie Apdal telah mempertikaikan ucapan Anifah dan telah menyebut dua perkara; pertama, menyimpulkan Anifah mempertikaikan status beliau (walau Anifah tidak menyebut nama beliau) dan kedua, bertanyakan di manakah kubur nenek moyang Anifah. Bagi beliau, status beliau tidak wajar dipertikai dan tidak wajar juga perjuangan beliau tentang Sabah diperkecilkan.

Siapa sahaja memperjuangkan kepentingan negeri selagi mana ia menjunjung semangat patriotisme dan kecintaan kepada Negara, sememangnya tidak wajar dipertikaikan. Apa yang saya musykil adalah kaedah dan pendekatan yang diguna pakai kerana setelah hampir 55 tahun kita bersama membentuk Malaysia, warga Sabah memerlukan lebih dari sekadar retorik dan strategi kepentingan politik diri dan kelompok dalam memperjuangan kepentingan negeri.

PERTAMA, sejak bila Shafie bersuara tentang hak dan kepentingan Sabah? Pernahkah kita mendengar beliau bercakap memperjuangkan hak-hak Sabah ketika menjadi Menteri Persekutuan sejak 2004? Ketika Anifah memulakan secara terbuka diskusi berkaitan kepentingan Sabah, di mana suara Shafie yang ketika itu masih berada dalam Kerajaan?

KEDUA, hari ini Shafie lantang mempertikaikan UMNO dan BN tidak memelihara kepentingan Sabah. Persoalannya, Shafie keluar daripada UMNO bukan kerana hak dan kepentingan Sabah, tetapi marah kerana beliau digantung keahlian UMNO dan kecewa digugurkan daripada kabinet kerana isu lain dan bukannya kepentingan Sabah. UMNO dan BN buruk di mata beliau kerana isu kepentingan Sabah atau kepentingan Shafie dalam parti dan kerajaan?

KETIGA, salah satu strategi penting dalam memperjuangkan kepentingan Sabah adalah untuk memposisikan anak Sabah di peringkat nasional kerana kita tidak boleh sekadar menjadi jagoan di kolam sendiri. Dua cabang penting eksekutif Kerajaan adalah ‘Anggota Pentadbiran’ dan ‘Perkhidmatan Awam’. Berbeza dengan Tun Dr. Mahathir, hari ini YAB DSP Najib bukan sahaja menambah jumlah perwakilan Sabah dalam cabang anggota pentadbiran termasuk Menteri dan Timbalan Menteri, malah beliau meletakkan pemimpin Sabah ini dalam portfolio yang strategik dari sekadar Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi. Satu cabang eksekutif lagi adalah Perkhidmatan Awam. Di sini pemimpin-pemimpin Sabah di peringkat nasional seharusnya memainkan peranan memposisikan anak-anak Sabah. Sejak menjadi Menteri Luar tahun 2009, Anifah telah memposisikan bukan sekadar seorang dua, tapi ramai anak-anak Sabah dalam posisi strategik menjadi duta dan pesuruhjaya tinggi di luar Negara, dari pelbagai bangsa di Sabah. Kepimpinan YB DSP Rahman mengangkat anak Sabah yang pertama dalam sejarah menjadi KSU sebuah kementerian, YB DSP Madius membawa anak Sabah menjadi TKSU dan YB DSP Salleh membawa anak Sabah menjadi Timbalan Ketua Pengarah sebuah jabatan. Semua ini mereka lakukan dalam tempoh kurang 2 tahun menjadi Menteri Persekutuan. Soalan saya yang terakhir, sejak menjadi Menteri Penuh tahun 2004 hingga 2015 di tiga kementerian, siapakah dan adakah anak Sabah yang Shafie posisikan dalam jawatan kanan strategik dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan?

“CAKAP BIAR SERUPA BIKIN”
“ACTIONS SPEAK LOUDER THAN WORDS”

ARMIZAN MOHD ALI
22 Februari 2018

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: