Mengapa Serang Azam Baki?

Kamu baca tulisan FAISAL TEHRANI dia ini adalah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pendapatnya ni macam saksama tapi sebenarnya “bias”, mungkin sebab dipengaruhi perasaan takut.

Rasanya penulis ini sedar dan tahu desakan itu tidak ada beza dengan propaganda kerajaan gagal yang digerakkan oleh pembangkang dan segelintir UMNO serta sudah tentu Kluster Mahkamah. Yang akhirnya membawa kejayaan dan kerajaan pun bertukar tangan namun isu yang dibangkitkan melalui kerajaan gagal tetap begitu malah kes bunuh diri pula yang meningkat.

Pokoknya kalau sudah kamu dengar UMNO bercakap terbalik nah ada lagi yang dirancang tu. Tapi kalau agak agak tidak berjaya cepat cepat tu mereka berlagak budiman, seperti tidak ada apa yang berlaku.

Hakikatnya desakan agar Azam Baki mengundurkan diri tidak hanya dicanang oleh Pakatan Harapan atau DAP tapi juga oleh UMNO yang disuarakan oleh Shahrir Samad yang juga seorang kluster. Ini adalah kerjasama diantara dua kluster.

Sejak MoU itu hari, bukan lagi hal yang pelik bila isu yang di dendangkan oleh UMNO dan DAP atau Pakatan Harapan berjalan seiring. Hakikatnya yang nampak terpedaya di sana adalah UMNO sebab Perdana Menteri datang dari mereka walaupun yang mengangkatnya adalah Bersatu.


Ekoran kehilangan barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta) dikendalikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketua pesuruhjayanya Azam Baki tiba-tiba dilatam kanan kiri, dan didesak agar ‘direhatkan’. Ini aneh. Ini pelik. Ini ada udang di sebalik kluster.

Antara yang berkokok dan menyalakkan SPRM ketika ini adalah Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Mohamed Shafie BP Mammal, dan Ketua Pasukan Rasuah Buster, Hussamuddin Yaacub. Saya akan huraikan kenapa mereka ini nanar.

Semacam ada pakatan untuk menubi Azam Baki. Misalnya, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mencadangkan supaya ketua pesuruhjaya SPRM direhatkan sementara waktu dari tugas-tugasnya supaya siasatan penuh dapat dilakukan.ADS

Yang anehnya ialah, yang ditahan reman adalah tiga pegawai kanan SPRM (atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan), tetapi yang disasarkan adalah Azam Baki. Yang disuruh bertanggungjawab tiba-tiba Azam Baki. Antara yang menandatangani desakan supaya beliau direhatkan adalah Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng dan Wilfred Madius Tangau.

Hipokrasi ditemukan di sini. Tatkala Mohd Azhar Che Mat Dali yang juga setiausaha politik presiden Amanah, ditahan disiasat ekoran tuduhan rasuah, kita tidak

menemukan seruan agar Mohd Sabu berehat. Kenapa? Kerana tiada kena-mengena?

Atau tatkala bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang didakwa atas empat tuduhan rasuah dibicarakan, adakah ada seruan agar beliau direhatkan dari Pakatan Harapan, dan politik? Kenapa berdalih di sini?

Tatkala ada pemimpin tertentu didakwa rasuah maka dengan lekas dituduh SPRM menjadi alat. Bukan main ya. Dakwaan begini hanya menguntungkan kalian dari segi persepsi yakni untuk berlepas diri dari kesalahan dan tuduhan, tetapi tidak membetulkan masyarakat ini yang ditimpa petaka korupsi.

Azam Baki dan SPRM sebetulnya bekerja dalam kapasiti kecil yang mereka punya. Selain penjawat awam yang melakukan perbuatan khianat, penyelewengan kuasa dan rasuah; SPRM juga menekuni kes demi kes para ahli politik baik dalam kerajaan mahupun pembangkang. Jangan kita lupakan SPRM bertindak cemerlang dalam kes Mohd Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi, dan sekian ramai lagi yang dilabel sebagai kluster mahkamah.

Jika ada kontroversi pengguguran pendakwaan tertentu, masyarakat harus bertanya kepada pejabat peguam negara, bukannya, saya ulang; bukannya SPRM. Ini kerana kuasa pendakwaan tiada pada SPRM. Manakala terdapat isu teknikal dari segi undang-undang yang kadang melolos dan meloboskan tertuduh tertentu, ia juga bukan gara-gara keberpihakan SPRM.

Gotong-royong lutu Azam

Adakah ada agenda tertentu mendesak Azam Baki direhatkan, seolah-olah para politikus sedang bekerjasama dan bergotong-royong untuk melutu Azam Baki dan SPRM agar dapat bernafas? Apakah ada pakatan dengan kluster tertentu?

Sesungguhnya SPRM adalah badan penguatkuasa yang paling cekatan dalam kerja-kerja mereka. Terdapat beberapa peruntukan undang-undang yang kurang dimesrai oleh masyarakat, yang kadang kala mengakibatkan masyarakat cepat menyalahkan SPRM kononnya badan ini berpihak.

Masyarakat kita tidak terasuh dengan jenayah rasuah dan ramai yang kurang faham terdapat dua jenis kesalahan yang ditangani SPRM. Pertama, kesalahan prosedur. Di mana ia tidak dapat dihukum mengikut bentuk hukuman jenayah. Ini banyak berlaku di pejabat dan dalam kalangan penjawat awam. Keduanya, terdapat kesalahan yang terang-terangan jenayah. Kesalahan ini boleh dihukum.

Namun untuk tiba ke tahap dihukum itu tidaklah mudah kerana ia harus melalui bermacam-macam proses perundangan dulu. Masyarakat yang tidak tahu cepat meloncat dan menuduh SPRM. Padahal mereka sendiri yang jahil selok-belok perundangan negara.

SPRM sewajarnya diberdaya dan diperkasakan. Permintaan-permintaan ahli akademik, pakar undang-undang dan aktivis supaya SPRM diberikan kekuatan sebenarnya amat digeruni dan ditakuti oleh semua parti politik baik dalam kerajaan mahupun pembangkang. Ini kerana yang paling banyak bergelumang dengan kuasa dan wang, salahguna dan rasuah adalah puak ini. Puak politik, baik dalam kerajaan mahupun pembangkang. Kalian dua kali limalah.

Penyokong parti politik jangan taksub. Pemimpin politik kalian bukan maksum, waima parti lebai atau parti reformasi apatah lagi parti nasionalis boleh sahaja terjerumus ke dalam kancah rasuah dan penyelewengan. Mereka jangan cepat sangat menuduh SPRM.

Ahli politik kita wajar dipantau oleh masyarakat sivil dan blok ketiga yang telus. Supaya kita dapat menghentikan amalan rasuah baik dalam kalangan parti kerajaan atau pembangkang, baik dalam bentuk scheme of things atau perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA); rasuah adalah rasuah. Kalau ada imbuhan dan serahan tertentu maka itu ada nilai rasuah. Kita tidak boleh taksub dan berpihak jika kita sayangkan negara ini.

Untuk menguatkan SPRM supaya tidak lagi dituduh berpihak, ada beberapa kaedah;

Pertama, saranan agar SPRM diletakkan bawah parlimen agar badan ini tidak lagi boleh senang-senang untuk dipengaruhinya operasinya

Kedua, SPRM mesti punya suruhanjaya perkhidmatan sendiri, supaya ia mandiri dan tidak boleh dicampuri, khusus oleh pemimpin dari parti-parti dalam kerajaan.

Peruntukan SPRM

Ketiga, peruntukan SPRM tidak seharusnya bergantung kepada Jabatan Perdana Menteri. Apatah lagi gaji stafnya dibayar oleh Kementerian Kewangan dan ditentukan Akauntan Negara. SPRM harus seperti bidang kehakiman, yang mana ia punya sumber dana tersendiri yang terpisah.

Operasi SPRM tidak patut terjejas kerana kesuntukan duit (atau disengajakan kerana bajet mereka dipotong), atau pertambahan jawatan SPRM menjadi rumit kerana dibimbangi mereka menyelidik ahli politik. SPRM harus dimerdekakan.

Keempat, yang agak penting. Yang mana masyarakat kurang faham dan maklum adalah kuasa pendakwaan mesti diberi kepada SPRM. Ini misalnya diamalkan di Indonesia oleh Komisi Pemberantasan Korupsi Republik Indonesia atau KPK yang mempunyai kuasa menyiasat dan mendakwa.

Dengan ini masyarakat tidak akan lagi marah-marah mengapa ada pemimpin tertentu yang mudah-mudah 40 lebih kesnya dilepaskan, atau mengapa si polan tidak didakwa hanya dengan membayar sejumlah wang, atau kenapa si anu diseret anak beranak ke mahkamah.

Hari ini SPRM tidak bebas kerana kuasa pendakwaan tiada pada mereka. Jangan salahkan SPRM. Masyarakat harus bertanya kepada kerajaan dan pejabat Peguam Negara.

Kelima, SPRM hanya adalah sekitar dua tiga ribu anggota saat ini. Mana mungkin mereka boleh membanteras rasuah secara berkesan? Maka penambahan staf SPRM sehingga 10,000 orang anggota, atau lebih mesti dilakukan segera. Jumlah kakitangan dan pegawai SPRM amatlah kecil sehingga menimbulkan tanda tanya apakah benar kita dan ahli politik kerajaan dan pembangkang benar-benar serius untuk mencegah dan membenam rasuah.

Keenam, SPRM dianggotai oleh manusia. Maka ada manusia yang bernafsu, hatta lebai dan ustaz atau pendakwah terkenal pun punya nafsu; apatah lagi manusia di SPRM. Jika ada tiga empat orang gila yang tidak berdisiplin mengapa Azam Baki yang diasak?

Terdapat pemimpin pembangkang ada kes rasuah (ada yang sedang berjalan), terdapat pula pemimpin kerajaan yang ada kes rasuah (ada yang digugurkan kerana SPRM kuasanya terhad), maka SPRM tersepit. Mereka harus dilepaskan dari tersepit dan diberi kekuatan untuk melakukan yang betul demi negara ini. Kalau tersepit kita tolongkan dan berikan dorongan. Ini untuk kepentingan nusa bangsa.

Bukan kita, ahli masyarakat, konon rasuah busters, ikut sama menempelak dan menyerbu SPRM sama seperti ahli politik ikut menyalak dan menjadi anjing.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Tinggalkan komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.