Bekas Pengerusi MARA Incoporated Hadapi 22 Tuduhan Rasuah Dan Pengubahan Wang Haram

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi MARA Incoporated Sdn. Bhd., Datuk Mohammad Lan Allani mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini terhadap 22 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM20.45 juta, sembilan tahun lalu.

Tertuduh, 65, didakwa terhadap 14 tuduhan menerima rasuah bernilai RM7.45 juta berhubung skandal pembelian hartanah melibatkan blok penginapan pelajar, Dudley International House, Australia.

Bagi 14 tuduhan itu, Mohammad Lan didakwa menerima suapan daripada Pengarah Optimus Capital Sdn. Bhd., Mazrul Haizad Marof melalui cek jurubank Malayan Banking Berhad yang dibayar ke dalam akaun CIMB Investment Bank Berhad Client Trust Account.

Menurut semua tuduhan, suapan itu sebagai upah membantu meluluskan kertas cadangan bertajuk `Proposed Acquisition of a Student Acccomodation Building and a Commercial Retail Block known as Dudley International House, 7-13 Dudley Street Caulfield East, Victoria 3145, Melbourne, Australia.

Mohammad Lan turut didakwa terhadap tiga tuduhan lain iaitu satu tuduhan bersetuju menerima rasuah RM10 juta dan dua tuduhan menerima rasuah jumlah yang sama daripada Mazrul Haizad sebagai upah meluluskan kertas cadangan melibatkan projek sama di tempat berlainan iaitu di Swanston Street, Carlton, Victoria 3053, Australia.

Semua 17 kesalahan itu didakwa dilakukan di antara bulan September 2012 dan 26 Julai 2013 di Solaris Mont Kiara dan juga Maybank Cawangan Mont Kiara.

Bagi kesalahan menerima rasuah, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi.

Dia turut didakwa atas tuduhan cuba memperoleh suapan wang tunai AUD$1 juta dan dua tuduhan memperoleh suapan berjumlah RM3 juta sebagai dorongan mempercepatkan pembayaran baki pertama sebanyak 10 peratus dan baki kedua sebanyak 30 peratus daripada jumlah pembelian saham syarikat Marinn Property Pte. Ltd dan Carlton Garden Pte. Ltd.

Dia didakwa selaku Pengerusi MARA Incorporated cuba memperoleh suapan daripada Datuk Ding Pei Chai yang merupakan pemilik kedua-dua syarikat tersebut di antara Mei dan Jun 2013 di beberapa tempat berbeza iaitu Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC), Bukit Kiara dan di hadapan sebuah rumah di Bukit Bandaraya di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Tertuduh turut didakwa terhadap dua tuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang berjumlah RM10 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram pada 10 Disember 2012 di CIMB Bank, Jalan Sagunting, Central Building, Kota Kinabalu, Sabah.

Pemindahan itu melibatkan wang RM3 juta daripada akaun Private Banking Portfolio CIMB Bank miliknya ke dalam akaun semasa CIMB yang juga miliknya.

Pemindahan kedua iaitu RM7 juta daripada akaun Private Banking Portfolio CIMB Bank ke dalam akaun simpanan tetap CIMB kepunyaannya.

Kedua-dua pendakwaan dikendalikan di hadapan Hakim-Hakim Azura Alwi dan Rozina Ayob oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib manakala tertuduh diwakili oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Azura membenarkan tertuduh dijamin berjumlah RM400,000 manakala pasport diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan. Semua kes disebut pada 8 April ini dan akan dibicarakan secara bersama.

Mahkamah membenarkan jaminan dibayar secara ansuran iaitu RM200,000 dijelaskan pada hari ini manakala baki RM200,000 dibayar selewat-lewatnya pada 16 Februari ini.Wang jaminan dijelaskan oleh anak lelakinya.

Sebelum itu, Ahmad Akram memohon jaminan RM400,000 kerana membabitkan pertuduhan berat manakala nilai yang disebut dalam pertuduhan adalah besar.

Bagaimanapun, Hisyam berhujah agar mahkamah membenarkan anak guamnya membayar jaminan secara ansuran kerana tertuduh hanya dapat menyediakan separuh daripada jaminan tersebut hari ini.

Menurut peguam bela, Mohammad Lan mempunyai masalah kesihatan berkaitan jantung dan tulang belakang namun sentiasa memberi kerjasama dengan pihak SPRM selain mengemukakan tiga surat kepada agensi itu ketika berurusan di luar negara.

Akhbar sebelum ini melaporkan, siasatan SPRM bermula setelah pendedahan dibuat oleh portal The Sydney Morning Herald yang melaporkan seorang individu rakyat Malaysia yang bermastatutin di Australia telah didakwa atas tuduhan merasuah seorang pegawai warga asing. -UTUSAN ONLINE

Tinggalkan komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.