Amanat Khas KM Sabah Untuk Hari Anti Rasuah Sedunia

AMANAT KHAS 
YAB DATUK SERI PANGLIMA HAJI HAJIJI HAJI NOOR
KETUA MENTERI SABAH
HARI ANTI RASUAH ANTARABANGSA PERINGKAT NEGERI SABAH TAHUN 2020
PADA 09 DISEMBER 2020, PUKUL 9.00 PAGI


Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Sr Hj Safar Bin Untong Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

Yang Berbahagia Dato’ Samsuni Mohd Nor,
Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah

Yang Berbahagia Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) Sabah, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai

Yang Berusaha Tuan Karunanithy a/l Y. Subbiah
Pengarah SPRM Sabah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.

1. Terlebih dahulu, marilah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T, kerana dengan limpah dan kurniaNya, kita dapat meraikan Sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa Peringkat Negeri Sabah 2020 bertemakan ‘United Against Corruption’, secara maya dengan penjawat awam pentadbiran kerajaan Negeri Sabah, pentadbiran Persekutuan, kira-kira 36 syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat di negeri ini.

2. Syabas kepada penganjur iaitu SPRM Negeri Sabah bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah, GLC, NGO dan orang perseorangan yang bersama-sama dalam menjayakan sambutan pada pagi ini. Hari Anti Rasuah ini bukanlah hari yang diraikan oleh SPRM semata-mata, malah ia adalah hari di mana seluruh masyarakat dunia menyatakan komitmen dan sokongan dalam menyebarluaskan mesej anti rasuah sebagai isyarat kepada pelaku rasuah untuk menghentikan perlakuan jenayah yang jijik ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

3. Kesan rasuah ini amat dahsyat sekali hingga membawa kepada keruntuhan negara sepertimana sejarah terdahulu memperlihatkan tamadun hebat telah lenyap akibat rasuah. Oleh itu, bagi memastikan negara kita terus maju dan sejahtera, adalah menjadi tanggungjawab saya selaku pemimpin kerajaan, dan seluruh masyarakat di Sabah untuk berganding bahu bersama-sama dalam membanteras gejala rasuah di negeri ini.

4. Ini sejajar dengan komitmen kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menerajui kerajaan negeri hari ini, yang komited membanteras gejala rasuah dan mewujudkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi dan berintegriti.

5. Oleh sebab itu, saya amat menekankan agar sistem dan prosedur semua agensi perkhidmatan awam negeri perlu dikaji serta diteliti agar tiada ruang dan peluang berlakunya rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan pada masa hadapan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

6. Saya turut dimaklumkan, berdasarkan hasil kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah 2020 oleh SPRM menunjukkan bahawa rakyat atau masyarakat di Sabah telah menzahirkan 93.3 peratus sokongan dan 83.4 peratus keyakinan ke atas usaha pencegahan rasuah di negeri ini. Peratusan yang tinggi ini memperlihatkan kesungguhan dan kesediaan rakyat Sabah bersama SPRM dalam usaha membanteras rasuah di negeri ini.

7. Berdasarkan kajian juga, menunjukkan Sabah antara yang terbaik dalam kesungguhan membanteras rasuah. Secara keseluruhan, berdasarkan kajian yang sama di peringkat nasional menunjukkan bahawa rakyat negara ini menzahirkan 86.9 peratus (sokongan) dan 75.7 peratus (keyakinan) ke atas usaha pencegahan rasuah di negara ini.


8. Justeru, selaku Ketua Pentadbiran di Sabah, saya menyarankan agensi negeri mahupun Persekutuan, untuk memperbanyakkan lagi kempen pemantapan integriti dalam kalangan rakyat Sabah, memandangkan isu kemerosotan integriti adalah persoalan pokok yang mendorong seseorang itu untuk melakukan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

9. Walaupun begitu, kempen penyebarluasan mesej anti rasuah turut digemblengkan oleh NGO di Sabah ini, khususnya kepada golongan belia, yang mengikut kajian SPRM baru-baru ini menunjukkan daripada keseluruhan responden yang dikaji sebanyak 55% golongan belia terbabit dalam gejala rasuah, di negara ini.

10. Angka ini amat merisaukan kita memandangkan mereka adalah pewaris pemimpin negara pada masa hadapan. Saya percaya agensi kerajaan negeri di bawah pimpinan Setiausaha Kerajaan Negeri, akan memberikan komitmen yang tinggi terhadap usaha pencegahan rasuah yang diinisiatifkan oleh SPRM dan agensi yang terlibat. Selain itu, GLC juga memainkan peranan yang penting dalam menjana ekonomi negeri dan mengelak ketirisan, penyelewangan, salah guna kuasa serta rasuah daripada berlaku.

11. Pada masa yang sama, pelbagai usaha mempergiatkan tindakan penguatkuasaan oleh agensi penguatkuasa perlu diteruskan bagi membendung kegiatan dan sindiket penjenayah yang antaranya membawa kesan kepada isu keselamatan, kerugian subsidi barangan, penyeludupan, gejala dadah serta rasuah di negeri ini, yang turut didalangi pihak yang tertentu. Di kesempatan ini juga, saya menyeru kepada seluruh rakyat Sabah untuk memberikan sokongan dan kerjasama kepada SPRM dalam menyalurkan maklumat serta melaporkan sebarang perlakuan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di negeri ini.

12. Saya juga ingin mengingatkan semua hadirin mengenai Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan pada Januari tahun lalu. Ini penting kerana di bawah NACP ini, ada beberapa objektif yang menjadi keutamaan dalam usaha menangani gejala rasuah, antaranya mewajibkan sektor awam mewujudkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP).

13. Ini bertujuan bagi mengenalpasti bidang yang berisiko yang terdedah kepada gejala rasuah di kementerian dan agensi masing-masing sekali gus tindakan susulan dapat diambil segera. Selain itu pengwujudan Anti-Bribery Management System (ABMS ISO 37001:2016) menerusi pelan ini pula bukan hanya diperkenalkan kepada sektor awam tetapi juga swasta dalam usaha menangani gejala rasuah di organisasi masing-masing secara lebih bersistematik dan holistik.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

14. Sebelum mengakhiri ucapan, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan seperti mana yang tuan-tuan dan puan-puan maklum bahawa menjaga kerahsiaan dokumen dan maklumat rahsia rasmi kerajaan adalah tanggungjawab serta amanah semua penjawat awam di negeri ini. Sehubungan itu, saya mengingatkan semua agar sentiasa mengambil perhatian ke atas langkah keselamatan dokumen atau maklumat agar ia tidak disalahguna atau didedahkan tanpa kebenaran. Gejala negatif ini boleh menjejaskan imej pentadbiran kerajaan negeri. Kerjasama semua ketua jabatan dan penjawat awam negeri ini amat penting dan saya tidak mahu perkara seperti ini berlaku.

15. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada SPRM dan semua agensi Persekutuan serta negeri, NGO dan orang perseorangan yang bersama-sama dalam menjayakan sambutan pada hari ini. Marilah kita bersama-sama membanteras gejala rasuah demi mewujudkan sebuah negeri yang maju, progresif dan bebas rasuah.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa Peringkat Negeri Sabah.

Sekian, wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabaraktuh.



Tinggalkan komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.