

Isteri Ketua Menteri Terima Kunjungan Hormat Exco Pergerakan Wanita Pusat PBS
TUARAN: Isteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag menerima kunjungan hormat daripada Pergerakan Wanita Pusat, Parti Bersatu Sabah (PBS) di kediamannya di Serusup, di sini, hari ini:
Kunjungan hormat itu diketuai Ketua Pergerakan Wanita Pusat PBS, Datin Malianah Ugau, bersama enam ahli jawatankuasa (AJK) pergerakan itu.
Turut hadir dalam kunjungan itu ialah dua Timbalan Ketua Wanita Pusat PBS, Datin Vicky Yee dan Rosnah Ullap; Setiausaha Kehormat parti, Stepfonie Francis P Chan dah Bendahari parti, Datin Mary Wong.
Tujuan utama kunjungan hormat itu adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.
Terdahulu, Juliah merakamkan terima kasih kepada Malianah atas kunjungan hormat itu dan berharap kerjasama dengan Pergerakan Wanita Pusat PBS akan berterusan.
“Saya berharap kerjasama ini akan berterusan dan hubungan silaturahim akan bertambah erat. Saya juga berharap kerjasama ini akan membantu kita untuk membangunkan wanita bukan saja di peringkat parti malah paling penting di negeri ini.
“PBS juga sebahagian daripada kerajaan negeri, justeru saya berharap pemimpin wanita parti ini akan membantu kerajaan dalam usaha membawa pembangunan kepada wanita di negeri ini,” katanya.
Mengenai penubuhan badan amal isteri wakil rakyat di negeri ini, Juliah berharap ia dapat diselesaikan dalam tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.
Sementara itu Malianah berharap kunjungan hormat itu bukan saja untuk mengeratkan hubungan malah sebagai tanda menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Hajiji Haji Noor sebagai ketua menteri dan isterinya.
“Dalam kunjungan ini, saya juga memberi sedikit penerangan mengenai exco pergerakan wanita PBS selain memperkenalkan barisan exco kami,” katanya sambil menambah pergerakan wanita itu juga melahirkan rasa syukur kerana ketua menteri dan isterinya sudah sihat sepenuhnya.
Katanya, wanita PBS juga berharap satu badan amal untuk isteri wakil rakyat di Sabah dapat diwujudkan bagi memberi peluang kepada isteri wakil rakyat membantu wanita di negeri ini.
Tinggalkan Jawapan