GLC Kerajaan Diseru Beri Sumbangan, Bayar Zakat Perniagaan

KOTA KINABALU: Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik negeri dan persekutuan diseru agar tampil memberikan sumbangan dan membayar zakat perniagaan kepada Pusat Zakat Sabah (PZS) agar dapat digunakan untuk membantu lebih ramai mereka yang terkesan oleh pandemik Covid-19 di negeri ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif membuat seruan itu berkata, dengan mempunyai lebih banyak dana, maka lebih ramai golongan sasaran dapat dibantu dan penyaluran bantuan juga dapat diperluaskan.

Katanya PZS, di bawah Program Bantuan Khas Covid-19, telah menyalurkan bantuan-bantuan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan hospital-hospital Kluster, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Covid-19, masjid-masjid, golongan asnaf dan para petugas di barisan hadapan.

“Saya ingin memohon kepada GLC-GLC di negeri ini, termasuklah GLC Persekutuan yang beroperasi di Sabah supaya tampil memberikan atau membayar zakat perniagaan mereka kepada PZS.

“Ini penting supaya kita dapat membantu lebih ramai lagi sasaran dan lebih luas lagi bantuan yang dapat kita berikan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program-Program Sambutan Maulidur Rasul SAW Bagi Tahun 1442H/2020M di Wisma Muis di sini pada Khamis.

Terdahulu, Arifin melancarkan 4 program sempena sambutan pada tahun ini iaitu Segmen Maulidur Rasul di Radio, Program Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) Prihatin, Pertandingan Kaligrafi Islam (Khat) Nusantara dan Pertandingan Kaligrafi Jawi (Khat) Borneo.

Program JHEAINS Prihatin memperuntukkan RM400,000 untuk diagih-agikan kepada 36 daerah di negeri, manakala Pertandingan Kaligrafi Islam (Khat) Nusantara yang diadakan buat kali yang ke-5 pada tahun ini terbuka kepada semua negara Asean dan Pertandingan Kaligrafi Jawi (Khat) yang pertama kali diadakan terbuka kepada Sabah, Sarawak dan Brunei.

Kedua-dua pertandingan itu dianjurkan oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), kata Arifin, sambil menambah ianya diadakan untuk memartabatkan seni khat dan tulisan jawi di negeri ini, Borneo dan seluruh nusantara.

“Kaligrafi Jawi (Khat) ini juga diadakan bersempena Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara, Membakut, Sabah”, katanya.

Beliau menjangkakan pertandingan-pertandingan itu akan mendapat sambutan oleh masyarakat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan orang ramai lebih banyak masa di rumah.

“Bagi Program JHEAINS Prihatin, kita menggunakan peruntukkan yang sepatutnya digunakan untuk majlis-majlis sambutan maulidur di semua daerah, untuk memberikan sumbangan kepada mereka yang dikenalpasti sebagai sangat memerlukan sumbangan di semua daerah tersebut,” kata Arifin.

Katanya, tiada perarakan dan perhimpunan diadakan bagi menyambut Maulidur Rasul peringkat negeri dan daerah kerana mematuhi arahan dan SOP oleh pihak berkuasa.

Beliau berharap semua program sambutan yang telah disusun dapat menyemarakkan rasa cinta ke hadrat junjungan besar Nabi SAW dan dapat memenuhi cita rasa dan gagasan daripada tema pada tahun ini iaitu “Ummah Rabbani Negara Harmoni”.

Arifin turut menyerahkan sumbangan JHEAINS Prihatin berjumlah RM10,000 kepada Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Bandaraya Kota Kinabalu, Puan Ustazah Hiryanti Tabin dan Puan Ustazah Aishah Haji Ohdin bagi daerah Putatan.

Turut hadir ialah Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bongsu @ Aziz Jaafar, Pengarah JHEAINS, Datuk Haji Saifulzaman @ Setibin Sangul, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah, Haji Norjeli bin Haji Dais dan Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali.

Sumber.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.