KOTA KINABALU –Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Teo Chee Kong akan dibicara serentak pada 21,22 dan 23 Februari depan bersama tiga tertuduh lain bagi kes pengubahan wang haram jabatan berkenaan di antara tahun 2010 hingga 2016.
Tiga tertuduh yang akan dibicarakan bersama Teo Chee Kong, 53, ialah bekas Pengarah JANS, Awang Mohd. Tahir, 55, isterinya, Fauziah Piut, 52, serta seorang lagi bekas timbalan pengarah jabatan itu, Lim Lam Beng, 63.
Perintah berkenaan dikeluarkan Hakim Abu Bakar Manat selepas menerima permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya keempat-empat tertuduh dibicarakan serentak berikutan kes berkenaan melibatkan kes dan saksi yang sama.
Pada prosiding tersebut, peguam, Roland Cheng, Nelson Angang dan Ram Sigh mewakili Chee Kong manakala SPRM pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Farez Rahman.
Pada 13 Disember lalu, Chee Kong mengaku tidak bersalah terhadap 146 pertuduhan pengubahan wang haram melalui pembelian tanah dan transaksi bank sebanyak RM32 juta.
Semua pertuduhan berkenaan adalah mengikut Seksyen 4 (1) (a) dan Seksyen 4 (1) (b) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.
Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a), tertuduh berdepan sebanyak 78 pertuduhan kerana kesalahan memiliki 70 bidang tanah hasil daripada aktiviti haram menerusi 78 transaksi dengan nilai pindah milik sebanyak RM12.705 juta.
Sementara itu, baki 68 pertuduhan pula mengikut Seksyen 4 (1) (b) dengan enam kesalahan memiliki wang tunai daripada aktiviti haram berjumlah RM7.93 juta termasuk RM1.978 juta dalam bentuk mata wang asing.
Sebanyak 62 pertuduhan lagi membabitkan kesalahan memiliki wang dalam akaun bank hasil daripada aktiviti haram di lapan institusi kewangan yang berjumlah RM12.287 juta.
Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara tahun 2010 hingga 2016 ketiga memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah JANS./SayangSabah
Tinggalkan Jawapan