Mahkamah Tinggi Terkhilaf Lepas, Bebas Bung dan Zizie – Pendakwaan

KUALA LUMPUR – Sebanyak tujuh alasan dikemukakan pihak pendakwaan dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, daripada tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Ketujuh-tujuh alasan itu dikemukakan menerusi petisyen rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan pada Jumaat lalu.

Antara tujuh alasan itu ialah, Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila membuat keputusan melepas dan membebaskan responden melalui proses semakan undang-undang tanpa merujuk alasan penghakiman penuh dan rekod prosiding daripada Hakim Mahkamah Sesyen mengenai keterangan yang diberikan dalan perbicaraan oleh saksi pendakwaan ke-24 dan 25.

“Yang Arif Hakim (Mahkamah Tinggi) telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal untuk mempertimbangkan bahawa tiada ketidakadilan (miscarriage of justice) berlaku terhadap responden atas keputusan prima facie diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen memandangkan keputusan prima facie bukan keputusan muktamad bagi kesalahan yang dipertuduhkan terhadap responden.

“Yang Arif Hakim telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila bertindak untuk menilai kembali keterangan SP24 dan SP25 dalam menjalankan bidang kuasa semakan di bawah Seksyen 325 Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” katanya lagi dalam petisyen itu.

Selain itu alasan lain ialah Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang apabila gagal untuk mempertimbangkan kebolehterimaan (admissibility) keterangan separa hostile (partial hostile evidence) oleh SP24 dan SP25.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan 29 Julai depan bagi mendengar rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Bung Moktar dan isterinya daripada tiga pertuduhan rasuah itu.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya dibebaskan pada 7 September tahun lalu setelah Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan mereka terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September 2022 yang memerintahkan pasangan tersebut membela diri. Pendakwaan kemudian memfailkan rayuan pada 18 September.

Bung Moktar, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara pukul 12.30 tengahari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bung Moktar turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala isterinya didakwa bersubahat dengan beliau melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – KOSMO! ONLINE

Tinggalkan komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Blog di WordPress.com.

Atas ↑