UMNO Parti Yang Sukar Diselamatkan Bakal Kalah PRU15

PETALING JAYA: UMNO kini menjadi sebuah parti politik yang tidak boleh diselamatkan lagi, kata veteran parti Tengku Razaleigh Hamzah yang sudah puluhan tahun bersama parti Melayu itu.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Ku Li berkata, langkah menyelamatkan itu sukar kerana Umno masih dikuasai pemimpin-pemimpin berpengaruh dan politik wang yang menyebabkan sukar untuk parti itu berubah buat masa ini.

“Kita senang sangat dengar cakap orang yang berpangkat, berjawatan dan berduit tanpa menyoal, walaupun pandangan mereka itu lain dengan apa yang diharapkan kita, sebab itu macam-macam benda jadi. Politik tidak menentu, tiga kerajaan dalam tiga tahun.

“Kalaulah dalam Umno itu sendiri tidak begitu menyenangkan, tak mungkin diyakini boleh bersatu balik dan menjadi gagah kuat seperti dulu,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika sesi webinar bagi membincangkan tajuk Umno Yang Hilang secara maya hari ini.

Pada masa sama, Ku Li berpendapat Umno sudah melalui pelbagai perubahan, tetapi nampaknya perubahan itu masih tidak menunjukkan hasil yang positif.

“Kita kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sejak itu susah nak kembalikan Umno kepada kedudukan lama. Banyak rakan-rakan parti yang sudah keluar dari Barisan Nasional (BN) dan kedudukan menjadi berbeza berbanding dulu, kepimpinan baru pun ada cara barunya.

“Itu sebab saya berundur sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, bukan kerana saya tak nak kekal dalam parti, tetapi, ada yang memberi harapan, mengapa tidak cuba aktifkan Umno Lama. Kita nak bersihkan parti ini dan mahu jadi wadah yang diterima oleh masyarakat, tetapi kalau nak perbaiki Umno Baru adalah sesuatu yang agak mustahil,” katanya.

Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap masa depan Umno pasca-PRU15.

“Umno ada pengaruh setiap pemimpinnya, dengan kegunaan wangnya jadi susah untuk parti ini melangkah ke depan. Satu tindakan akan membawa kepada 10 tindakan susulan dan akhirnya tidak akan memberi faedah kepada bangsa kita.

“Saya boleh berunding (dengan kepimpinan) tapi apakan daya, pemimpin sekarang masih berkuasa ke atas parti sedia ada, kita hanya boleh ucap selamat dan berdoa agar dipulangkan kedudukan asal selepas PRU15.

“Saya cukup bimbang, takut tak ada lagi muka Melayu sebaik sahaja selesai PRU15, lagi tidak stabil negara kalau orang Melayu tidak dapat diyakini dalam kumpulan ini sedangkan kita ada majoriti,” katanya.

Justeru, beliau berpendapat perubahan minda dalam kalangan orang Melayu perlu dilakukan segera supaya tidak lagi memandang tinggi kepada individu berjawatan tinggi dan mempunyai wang yang banyak.

“Kalau ada perkara yang tak betul, kita kena perbetulkan, tegur orang atas, tak boleh terima, walhal kita tahu benda itu tak betul dan salah. Mesti tegur, jangan sampai jadi bubur baru nak tegur.

“Jangan pandang tinggi kepada orang pangkat dan berharta, tak mestinya apa yang mereka buat itu betul, ada yang buat silap, ada yang buat cadangan yang merugikan, patutnya kita bantah.

“Jadi perlu ada perubahan ‘mindset’ dalam kalangan orang kita, tak telan bulat-bulat cadangan orang berkuasa atau orang berpengaruh,” katanya.

Sumber FMT

Tinggalkan komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.