Banteras Penggunaan Bom Ikan – Hajiji Noor

KENYATAAN MEDIA

19 Februari 2020.

*KERAJAAN NEGERI PERLU SERIUS BANTERAS AKTIVITI BOM IKAN

–YB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah N10 SULAMAN.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri perlu mengambil tindakan yang lebih serius bagi membanteras aktiviti bom ikan di perairan Sabah, kata Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, pihak berkuasa keselamatan dan Jabatan Perikanan juga perlu melipatgandakan penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada.

“Kita perlu meningkatkan usaha membanteras aktiviti bom ikan yang agak berleluasa berlaku di Sabah sekarang ini”.

“Ini kerana aktiviti itu bukan sahaja mengancam dan memusnahkan sumber ikan dan terumbu karang, malah turut membahayakan pelancong yang melakukan aktiviti menyelam di kawasan terumbu”, katanya.

Hajiji berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum yang mengkritik laporan akhbar mengenai seorang menteri dari Sabah yang menjelaskan bahawa aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Pulau Gaya, di kawasan ahli politik itu, kebanyakannya membabitkan kanak-kanak.

Menurut Richard, “aktiviti mengebom ikan masih berlaku, dua minggu lepas di sebuah pulau. Dan, seorang Menteri berkata ‘oh, semua ini dilakukan oleh kanak-kanak’ “.

“Kanak-kanak, mereka pegang bom kan? Jadi, kanak-kanak boleh melakukan aktiviti mengebom ikan! Lihatlah alasan-alasan lemah yang telah diberikan oleh pihak berkuasa”

“Ia sangat menyedihkan. Kita perlu bangun. Bom di tangan kanak-kanak tetap juga bom,” katanya yang sukar percaya dengan alasan agak aneh pada Kolokium Borneo mengenai Keadilan Alam Sekitar 2020 yang diadakan di sebuah hotel di sini, 15 Februari lalu.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, beliau telah membangkit isu bom ikan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 19 November 2019 lalu.

Menurutnya, aktiviti itu amat membimbangkan kerana bukan sahaja bom-bom ikan ini boleh membunuh ikan-ikan sama ada kecil dan besar, tetapi juga merosakkan terumbu karang dan semua keindahan dan tumbuhan semulajadi di dasar laut perairan negeri ini.

“Kejadian pada 5 Julai 2019, dimana 2 orang penyelam dari Negara China dan seorang jurulatih selaman warga tempatan kita terbunuh di Pulau Kalapuan, Semporna, menunjukkan penggunaan bom ikan ini amat berleluasa.

“Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh pihak WWF-Malaysia melalui pemasangan 7 buah pengesan seismik di sekitar daerah Semporna saja, direkodkan sebanyak 1,195 letupan dari bulan Jun hingga bulan Disember 2018.

“Tangkapan penggunaan bom ikan dilaporkan 24 kes pada tahun 2018 dan 39 kes tangkapan setakat akhir tahun 2019. Kejadian ini amat membimbangkan kita”.

“Oeh itu saya menggesa pihak Kerajaan supaya mengambil tindakan tegas untuk membendung perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini”, katanya ketika membahas Belanjawan Negeri Sabah 2020.

Hajiji berkata, teguran Richard Malanjun harus menjadi iktibar kepada semua pihak, sambil menegaskan usaha perlu dilakukan menerusi program kesedaran yang melibatkan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

Katanya, para pemimpin masyarakat di kawasan yang sering berlaku aktiviti bom ikan perlu dipanggil dan diberi penerangan dan pendidikan tentang pentingnya peranan dan tanggungjawab bersama menjaga sumber laut dan membanteras aktiviti negatif itu.

Beliau juga berharap Kerajaan menggiatkan usaha menangkap dan menghantar pulang Pendatang Tanpa Izin (PTI) yang berada di negeri ini.

“Tindakan undang-undang yang lebih tegas perlu dikenakan terhadap PTI demi kebaikan, keselamatan dan masa depan rakyat dan negeri Sabah”, tegasnya.

-End.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.