1. Sehingga kini pejabat UMNO Bahagian Sepanggar belum menerima sebarang surat perletakan jawatan ‘Geng 7’ UMNO Bahagian Sepanggar. Saya hanya mengetahui perletakan jawatan mereka melalui pengumuman media yang dikeluarkan pada 7 April 2018.
2. Ketika isu perletakan jawatan tersebut masih hangat diperkatan di media sosial, sekali lagi geng tersebut membuat kejutan dengan pengumuman menyertai Parti Warisan Sabah(WARISAN) pada hari Rabu, 11 April 2018 di dalam satu acara di Kampung Likas.
3. Saya ingin memaklumkan bahawa salah seorang dari nama yang dinyatakan telah dipecat keahlian parti selaras dengan Perlembagaan UMNO di bawah Fasal 20.8 dan 20.9(Tataetika Ahli UMNO) pada 19 May 2017, iaitu Din bin Merin.
4. Berkenaan 5 orang yang lain pula iaitu; Azhar Matussin, Ladis Idris, Zaidi Atoh, Jamrin Wahid dan Sahar Hj Mentamin, mereka telah tidak berfungsi sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Sepanggar sejak Datuk Jumat Idris digantung keahlian UMNO pada 2015. Mereka cuma hadir separuh jalan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepanggar tahun 2015. Manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada tahun 2016 dan 2017, mereka tidak hadir sama sekali. Mereka juga turut tidak hadir sebarang mesyuarat biasa Ahli Jawatankuasa Bahagian dan pelbagai aktiviti parti. Kecuali Marino Ahmad yang mula tidak aktif sebagai Ahli Jawatankuasa sejak penghujung tahun 2016.
5. Ini bererti tindakan mereka meletakkan jawatan pada 7 April lalu hanyalah gimik politik untuk mengambil kesempatan memposisikan diri dalam keriuhan suasana politik semasa. Begitu juga dengan tindakan menghadiri majlis parti Warisan sekaligus mengumumkan menyertai menyertai parti tersebut malam kelmarin.
6. Penjelasan ini jelas menunjukkan bahawa isu membawa calon luar, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Datuk Hj Dahlan ke Sepanggar tidak timbul kerana keputusan mereka meminggirkan tanggungjawab sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Sepanggar telah berlaku sebelum isu ini timbul.
7. Begitu juga dengan kenyatan bahawa mereka telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Haji Yakub Khan, Pemangku Ketua Bahagian tidak relevan sama sekali. Kenapa selepas dua tahun setengah ‘menyepi’ tiba-tiba muncul dengan keputusan yang kononnya mahu buat kejutan dengan meletak jawatan dan berikutnya keluar parti lalu menyertai pembangkang.
8. Jawatan Ahli Jawatankuasa Bahagian yang mereka pernah sandang itu diperolehi dari mandat yang diterima melalui proses undian oleh perwakilan cawangan-cawangan dalam pemilihan parti pada Mesyuarat Perwakilan Bahagian tahun 2013. Secara prinsipnya, jawatan tersebut adalah amanah dari ahli parti yang telah memberi kepercayaan kepada mereka. Moralnya mereka telah mengkianati kepercayaan tersebut.
9. Saya percaya, ahli-ahli UMNO yang masih setia akan terus mempertahankan parti seterusnya berjuang bersama rakan-rakan lain dalam komponen Barisan Nasional bagi memenangkan calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.
10. Sebaliknya, ahli politik yang bersikap curang seperti ini tidak mungkin mendapat kepercayaan dari rakyat sekalipun mereka telah mendapat tempat di kem pihak lawan. Jika mereka mampu mengkhianati kepercayaan ahli parti yang telah memberi mereka segalanya, sudah tentu mereka akan berbuat demikian pada parti baru yang belum pasti memberikan apa-apa.
11. UMNO Sepanggar terus kukuh dengan pertambahan ahli yang terus meningkat dan peningkatan bilangan pengundi yang terus bertambah. Kami yakin dan percaya dapat memenangkan siapa saja yang dipilih oleh parti mewakili Barisan Nasional di N.12 Karambunai, N.13 Inanam dan P.171 Sepanggar dengan kerjasama dan semangat persaudaraan bersama rakan-rakan lain di dalam Barisan Nasional.
“HEBATKAN NEGARAKU, TATAP BN”
MD JOH BIN HAJI WID
Setiausaha UMNO Bahagian
Sepanggar
TAMAT
Tinggalkan Jawapan