AMT PBS Sokong Penuh Ketegasan KM Hajiji – 40% Cukai Bersih Di Mahkamah

Siaran Media

21 Mei 2024.

  1. Kenyataan media rasmi oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah (KM) yang telah dikeluarkan pada 17 Mei 2024 adalah diharapkan dapat meleraikan kekeliruan rakyat mengenai pendirian Kerajaan Sabah yang tidak berubah untuk menuntut Hak 40% daripada kutipan hasil dari Sabah.
  2. Kekeliruan ini timbul berikutan kenyataan oleh seorang peguam selepas pendengaran Semakan Kehakiman oleh Sabah Law Society (SLS) baru-baru ini. YAB KM telah menyatakan bahawa kenyataan peguam berkenaan tidak selari dengan pendirian Kerajaan Sabah dan beliau telah mengarahkan Peguam Besar Negeri untuk memperbetulkan kenyataan tersebut.
  3. Dalam kenyataan rasmi itu juga YAB Ketua Menteri telah menyatakan bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak berganjak dari pendirian untuk terus berusaha melalui platfom perundingan dengan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan HAK Sabah seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
  4. Beliau juga menghormati hak SLS untuk memulakan prosiding undang-undang untuk tujuan mendapatkan hak perlembagaan berkenaan.
  5. Sehubungan dengan itu adalah juga diharapkan segenap lapisan rakyat tanpa mengira suku kaum, anutan agama atau kepercayaan dan fahaman politik seharusnya bersatu menyokong usaha Kerajaan Sabah untuk menuntut HAK kita yang telah lama tertunggak meskipun ada penambahbaikan dari segi kuantum pembayaran interim, tanpa prasangka.
  6. Kita seharusnya senada dan berfokus dalam perkara ini supaya usaha Kerajaan Sabah untuk mendapatkan kesemua HAK Sabah dalam Perjanjian Malaysia (MA63) itu lebih padu dan jitu dan dapat didengar dengan jelas oleh Kerajaan Persekutuan.

DATUK FREDIAN GAN
Ahli Majlis Tertinggi (AMT)
Parti Bersatu Sabah (PBS)

Tinggalkan komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Blog di WordPress.com.

Atas ↑