
Penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki ke kawasan terjejas sedang dilaksanakan sebagai langkah mitigasi bagi membantu penduduk Tawau yang berdepan gangguan bekalan air. Tumpuan segera adalah untuk membantu memenuhi keperluan harian penduduk sepanjang gangguan ini.
Saya telah membangkitkan isu ini dalam Mesyuarat Kabinet Sabah pada Rabu, 21 Oktober lalu, berhubung keadaan kering dan kekurangan hujan yang berpanjangan sehingga menjejaskan bekalan air mentah untuk dirawat dan disalurkan kepada pengguna.
Susulan perbincangan itu, YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, telah mengarahkan Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah supaya Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Tawau mengambil tindakan lebih proaktif dalam menghantar bekalan air melalui lori tangki ke kawasan yang terjejas.
Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, YB Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, turut memberi jaminan bahawa beliau akan memastikan Pengarah JANS memantau perkara ini dan segala keupayaan yang tersedia digerakkan untuk menyalurkan bekalan air ke kawasan terjejas, termasuk melalui penghantaran menggunakan lori tangki.
Berdasarkan makluman terkini Jabatan Air Bahagian Tawau, operasi Loji Rawatan Air (LRA) Utara masih terjejas berikutan isu kualiti air mentah Sungai Tawau. Walaupun hujan telah turun, taburan hujan di kawasan tadahan masih belum mencukupi untuk meningkatkan paras sungai dengan ketara. Pemantauan dan proses rawatan diteruskan bagi memastikan air yang dibekalkan memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.
Sementara itu, penghantaran bantuan air melalui lori tangki diteruskan mengikut kemampuan operasi semasa. Penyelarasan penghantaran ini terus diberi perhatian bagi membantu mengurangkan kesulitan penduduk di kawasan yang masih mengalami gangguan.
Saya akan terus berhubung dengan kementerian dan JANS bagi menyampaikan keperluan penduduk serta mendapatkan perkembangan mengenai penghantaran bantuan dan keadaan bekalan semasa.
YB DATUK HAJI NIZAM BIN DSP ABU BAKAR TITINGAN
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.58 Apas
24 Oktober 2026





















Leave a Reply