Bandar Pesisir Pantai Perlu Imbangi pertumbuhan Ekonomi Dengan Perlindungan Alam Sekitar

KOTA KINABALU: Bandar-bandar pesisir pantai perlu mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan perlindungan alam sekitar serta memperkukuh daya tahan terhadap perubahan iklim, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, bandar-bandar pesisir pantai merupakan pusat penting perdagangan, pelancongan dan aktiviti ekonomi, namun kedudukannya yang berhampiran laut turut mendedahkan kawasan berkenaan kepada peningkatan paras laut, cuaca ekstrem dan pencemaran.

“Cabaran ini merentasi sempadan. Laut, ekosistem dan ekonomi kita saling berhubung, justeru tindakan kita untuk menanganinya juga perlu saling berkait. Kita tidak perlu memilih antara kemakmuran dan perlindungan alam sekitar.

“Melalui perancangan yang bijak dan kerjasama erat, kita mampu membangunkan bandar yang lebih selamat, bersih dan berdaya tahan untuk generasi akan datang,” katanya pada majlis perasmian Dialog Mayor Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIMD) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai.

“Adaptasi perubahan iklim juga perlu menjadi sebahagian daripada pengurusan harian bandar, merangkumi sistem perparitan, sanitasi dan kawalan banjir hingga kepada perlindungan kawasan pesisir pantai serta pemuliharaan hutan bakau dan sungai.

“Penyelesaian berasaskan alam semula jadi mampu membantu melindungi komuniti kita serta ekosistem yang menyokong Ekonomi Biru,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan semua keutamaan itu memerlukan pembiayaan dan kerjasama.

“Bandar-bandar memerlukan akses yang lebih baik kepada pembiayaan iklim, kerjasama awam-swasta serta sumber sokongan lain bagi projek infrastruktur hijau dan adaptasi perubahan iklim.

“Bandar-bandar juga perlu saling belajar antara satu sama lain. Tiada bandar yang mampu menangani cabaran ini secara bersendirian,” katanya.

Hajiji berkata, penganjuran KKIMD 2026 yang menghimpunkan peserta dari lapan negara dan 15 bandar, termasuk wakil dari Indonesia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat, amat signifikan kepada Sabah

Beliau berkata, Sabah merupakan sebahagian daripada Segi Tiga Terumbu Karang, iaitu antara kawasan marin yang mempunyai kepelbagaian biologi terkaya di dunia.

Beliau berkata perairan Sabah menyokong sumber pendapatan rakyat, keterjaminan makanan dan pelbagai industri maritim, menjadikan usaha melindunginya amat penting bagi menjamin kemampanan ekonomi jangka panjang.

“Komitmen Kerajaan Negeri untuk mengimbangi pemuliharaan alam sekitar dengan pembangunan ekonomi dapat dilihat menerusi Taman Tun Mustapha, yang memberi tumpuan kepada usaha melindungi ekosistem marin di samping menyokong keperluan komuniti setempat,” katanya.

Ketua Menteri berkata, prinsip sama turut menjadi panduan kepada agenda Ekonomi Biru Sabah yang bertujuan mewujudkan peluang ekonomi mampan dalam sektor perikanan, akuakultur, bioteknologi marin, perkhidmatan maritim, pelancongan pesisir pantai dan pulau, tenaga boleh baharu marin serta logistik.

“Matlamat kita adalah untuk membangunkan peluang ini secara bertanggungjawab supaya perairan Sabah terus menyokong ekonomi dan kesejahteraan komuniti kita,” katanya.

Hajiji berkata, Ekonomi Biru juga sejajar dengan hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang menekankan manfaat nyata kepada rakyat melalui peluang ekonomi yang lebih baik, pengukuhan sumber pendapatan dan peningkatan mutu perkhidmatan awam.

“Kita juga sedang mempergiat pelaksanaan Pelan Tindakan Bioteknologi Sabah 2024-2034, yang menghubungkan pemuliharaan biodiversiti dengan pembangunan sosioekonomi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kerjasama antarabangsa yang lebih erat serta pelaburan jangka panjang dalam sektor Ekonomi Biru, infrastruktur hijau dan inovasi digital di Sabah.

Sambil memuji Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) atas agenda Bandar Pintarnya, Hajiji berkata, teknologi seperti kecerdasan buatan (Al), kembar digital, peralatan geospatial dan platform data bandar mampu meningkatkan keberkesanan sistem amaran awal banjir, perancangan guna tanah serta penyampaian perkhidmatan awam.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa transformasi digital perlu terus berpaksikan rakyat, telus dan mempunyai akauntabiliti.

Beliau berkata, cadangan Pernyataan Bersama Kota Kinabalu boleh menjadi asas kepada komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang Ekonomi Biru, tadbir urus digital, daya tahan bandar dan perkongsian antarabangsa, manakala cadangan penubuhan Rangkaian KKIMD serta kajian semula kemajuan tahunan boleh membantu menterjemahkan komitmen berkenaan kepada tindakan yang berterusan.

Tamat.

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

Discover more from jalinluin.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading