Sabah Tidak Akan Tergesa-gesa Dalam Perdagangan Pasaran Karbon



KOTA KINABALU: Peluang dalam pasaran karbon Sabah amat besar, namun Kerajaan Negeri tidak akan membenarkan projek yang belum melalui penelitian sewajarnya dipercepatkan untuk memasuki pasaran atau diperdagangkan secara spekulatif.

“Kita akan melindungi reputasi dan jenama Sabah melalui disiplin kawal selia yang kukuh,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata projek yang dirangka dengan lemah, tuntutan iklim yang dibesar-besarkan, sumber yang dinilai terlalu rendah serta peminggiran komuniti pribumi akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kredit karbon Sabah.

“Justeru, adalah demi kepentingan komersial Sabah untuk menegakkan piawaian tertinggi dalam aspek integriti alam sekitar, sosial, kewangan dan tadbir urus. Pembeli akan menuntut ketelusan sepenuhnya,” katanya pada Forum Pasaran Karbon Sabah: Membuka Peluang Pasaran Karbon untuk Sabah di Hotel Hilton di sini, Khamis.

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Beliau berkata undang-undang seperti Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025 telah diwujudkan, yang mengiktiraf secara sah pemilikan hak karbon oleh Kerajaan Negeri serta menetapkan peraturan yang jelas bagi aktiviti berkaitan karbon, termasuk kelulusan projek dan perdagangan kredit karbon.

“Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCCAC) akan menyelia dasar iklim negeri, menyediakan belanjawan karbon negeri untuk kelulusan Kementerian dan pewartaan dan menyelaras usaha antara agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Pusat Pendaftaran dan Inventori Iklim Sabah akan menyediakan sokongan teknikal dan operasi kepada SCCAC. Secara keseluruhannya, rangka kerja ini menyediakan kepada pelabur satu pintu masuk kawal selia setempat yang telus bagi kelulusan projek dan pensijilan hak karbon,” katanya.

Hajiji berkata Sabah mempunyai inisiatif kredit karbon disahkan berasaskan alam semula jadi yang pertama di Malaysia menerusi Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut, yang meliputi kira-kira 83,381 hektar hutan tanah rendah yang kaya dengan biodiversiti.

Projek itu dijangka menghasilkan pengurangan pelepasan kira-kira 800,000 tan karbon dioksida (CO2), sekali gus menjadi penanda aras bagi inisiatif pada masa hadapan dan telah dinilai sebagai antara yang terbaik dalam kelasnya oleh BeZero Carbon, sebuah agensi penarafan kredit karbon global.

Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri juga sedang membangunkan portfolio aset karbon yang dipelbagaikan merentasi sektor ekonomi utama termasuk Ekonomi Biru, Pertanian, Tenaga Boleh Baharu dan Teknologi Hijau serta Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon.

Di bawah sektor Ekonomi Biru, Sabah mempunyai lebih 340,000 hektar hutan bakau, iaitu kawasan bakau berterusan terbesar di Malaysia.

“Kita mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi biru menerusi bioteknologi marin, akuakultur mampan dan pelancongan berasaskan ekosistem marin,” katanya.

Dalam sektor pertanian, beliau menjelaskan bahawa industri kelapa sawit Sabah meliputi hampir 1.5 juta hektar dan menawarkan peluang besar bagi pemerangkapan metana serta inisiatif mitigasi iklim lain menggunakan sisa pertanian.

Bagi sektor Tenaga Boleh Baharu dan Teknologi Hijau, beliau berkata berpandukan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040, Kerajaan Negeri akan terus memperluaskan tenaga solar, hidro, biojisim dan biogas bagi menyediakan tenaga yang boleh dipercayai, mudah diakses dan berpatutan.

“Sabah menyasarkan untuk meningkatkan bahagian tenaga elektrik boleh baharu menjelang 2030 menerusi projek solar, hidro dan biojisim,” katanya.

Dalam sektor Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon, Hajiji berkata lembangan geologi luar pesisir Sabah, bersama kawasan maritim negeri, mempunyai potensi jangka panjang bagi penyimpanan karbon secara geologi dan mampu meletakkan Sabah sebagai hab penyimpanan industri yang penting di peringkat nasional untuk perkhidmatan serantau.

Ketua Menteri berkata dengan hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA), ia akan menyumbang kepada komitmen Malaysia terhadap pemeliharaan biodiversity dan sasaran pemuliharaan global 2030 di bawah Kerangka Biodiversiti Global Kunming-Montreal, sekali gus meletakkan Sabah pada kedudukan menonjol dalam peta pemuliharaan global.

“Sabah juga merupakan penyerap bersih karbon utama Malaysia, atau negeri karbon negatif, berdasarkan data inventori gas rumah hijau. Litupan hutan kita yang luas memperkukuh kapasiti penyerapan karbon keseluruhan Malaysia pada kadar kira-kira 36 peratus.

“Menerusi pengurusan hutan yang inklusif dan diwujudkan melalui kerjasama dengan komuniti tempatan, kita berusaha mengimbangi pemuliharaan alam sekitar dengan kesejahteraan sosioekonomi rakyat. Identiti dan masa depan Sabah berakar umbi dalam warisan semula jadi kita,” katanya.

“Di bawah hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), kita sedang bergerak dengan tegas ke arah pemuliharaan yang mempunyai nilai, iaitu menjadikan perlindungan aset semula jadi kita sebagai peluang ekonomi yang bertanggungjawab.

“Tugas kita sekarang ialah pelaksanaan, iaitu membangunkan projek yang berwibawa, mewujudkan permintaan pasaran, mendapatkan pembiayaan dan memastikan usaha pemuliharaan memberikan nilai yang berkekalan,” katanya.

Hajiji menyeru pemimpin sektor kewangan termasuk CIMB Bank Berhad, Bursa Malaysia, pemimpin industri dan pelabur untuk membangunkan atau bersama-sama membangunkan

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

Discover more from jalinluin.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading