


PAPAR: Projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut bernilai RM70.6 juta dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan keselamatan pengguna di Koridor Lok Kawi-Pengalat-Papar yang semakin pesat membangun.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata projek itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur jalan raya di Sabah.
Beliau berkata, Koridor Lok Kawi-Pengalat-Papar kini menjadi antara kawasan yang berkembang pesat dengan pertambahan kawasan perumahan, premis kerajaan, sekolah dan produk pelancongan.
Perkembangan itu menyebabkan peningkatan jumlah trafik sehingga menimbulkan kesesakan terutama pada waktu puncak, sekali gus menjadi antara keluhan utama pengguna jalan raya di kawasan berkenaan, tambah beliau.
“Sebagai kerajaan, kita sentiasa berusaha merancang dan melaksanakan pembangunan yang memberi manfaat serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut, di WSG Kinarut Show Gallery, hari ini.
Hajiji berkata, projek sepanjang 1.3 kilometer itu melibatkan penaiktarafan jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dua hala dan kelulusan projek berkenaan membuktikan suara dan keperluan mobiliti rakyat Sabah sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan.
Katanya, skop projek itu bukan sekadar melibatkan pelebaran jalan, malah turut memberi penekanan kepada aspek keselamatan pengguna.
“Antara kemudahan yang disediakan ialah pembinaan jejantas pejalan kaki, laluan berbumbung ke sekolah, hentian bas serta perlindungan motosikal yang akan memberi manfaat kepada murid, pejalan kaki dan pengguna jalan raya,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji memberi jaminan kerajaan negeri akan memberikan kerjasama penuh dalam urusan pengambilan tanah dan pengalihan utiliti bagi memastikan projek dapat dilaksanakan dengan lancar.
Beliau berkata, semua jabatan dan agensi utiliti yang terbabit perlu bertindak pantas menyelesaikan sebarang isu teknikal supaya projek dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Kita tidak mahu kerenah birokrasi menjadi penghalang kepada pelaksanaan projek yang amat penting ini. Kerjasama erat antara agensi Persekutuan dan negeri perlu diperkukuhkan bagi memastikan kejayaannya,” katanya.
Hajiji berkata, pembangunan infrastruktur jalan raya yang cekap dan selamat adalah tunjang kepada pertumbuhan sosioekonomi, selain mampu merangsang pelaburan dan sektor pelancongan.
Beliau yakin projek itu akan mengurangkan masa perjalanan, meningkatkan kesalinghubungan serta merancakkan aktiviti ekonomi di daerah Papar seiring dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, Papar kini menunjukkan perubahan ketara hasil pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan komersial, malah berpotensi menjadi lokasi persinggahan utama pelawat dari Brunei dan Sarawak apabila Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya kelak.
Hajiji turut mengumumkan kelulusan Projek Jambatan Papar Ke 2 dan Kerja Kecemasan Penambakan Batu dan Tanah Di Sepanjang Tabing Sungai Intake Kogopon serta Kerja-Kerja Perlindungan Tebing Sungai yang dipohoh oleh Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali untuk kemudahan dan kepentingan rakyat Papar.
Tamat






















Leave a Reply