
Siaran Media
1 Julai 2026
KOTA KINABALU: Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri (KM) Sabah, Datuk Azrul Ibrahim, menyifatkan tuduhan yang dilemparkan terhadap KM, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berhubung isu larangan kemasukan Pengarah Eksekutif Bersih, Asraf Sharafi Mohammad Azhar, sebagai keterlaluan dan tidak berasaskan fakta.
Beliau berkata, dakwaan yang dibuat Hamdin Nordin menerusi hantaran di media sosial bahawa Hajiji mengarahkan sekatan terhadap Asraf adalah tidak wajar, apatah lagi ketika Ketua Menteri sedang menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci.
“Tuduhan yang dilemparkan oleh saudara Hamdin agak keterlaluan.
Ketua Menteri ketika ini sedang menunaikan ibadah umrah. Jika sekalipun ingin menjadi hero dalam isu ini, rendahkan sedikit laras bahasa dan hormatilah keadaan semasa,” katanya dalam dalam hantaran di media sosial.
Azrul berkata, sebarang keputusan berhubung pengeluaran Notis Amaran Sabah (NAS) dibuat oleh pihak berkuasa selepas mengambil kira pelbagai aspek, termasuk penilaian risiko, peruntukan undang-undang dan kepentingan keselamatan negeri.
Menurutnya, semua pihak perlu menghormati kuasa imigresen khas yang dimiliki Sabah seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
“Dalam menentukan sama ada seseorang individu dikenakan NAS, pihak berkuasa pastinya telah menjalankan penilaian risiko dan pertimbangan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang serta kepentingan keselamatan negeri.
“Kita perlu menghormati pihak berkuasa dan mengiktiraf hak serta kuasa imigresen Sabah yang termaktub di bawah Perlembagaan serta peruntukan undang-undang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, pada masa sama, beliau turut mengambil inisiatif menghubungi Asraf bagi mendapatkan maklumat lanjut, selain memahami keadaan keluarganya yang berada di Sabah.
“Apa pun, saya sedang berkomunikasi dengan individu terbabit kerana saya memahami isteri dan anak-anaknya berada di Sabah,” katanya.






















Leave a Reply